Rencana

Pemecatan Dr Mahathir rugikan Najib – Shahbudin Husin

Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya ditamatkan perkhidmatannya sebagai penasihat Petronas berikutan perbezaan pendapatnya yang berterusan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam tindakan yang diputuskan sebulat suara oleh Kabinet, bekas perdana menteri itu dianggap tidak layak lagi memegang jawatan tersebut kerana sikapnya yang dilihat tidak mendukung kerajaan sedia ada.

Asas utama penamatan khidmat Dr Mahathir ialah kerana Deklarasi Rakyat yang dilancarkannya minggu lalu bersama tokoh-tokoh ternama negara, termasuk daripada parti-parti pembangkang yang disifatkan Kabinet sebagai suatu percubaan untuk menjatuhkan kerajaan.

Walaupun tindakan terhadap Dr Mahathir ini dipercayai disebabkan desakan banyak pihak dalam Umno sendiri mengenai perkara itu, tetapi ini bukanlah tindak balas pertama Najib terhadap bekas perdana menteri itu.

Sebelum ini, Dr Mahathir juga sudah beberapa kali disiasat pihak polis di bawah Akta Hasutan berikutan kenyataan-kenyataan kerasnya menyingkirkan Najib daripada kerusi perdana menteri.

Sama ada Dr Mahathir akan dihadapkan ke mahkamah atau sebaliknya, ia akan banyak dipengaruhi apa yang dilakukannya selepas ini.

Jika Deklarasi Rakyat menyebabkan Dr Mahathir dibuang sebagai penasihat Petronas, tidak mustahil deklarasi itu juga akan menyebabkan "kandang tertuduh" di mahkamah pula bakal menantinya selepas ini.

Bagi Dr Mahathir, penamatan khidmatnya di Petronas ini mungkin bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau sendiri pernah menawarkan diri untuk berundur daripadanya pada Disember 2013 lalu.

Bagaimanapun, hasrat Dr Mahathir itu ditolak Najib yang merasakan masih ada keperluan bagi beliau terus kekal memberi sumbangan kepada pembangunan dan kejayaan di syarikat minyak utama negara itu.

Maka, penamatan ini dipercayai tidak akan memberi apa-apa kesan psikologi dan emosi kepada Dr Mahathir.

Tetapi di mata rakyat, keputusan Kabinet itu rata-ratanya tidak boleh diterima mereka, terutama kerana menyanjung kebijaksanaan Dr Mahathir menjulang nama negara melalui Petronas dengan antaranya membina Menara Berkembar KLCC, Litar Lumba Sepang dan Putrajaya.

Dengan penamatan khidmat Dr Mahathir, rakyat lebih melihat ia sebagai tindakan politik keterlaluan daripada Najib dalam mendepani serangan dan kritikan bekas perdana menteri itu.

Soalnya, apakah keputusan Kabinet itu akan menyebabkan Drn Mahathir mengendur dan mengalah atau asakan-asakannya menjadi lebih keras?

Tiadakah pilihan lain yang boleh diambil selain menamatkan perkhidmatan beliau di Petronas yang sebenarnya tidak memberi apa-apa manfaat pun dari segi pengaruh dan kewangan dalam konteks perbalahan Dr Mahathir itu dengan Najib?

Tetapi berdasarkan hakikat Dr Mahathir akan terus melakukan serangan dan mengkritik Najib, perkembangan ini akan melimpahkan lagi simpati rakyat terhadapnya.

Dalam masa yang sama, Najib pula akan terus tersepit dalam usaha meraih sokongan dan dukungan rakyat kerana selain dianggap terlalu keras, jasa dan sumbangannya kepada negara tentu saja umpama langit dengan bumi berbanding Dr Mahathir.

Maka, keputusan Kabinet ini, selain jauh daripada memberi keselesaan, ia akan menambah kesusahan kepada Najib dalam hari-hari yang bakal dilaluinya. – shahbudindotcom.blogspot.com, 12 March, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments