Bahasa

Premis khidmat kiriman wang rugi RM24,400 selepas disamun

Sebuah premis khidmat kiriman wang dalam talian di Jalan Abdul Aziz, Kajang mengalami kerugian RM24,400 setelah premis itu disamun seorang lelaki, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Abdul Ghani Mohamad Ji berkata dalam kejadian 11.30 pagi tadi, suspek disyaki warga tempatan itu meluru masuk ke dalam premis berkenaan sambil mengacukan pistol ke arah pekerja dan pelanggan.

"Suspek bertindak melepaskan satu das tembakan ke siling dan menendang pintu kaunter sehingga pecah serta turut melepaskan beberapa das tembakan ke arah kaunter.

"Suspek kemudiannya masuk ke dalam kaunter dan mengambil wang berjumlah RM24,400 serta dua telefon bimbit milik pekerja sebelum melarikan diri dengan motosikal," katanya kepada Bernama hari ini.

Ghani bagaimanapun berkata tiada mangsa yang mengalami kecederaan ketika kejadian itu berlaku.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan pistol berkaliber 9mm berpandukan daripada dua kelongsong peluru yang ditemui di tempat kejadian.

"Suspek memakai jaket hitam berseluar jeans biru serta bertopi keledar merah bervisor dan memakai cermin mata hitam," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata suspek berkenaan masuk ke premis itu dengan mengekori empat lelaki disyaki warga Bangladesh yang hendak berurusan dengan syarikat berkenaan.

Menurut Ghani, ketika kejadian terdapat seorang pelanggan wanita sedang duduk di hadapan kaunter dan dua pekerja lain di dalam kaunter.

Ghani berkata kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan pihaknya kini sedang memburu suspek yang melarikan diri. – Bernama, 13 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments