Rencana

Perlucutan jawatan Dr Mahathir bukti Najib perlu lepaskan jawatan – Mahfuz Omar

Perlucutan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat Petronas tidaklah mengejutkan. Ini sudah dijangka atas sifat dan amalan politik bebal, panas baran dan degil perdana menteri dan pimpinan kerajaan yang memiliki “otak selut” dalam membuat keputusan.

Perlucutan Dr Mahathir tidak membantu menyelesaikan atau mengurang masalah yang sedang dihadapi negara dan rakyat yang berpunca daripada kedegilan seorang iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Yang melucukan adalah alasan perlucutan hanya berkisar kepada Deklarasi Rakyat “Selamatkan Malaysia” yang diusahakan dan digerakkan Dr Mahathir dianggap Kabinet sebagai hendak menjatuhkan kerajaan secara yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan. Dr Mahathir dianggap tidak lagi mendukung kerajaan.

Saya hairan bagaimana ketetapan Deklarasi Rakyat yang bersetuju penyingkiran Najib sebagai perdana menteri menerusi saluran damai dan mengikut saluran undang-undang yang dibenarkan dianggap bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara?

Adakah dengan Najib sendiri melepaskan jawatan atau undi tidak percaya di kalangan ahli Dewan Rakyat atau tuntutan desakan serta rayuan daripada rakyat untuk Najib melepaskan jawatan dianggap menyalahi undang-undang negara?

Apakah peristiwa penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dengan akuan bersumpah yang dipaksa ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno-Barisan Nasioanal mengikut saluran undang-undang?

Apakah peguam negara memberikan tafsiran ini kepada Kabinet yang akhirnya menghasilkan keputusan melucutkan Dr Mahathir? Keputusan Kabinet melucutkan Dr Mahathir dengan alasan yang tersebut menunjukkan “pemikiran otak selut” pemimpin Umno-BN.

Bukankah Dr Mahathir sendiri pernah meletakkan jawatan? Begitu juga Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatan selepas diminta dan didesak banyak pihak untuk beliau melepaskan jawatan perdana menteri kerana kelemahan dan kegagalan beliau mentadbir negara?

Kini, kepimpinan Najib lebih buruk daripada Pak Lah. Kerosakan kepada negara dan kehidupan rakyat dengan salah guna kuasa, rasuah, 1Malaysia Developemnet Berhad (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan sebagainya sudah sampai pada tahap yang kritikal.

Keputusan Kabinet hanya atas asas "Demi Najib" dan terus mempertahankan kepentingan seseorang bukannya demi negara dan rakyat. Jika mereka berjuang atas dasar demi negara dan rakyat sewajarnya ahli Kabinet bersama Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia sekali gus meminta Najib melepaskan jawatan perdana menteri.

Menyingkir dan meminta Najib melepaskan jawatan bukannya menggulingkan kerajaan. Deklarasi Rakyat tersebut bertujuan untuk memperbetulkan kerajaan dan mengembalikan Malaysia pada landasan yang sebenar.

Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia ialah sebahagian daripada langkah memartabatkan kuasa rakyat yang disalahgunakan kepimpinan kerajaan BN selepas mandat yang diperolehi. Langkah ini tidak melanggar mana-mana undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Sebaliknya, salah guna kuasa, rasuah, 1MDB, RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Najib, RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadi Najib dan sebagainya Najib dan kepimpinan negara adalah melanggar undang-undang dan Perlembagaan Malaysia.

Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia hanya bertentangan dengan nafsu politik Najib dan kepimpinan Umno BN. Perlucutan Dr Mahathir sebagai penasihat Petronas membenarkan dan membuktikan lagi tuntutan Deklarasi Rakyat Selamatkan Malaysia yang Najib perlu melepaskan jawatan perdana menteri. – 12 Mac, 2016.

* Datuk Mahfuz Omar ialah ahli Parlimen Pokok Sena.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments