Bahasa

Husam ditonjolkan antara pengganti Anwar paling sesuai

Sesetengah pihak mula menonjolkan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sebagai salah seorang calon pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016.Sesetengah pihak mula menonjolkan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sebagai salah seorang calon pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insider, 14 Mac, 2016.Ketika Pakatan Harapan tercari-cari siapa pemimpin mereka yang layak menggantikan tugas Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk dalam penjara, sesetengah pihak mula menonjolkan bekas naib presiden PAS Datuk Husam Musa sebagai salah seorang calon penggantinya.

Husam diberikan mandat untuk melancarkan gelombang pertama program "Selamatkan Malaysia" yang diadakan di Kulai, Johor sebelum pusingan kedua diketuai bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad diadakan di Damansara, Kuala Lumpur.

Pusingan ketiga kempen ini adalah Kongres Rakyat Selamatkan Malaysia yang akan diadakan di Shah Alam, 27 Mac ini yang diusahakan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim.

"Husam mesti tinggalkan politik Kelantan dan tumpu kepada negara. Ini kerana bekas menteri besar Kelantan allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri pernah berkata, Husam untuk Malaysia bukan Kelantan saja," kata Pengerusi Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) Mazlan Aliman yang menganjurkan majlis pelancaran kempen pertama di Johor.

Kira-kira 1,000 orang memenuhi dewan sebuah hotel bagi menyertai majlis dilancarkan Husam itu. Johor dan Selangor dipilih menjadi tapak gerakan kali ini.

Husam ketika dihubungi berkata, beliau setuju untuk melancarkan kempen itu kerana perkara buruk perlu dicegah sebelum ia berlaku kerana petandanya sudah banyak ada.

"Sebelum berlaku seperti di Filipina dan Burma yang sehingga kini sukar untuk bangun, kita perlu sekat perkara ini," kata Husam kepada The Malaysian Insider.

Husam berkata jika lambat bertindak negara ini mungkin akan menerima nasib seperti kedua-dua negara berkenaan dan ia akan menyukarkan Malaysia untuk bangkit semula.

"Pada waktu itu kita tidak akan rasa kerosakannya dan tidak banyak yang boleh kita buat bagi memulihkan Malaysia," katanya yang juga Adun Salor, Kelantan.

Husam berkata beliau yakin, 20 hingga 40% ahli Umno juga menyokong cadangan untuk mengetepikan Najib itu terutama di Johor dan Selangor berdasarkan maklumat yang diterimanya.

"Lihat pada majlis sambutan 40 Tahun Najib dalam politik, banyak kerusi yang disediakan kosong saja," kata Husam.

Bekas ketua penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata ketika ini kepentingan negara perlu diutamakan berbanding politik kepartian.

"Menurunkan Najib tidak boleh dilengahkan lagi kerana ia untuk kepentingan rakyat. Kalau kita tangguh, ia jadi untuk kepentingan parti,"katanya merujuk kepada sikap kepimpinan PAS yang mahukan Najib tidak dijatuhkan sekarang tetapi menunggu pilihan raya umum akan datang.

Mahfuz berkata, melalui pendekatan ini, jika Najib berjaya dijatuhkan sebagaimana yang sedang mereka usahakan sekarang, tugas untuk mencari penggantinya bukan terletak di bawah parti lagi tetapi di bawah 222 ahli Parlimen Malaysia.

"Gantinya pula akan dibuat berdasarkan senara pendek 2 atau 3 nama yang kita buat bersama. Kita kena keluar daripada politik whip kalau kita fikir kerana kepentingan rakyat," katanya.

Mahfuz berkata, jika usaha ini berjaya dan perdana menteri baharu berjaya dipilih sebegini, beliau bakal mendapat penghormatan semua pihak di negara ini dan kestabilan akan tercapai. – 14 Mac, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments