Bahasa

Anak dibahagikan mengikut keyakinan pilihan penjaga mereka

Mahkamah Persekutuan yang disidangi 5 orang hakim pada Rabu lepas memberi hak penjagaan anak lelaki kepada Izwan Abdullah (kanan), sementara hak penjagaan anak perempuan diberikan kepada ibunya S Deepa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Februari, 2016.Mahkamah Persekutuan yang disidangi 5 orang hakim pada Rabu lepas memberi hak penjagaan anak lelaki kepada Izwan Abdullah (kanan), sementara hak penjagaan anak perempuan diberikan kepada ibunya S Deepa. – Gambar fail The Malaysian Insider, 15 Februari, 2016.Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk membahagikan hak penjagaan 2 anak antara seorang ibu beragama Hindu dan bekas suaminya, seorang mualaf selepas mendapati kedua-dua kanak-kanak tersebut yakin dengan pilihan penjaga mereka untuk tinggal.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, dalam penghakimannya setebal 32 muka surat yang dikeluarkan hari ini, berkata panel 5 hakim mendapati kedua-dua kanak-kanak itu, seorang lelaki berusia 8 tahun dan kakaknya berusia 11 tahun cukup mampu untuk menyatakan pendapat secara bebas dan untuk memutuskan pilihan sama ada untuk tinggal dengan ibu atau bapa mereka.

Rabu lepas, Mahkamah Persekutuan yang disidangi 5 orang hakim memberi hak penjagaan anak lelaki kepada Izwan Abdullah, 33, sementara hak penjagaan anak perempuan diberikan kepada ibunya S Deepa, 32.

Hakim Raus berkata kuorum mengambil kesempatan untuk menemu bual kedua-dua kanak-kanak itu dalam kamar untuk menentukan dengan siapa mereka mahu tinggal.

Hakim Raus berkata kanak-kanak lelaki yang memperkenalkan dirinya dengan nama Islam, memberitahu hakim dengan jelas dia cukup gembira tinggal bersama bapanya Izwan Abdullah dan juga berkata dia tidak mahu tinggal dengan ibunya.

Beliau berkata, kanak-kanak perempuan tersebut memberitahu hakim tanpa keraguan yang dia lebih suka untuk tinggal dengan ibunya.

"Dia juga memaklumkan kepada kami dia sekarang tinggal dengan ibunya di Johor Baru dan sekarang menuntut di sebuah sekolah antarabangsa di sana. Beliau berkata dia sangat gembira untuk bersama ibunya dan tidak mahu tinggal bersama bapanya," kata Hakim Raus.   

Beliau berkata berdasarkan temubual, mahkamah mendapati kedua-dua kanak-kanak itu yakin mengenai pilihan mereka dan mereka menetap dengan selesa dan masing-masing dijaga dengan baik.

"Kami berpendapat dengan mengambil kira kebajikan kanak-kanak itu sebagai perkara paling penting, adalah tidak wajar untuk mengganggu kedudukan sekarang," katanya.

Beliau berkata dalam situasi itu, mahkamah perlu mengubah perintah penjagaan dengan mengeluarkan perintah bahawa anak perempuan kekal dengan ibu dan anak lelaki tinggal bersama bapa.

Beliau berkata undang-undang menetapkan bahawa perintah penjagaan tidak pernah muktamad atau tidak boleh diubah, sambil menambah keadaan berubah apabila anak lelaki dilarikan oleh Izwan dua hari selepas Mahkamah Tinggi di Seremban memberi hak penjagaan kedua-dua anak kepada Deepa.

Anak lelaki tinggal bersama bekas suaminya sejak itu sementara anak perempuan kekal bersama ibu, katanya.

Beliau berkata tanggapan bahawa kanak-kanak yang kecil adalah lebih baik tinggal dengan ibu daripada bapa tidak semestinya menjadi faktor penentu tetapi harus dipertimbangkan bersama faktor lain yang berkaitan, dengan pertimbangan paling utama ialah kebajikan kanak-kanak itu.

Dalam penghakimannya, Hakim Md Raus juga berkata pasangan yang memeluk Islam tidak boleh membubarkan perkahwinan sivilnya dan memohon hak penjagaan anak yang lahir hasil perkahwinan sivil di mahmamah syariah.

Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 terus mengikat pasangan dalam perkahwinan sivil walaupun salah seorang daripada pasangan telah memeluk Islam, katanya.

Beliau berkata mahkamah sivil masih mengekalkan bidang kuasa untuk memutuskan mengenai perceraian dan hak penjagaan anak yang lahir hasil perkahwinan sivil antara bekas suami dan bekas isteri walaupun salah satu daripada pasangan memeluk Islam.

Sesuatu perkahwinan bukan Islam tidak secara automatik bubar apabila salah satu pasangan memeluk Islam, kata beliau sambil merujuk kepada seksyen 46 (2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 apabila Mahkamah Syariah tidak boleh membubarkan perkahwinan bukan Islam jika salah satu pihak telah memeluk Islam tetapi cuma mengesahkan bahawa pembubaran berlaku atas alasan pertukaran agama.

Beliau berkata undang-undang itu bersifat "pari materia" atau serupa (dua undang-undang berkaitan perkara yang sama yang harus dianalisis antara satu sama lain) dengan seksyen 46 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003.

"Ia adalah penyalahgunaan proses untuk pasangan yang memeluk Islam untuk memfailkan permohonan bagi membubarkan perkahwinan dan memohon hak penjagaan anak di mahkamah syariah," katanya.

Mahkamah syariah, katanya, hanya boleh mengeluarkan perintah berhubung perceraian atau membenarkan lafaz talaq oleh suami jika perkahwinan didaftarkan di bawah Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) atau bahawa perkahwinan dilangsungkan mengikut undang-undang syariah.

"Dalam kes sekarang, perkahwinan antara bekas suami (Izwan) dan bekas isteri (Deepa) tidak didaftarkan di bawah Enakmen 2003, dan perkahwinan juga tidak dilangsungkan mengikut Undang-undang Syariah," katanya.

Beliau berkata perkahwinan Deepa dan Izwan ialah perkahwinan sivil mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) dan oleh itu, Akta berkenaan yang memutuskan bidang kuasa berkaitan pembubaran perkahwinan dan juga apa-apa relif "ancillary".

Beliau berkata Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa terhadap perkara-perkara yang termaktub di bawah bidang kuasa mahkamah syariah, tidak terpakai untuk menafikan bidang kuasa mahkamah sivil untuk memutuskan mengenai perkara-perkara melibatkan perceraian dan hak penjagaan apabila satu daripada pasangan memeluk Islam.

Perkara 121 (1A) diperkenalkan bukan untuk mengenepikan bidang kuasa mahkamah sivil tetapi untuk mengelakkan sebarang konflik atau percanggahan antara keputusan mahkamah syariah dan mahkamah sivil

"Dalam kes sekarang, konflik timbul kerana bekas suami membawa kes tersebut ke Mahkamah Tinggi Syariah," katanya. – Bernama, 15 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments