Bahasa

Deklarasi Rakyat sia-sia, kata presiden PAS

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Deklarasi Rakyat tidak akan membawa perubahan tanpa sokongan pemimpin Barisan Nasional (BN). – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac 2016.	Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Deklarasi Rakyat tidak akan membawa perubahan tanpa sokongan pemimpin Barisan Nasional (BN). – Gambar fail The Malaysian Insider, 9 Mac 2016. Deklarasi Rakyat yang ditandatangani bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama beberapa pemimpin pembangkang yang lain adalah sia-sia kerana ia tidak akan membawa sebarang perubahan tanpa sokongan pemimpin Barisan Nasional (BN), kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

"Saya sudah jelaskan sebelum ini, terdapat perkara-perkara yang kita (PAS dan parti pembangkang lain) bersetuju, dan ada perkara-perkara yang kita tidak bersetuju.

"Kami bersetuju mengenai perubahan tetapi bagi kami, ia perlu dilakukan dengan cara yang demokratik. 

"Perkara yang kami tidak setuju di sini ialah, ia dilakukan dengan tergesa-gesa," katanya.

Hadi menegaskan, terdapat 2 cara untuk membuat perubahan di negara ini, satu melalui pilihan raya dan satu lagi melalui undi tidak percaya.

"Kalau kita hendak guna undi tidak percaya, kena melalui majoriti di Parlimen dan perlu datang daripada Umno.

"Tetapi, kalau pemimpinnya (BN) tidak mahu, hanya kita yang mahu, ia satu usaha yang sia-sia," katanya.

Walaupun PAS secara rasmi enggan menyokong deklarasi itu, 4 pemimpinnya turut menurunkan tandatangan iaitu pengarah strategi pilihan raya Datuk Mustafa Ali, Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar dan bekas naib presiden Datuk Husam Musa.

Hadi mengakui, ahli parti itu tidak sepakat berhubung isu berkaitan Deklarasi Rakyat.

"Kami tidak bersatu dalam perkara ini," katanya.

Pada Jumaat 4 Mac lalu, Dr Mahathir menandatangani deklarasi itu yang menggesa peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Turut menurunkan tandatangan ialah lebih 40 orang lagi, termasuk bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin parti pembangkang dan pemimpin pergerakan masyarakat sivil. – 9 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments