Bahasa

Dapur terbakar, suri rumah melecur terkena minyak panas

Seorang suri rumah melecur akibat terkena minyak panas selepas dapur rumahnya terbakar ketika wanita itu sedang memasak di rumahnya di Mutiara Idaman, Solok Tengku, di George Town malam tadi.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada kebocoran pada tong gas memasak di rumah mangsa.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai Penguasa Bomba Kanan II D Raman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.55 malam dan jentera pertama bersama 7 pegawai serta anggota tiba di lokasi kejadian kira-kira 15 minit kemudian.

"Sebaik tiba, pihak bomba dapati bahagian dapur rumah berkenaan terbakar dengan api ketika itu sudah dipadamkan suami mangsa," katanya.

Beliau berkata anggota bomba kemudian terus mengambil tindakan memastikan api padam sepenuhnya dan tong gas bocor itu kemudian dipindahkan ke ruang terbuka.

Raman berkata mangsa yang berusia lingkungan 30-an itu melecur kira-kira 30% anggota badan selepas kepala, badan, tangan dan kakinya terkena minyak masak panas dan dia dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

Suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Razak, 30-an, berkata semasa kejadian, dia dan seorang anak lelakinya berada di ruang tamu manakala isterinya sedang memasak sebelum tiba-tiba terdengar jeritan isterinya.

"Saya terus pergi ke bahagian dapur dan nampak api di kawasan tempat isteri sedang memasak. Saya ambil air dan terus simbah untuk memadamkan kebakaran.

Ketika itu isteri sedang menangis sambil memberitahu badannya melecur terkena minyak panas," katanya.

Katanya isterinya masih dirawat di HPP dan dilaporkan dalam keadaan stabil. – Bernama, 14 Mac, 2016.                                   

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments