Rencana

Surat terbuka kepada rakyat, pembangkang – Tuan Ibrahim Tuan Man

Dalam situasi tekanan ekonomi global serius khususnya harga petroleum yang jatuh teruk, banyak negara berada pada keadaan tertekan, terutama negara yang bergantung kepada minyak dan gas sebagai sumber utama.

Keadaan ini mengakibatkan ribuan pekerja diberhentikan yang memberi kesan suasana sehingga mendorong pelbagai masalah tekanan hidup ke atas rakyat.

Kerajaan mempunyai tanggungjawab besar bagi memulihkan kedudukan ekonomi dan merangka satu sistem ekonomi pelbagai sumber, bagi membangunkan sumber utama lain.

Keadaan ini tidak sepatutnya dibiarkan berterusan tanpa adanya suatu perancangan jangka panjang bagi mengatasi kes yang sama berulang pada masa depan.

Kegawatan politik dan polemik dalaman yang berterusan tentunya tidak membantu negara untuk keluar daripada kemelut yang berlaku.

Kita mengakui kepimpinan negara yang diterajui Umno-Barisan Nasional (BN) adalah punca kepada masalah negara.

Namun, perkara yang lebih penting pada waktu ini ialah membantu rakyat bagi memahami situasi yang berlaku dalam negara kini.

Kegagalan besar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila menjadikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sebagai penyelesaian masalah dan tekanan ekonomi negara.

Rakyat dikenakan cukai secara paksa manakala kerajaan terus membazir dan boros dalam perbelanjaan serta pemimpin bergelumang dengan rasuah dan salah guna kuasa

Bukan itu sahaja, kerajaan juga mencadangkan menghidupkan AES dan baru-baru ini ada pula ura-ura cadangan menaikkan kadar saman kesalahan jalan raya.

Semua ini adalah contoh-contoh ketara tindakan kerajaan dilihat tidak membantu rakyat keluar daripada kemelut sedia ada sebaliknya kerajaan lebih banyak menyelesaikan masalah dengan menambahkan bebanan rakyat.

Peluang pekerjaan yang dijanjikan semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) langsung hilang daripada sebutan. 

Kini, ribuan mahasiswa menganggur dan PTPTN pula mengejar hutang daripada mereka.

Kian nyata, gagasan menukar hala tuju negara daripada pertanian kepada perindustrian ternyata tidak berkesan dalam melonjakkan ekonomi negara.

Wawasan 2020 yang hanya tinggal 4 tahun sahaja lagi tidak lagi kesampaian. Sebelumnya, Dasar Ekonomi Baru juga gagal mencapai matlamat 30% pemilikan ekonomi Bumiputera apabila ia hanya berjaya diagihkan di kalangan mereka yang rapat dengan pemerintah.

Semua gagasan ekonomi yang diilhamkan Umno-BN gagal seperti FGVH, yang kini berubah menjadi satu mimpi ngeri buat Felda dan para peneroka.

Apakah dengan bebanan hutang negara yang mencecah RM600 bilion dan isu 1Malaysia Development Berhad, isu derma RM2.6 bilion dan jutaan lagi skandal yang sedang dibongkar; persoalan kini timbul – mampukah kerajaan merencana hala tuju yang jelas bagi negara keluar daripada kemelut ekonomi yang menakutkan ini?

Melihat kepada situasi yang ada, majoriti rakyat merasakan kepimpinan negara lebih banyak disibukkan dengan kerja membantu perdana menteri bagi mengatasi skandal yang melingkari beliau.

Kepimpinan yang ada dilihat lebih suka membuat kerja mengampu untuk mengekalkan kuasa daripada menggembleng tenaga dalam merancang masa depan negara. Kepimpinan sebegini sudah tentu tidak lagi boleh diharapkan bagi membela rakyat dan negara.

Rakyat kini menanti PRU14 untuk melakar perubahan politik. Rakyat memerlukan peta baharu dalam merangka pelan pembangunan dan masa depan negara.

Umum mengetahui Umno-BN gagal membela dan menyelesaikan permasalahan negara, apakah rakyat masih ingin meneruskan dan mengekalkan kerajaan yang korup ini? Jika ya, maka natijahnya nanti ialah kegagalan.

Rakyat perlu dibawa keluar daripada kegelapan ini kepada cahaya masa depan. Malaysia perlu diselamatkan – dan objektif ini patut menyatukan semua pihak yang sayangkan Malaysia.

Hakikatnya, semua parti pembangkang ingin menukar parti yang menerajui kerajaan kini. Malangnya hari ini, selain Umno-BN, yang menambah duka dan derita rakyat ialah kecelaruan di kalangan parti pembangkang.

Rakyat ingin melihat pembangkang bersatu – bukan saling menyerang dan melemahkan satu sama lain.

Umno-BN bukan lagi menjadi penyelamat, malah ia adalah perosak. Dengan GST, Umno-BN boleh dianggap sebagai parasit. Oleh itu, suatu gagasan baharu mesti dibentuk.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengemukakan cadangan kerajaan teknokrat sebagai jalan keluar kepada kemelut politik pembangkang.

Kerajaan teknokrat adalah satu langkah ke hadapan bagi memberi peluang kepada tokoh dan cendekiawan negara menerajui hala tuju baharu dan pentadbiran negara manakala parti dan ahli politik menjadi wadah perubahan tersebut.

Maksud kerajaan teknokrat ialah sebuah sistem pemerintahan yakni kuasa parti politik terhadap negara hanya terhad untuk melantik kalangan profesional sebagai eksekutif pentadbir negara bermula daripada perdana menteri hingga ke peringkat terbawah.

Sebelum ini, pemimpin parti politik yang biasa menjawat jawatan perdana menteri dan menteri. Tetapi idea kerajaan teknokrat ini meletakkan penjawat tersebut berdasarkan kelulusan akademik tertentu yang tidak terlibat dengan pilihan raya.

Kuasa politik yang didapati melalui pilihan raya hanyalah sekadar kuasa untuk melantik siapa yang sesuai di kalangan profesional untuk mentadbir negara.

Berdasarkan sejarah politik negara, kita harus menerima hakikat bukan semua teknokrat tahu berpolitik dan bukan semua ahli politik itu berminda teknokratik.

Lantas, lontaran idea ini perlu diteroka.

Dengan kerajaan teknokrat, polemik sempit berdasarkan persepsi semata-mata, persaingan dan penindasan atas nama perbezaan parti politik, salah guna kuasa oleh ahli politik, kediktatoran seseorang ahli politik dan cara berpolitik fitnah dan durjana dapat dikurangkan.

Kepada para pimpinan parti politik, terutamanya pembangkang: ‘We need to rise above’. Marilah berpolitik secara matang dan memikirkan ke arah gagasan besar ini sebagai suatu jalan keluar bagi masa depan Malaysia tercinta.

Untuk mencapai matlamat ini, rakyat perlu menjadi pendesak dan guru disiplin kepada pemimpin dan ahli politik agar mereka berpolitik secara matang dengan mengutamakan negara dan kesejahteraan rakyat terlebih dahulu.

Konsep pembangkang juga perlu diubah. Mereka perlu dilihat sebagai rakan dialog berharga bagi membangunkan negara.

Rakyat perlu memberikan mesej kepada para ahli politik yang mereka perlu bekerja untuk undi kamu dan bukannya sekadar mengambil kesempatan dengan menganggap rakyat secara automatik akan mengundi mereka jika mereka menolak satu pihak lain. – 22 Februari, 2016.

* Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man adalah timbalan presiden PAS.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments