Bahasa

Pengurus ejen pembantu rumah mengaku tidak bersalah perdagang wanita

Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di Johor Baru hari ini atas pertuduhan memperdagangkan seorang wanita dan 4 pertuduhan membenarkan 4 wanita tidak memiliki permit yang sah menghuni rumahnya, hujung bulan lepas.

Tee An Nee, 49, yang merupakan pengurus ejen pembantu rumah, didakwa memperdagangkan seorang wanita rakyat Indonesia iaitu Sherly, 21, bagi maksud eksploitasi buruh paksa.

Tee didakwa melakukan perbuatan itu di rumahnya di Jalan Balau 9, Taman Rinting, Masai, di sini, kira-kira 5 petang, 24 Februari lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, yang boleh dipenjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Safiah Abd Aziz manakala Tee diwakili peguam Goh Sze Han.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias membenarkan wang jaminan ditetapkan esok pada sebutan semula kes itu di Mahkamah Sesyen, di Johor Baru.

Bagi 4 pertuduhan membenarkan 4 wanita rakyat Indonesia, iaitu Emilia Ikun, Buama, Paini dan Eba Soares Marsal yang tidak memiliki permit sah berada di dalam rumahnya, Tee didakwa melakukan kesalahan terbabit pada kira-kira 6.30 petang, di alamat dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum menurut Seksyen 55E (2) akta yang sama, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM10,000 atau maksimum RM60,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin dan Tee yang turut diwakili Goh, merayu mahkamah mengurangkan jaminan dengan alasan mempunyai 2 anak serta suami yang tidak bekerja.

Mohd Azlan menetapkan wang jaminan sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan tarikh 11 April depan untuk sebutan semula kes berkenaan. – Bernama, 14 Mac, 2016.      

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments