Bahasa

Pengarang TMI beri keterangan kepada polis

Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider Jahabar Sadiq antara yang tiba di Bukit Aman, Kuala Lumpur petang ini untuk memberi kenyataan.  – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 26 Februari 2016.	Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif The Malaysian Insider Jahabar Sadiq antara yang tiba di Bukit Aman, Kuala Lumpur petang ini untuk memberi kenyataan. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 26 Februari 2016. Polis mula mengambil kenyataan daripada 3 pengarang The Malaysian Insider berhubung laporan mengenai Panel Penilaian Operasi (PPO) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Bukit Aman, Kuala Lumpur petang ini.

Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif portal berita itu, Jahabar Sadiq, Pengarang Urusan Lionel Morais dan Penolong Pengarang Berita V Anbalagan mula-mula dipanggil masuk ke dalam ibu pejabat polis itu kira-kira jam 3.15 petang.

Mereka diiringi peguam The Edge Media Group, dan peguam hak sivil Syahredzan Johan.

Pada kira-kira jam 4 petang, 3 penyunting berita masuk ke balai bagi memberi kenyataan mereka.

Laporan yang disiarkan semalam memetik ahli PPO, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, berkata SPRM perlu mengemukakan semula kertas siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd kepada peguam negara kerana terdapat cukup bukti untuk melakukan pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Akses kepada laman web The Malaysian Insider disekat petang semalam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kerana kandungannya didakwa mengancam keselamatan negara di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pagi ini berkata, langkah itu diambil kerana laporan itu menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata menerusi Twitter awal hari ini, pihaknya akan memanggil ketua pengarang The Malaysian Insider dan menyiasat laporan "yang mengelirukan rakyat" itu.

Dua ahli PPO kemudiannya mengeluarkan kenyataan akhbar malam tadi menafikan terlibat dengan laporan dan sumber yang tidak dinamakan The Malaysian Insider.

Mereka ialah Pengerusi PPO Tan Sri Hamid Bugo dan ahli panel Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, yang menyangkal yang ia "mempunyai cukup bukti untuk mendakwa Najib berhubung SRC".

Mereka berkata, panel itu hanya menasihatkan SPRM untuk melengkapkan penyiasatannya.

Sehari sebelum itu, SPRM mengeluarkan kenyataan mengenai mesyuarat PPO yang diadakan pada hari yang sama, di mana panel menasihatkan agensi anti rasuah itu menghantar semula kertas siasatan mengenai SRC International kepada peguam negara untuk semakan.

SPRM berkata, panel itu juga mengesyorkan SPRM meneruskan siasatan yang belum selesai ke atas derma RM2.6 bilion kepada Najib dan mendapatkan bantuan peguam negara meminta bantuan undang-undang bersama bagi memperolehi maklumat daripada penyiasatan kewangan luar negara. – 26 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments