Bahasa

7,000 kes ‘peluk Islam’ tanpa rela di Malaysia, kata kumpulan Hindu

Seramai 7,000 individu berhadapan dilema kerana didaftarkan sebagai Islam oleh ibu bapa mualaf dan mereka yang tersilap didaftarkan sebagai Islam oleh Kementerian Dalam Negeri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Februari, 2016. Seramai 7,000 individu berhadapan dilema kerana didaftarkan sebagai Islam oleh ibu bapa mualaf dan mereka yang tersilap didaftarkan sebagai Islam oleh Kementerian Dalam Negeri. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Februari, 2016. Lapan kumpulan pertubuhan Hindu kebangsaan berhasrat menarik perhatian perdana menteri berkenaan masalah yang dihadapi kira-kira 7,000 orang yang berada dalam dilema kerana cuba menggugurkan status Islam daripada dokumentasi rasmi mereka.

Kumpulan itu menubuhkan pasukan petugas yang dikenali sebagai Hindu Conversion Action Team dan bertemu ramai yang mengalami keadaan itu yang kini kecewa dengan keputusan mahkamah dalam kes M. Indira Gandhi dan S. Deepa yang membayangkan masa depan yang tiada harapan untuk mereka.

Presiden Hindu Sangam Malaysia Datuk R.S. Mohan Shan memberitahu The Malaysian Insider, masalah itu meluas di seluruh Semenanjung dan melibatkan individu yang kebanyakannya berpendapatan rendah yang mengamalkan agama Hindu tetapi didokumenkan sebagai Muslim.

Beliau berkata, 7,000 kes itu termasuk mereka yang didaftarkan sebagai Islam oleh ibu bapa mualaf dan mereka yang tersilap didaftarkan sebagai Islam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Mereka ini takut membawa kes mereka ke mahkamah manakala selebihnya tidak mempunyai cara mengetengahkan masalah mereka dan menaruh harapan kepada kes Indira dan Deepa.

"Tetapi keputusan mahkamah itu memberikan masa depan yang suram kepada mereka yang sukar boleh meneruskan kehidupan kerana status agama mereka," katanya.

Pengurus restoran Deepa, selepas perjuangan yang memakan masa 4 tahun, hanya diberi jagaan salah seorang daripada 2 anaknya oleh Mahkamah Persekutuan susulan tindakan bekas suami mualafnya menukarkan agama anak-anak mereka tanpa keizinannya.

Begitu juga dengan bekas suami kepada guru tadika Indira yang menukar agama 3 anak pasangan itu pada 2009 – yang ketika itu berumur 12 tahun, 11 tahun dan 11 bulan – kepada Islam, tanpa kehadiran atau pengetahuan Indira, hanya 6 hari sebelum dia memperoleh hak penjagaan bagi ketiga-tiga mereka di Mahkamah Syariah.

Indira mencabar penukaran agama anak-anaknya dan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan memutuskan pada 30 Disember tahun lepas yang kesahihan penukaran agama anak-anak itu hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Syariah.

Keputusan mahkamah dalam kedua-dua kes dikritik beberapa kumpulan dan juga ahli politik pembangkang serta peguam.

Women’s Aid Organisation (WAO) berkata, keputusan mahkamah tertinggi dalam kes Deepa menghakis hak Perlembagaan orang bukan Islam, dan hanya akan menggalakkan lebih banyak kes penukaran agama secara unilateral oleh salah seorang pasangan – isu yang akan mempunyai kesan lebih besar.

Peguam berkata, masalah Indira hanya akan berakhir sekiranya undang-undang dipinda dan bukan melalui mahkamah.

Mohan pula berkata, beliau amat kesal dengan kes melibatkan kesilapan perkeranian di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyebabkan penganut Hindu diisytiharkan sebagai Muslim.

"Ada juga yang mendapat tahu agama mereka didaftarkan sebagai Islam dalam kad pengenalan sedangkan mereka bukan Muslim.

"Jelas sekali, kes seperti ini adalah disebabkan kesilapan manusia, tetapi KDN tidak menguruskannya, sebaliknya meminta mereka yang terjejas pergi ke Mahkamah Syariah untuk menyelesaikannya.

"Mengapa mereka perlu pergi ke Mahkamah Syariah sedangkan mereka bukan Muslim?" soal Mohan.

Penasihat Pertubuhan Belia Hindu Selangor Arun Dorasamy berkata, pasukan itu kini mempunyai 500 kes yang didaftarkan dengan mereka, sambil menambah angka 7,000 itu adalah unjuran berdasarkan pertanyaan dan maklum balas yang diterima 8 NGO yang terlibat.

"Wujud kegagalan dalam sistem di mana penganut Hindu diisytiharkan sebagai Muslim kerana tindakan ibu bapa mereka pada masa lalu, tetapi mereka tidak pernah mengamalkan ajaran itu malah tidak mengetahui apa-apa langsung tentang Islam.

"Kes-kes ini menguji perpaduan dan keharmonian negara.

"Menjadi kewajipan moral dan tanggungjawab kita memberi mereka peluang hidup dengan cara yang mereka mahu," kata Arun.

Beliau berkata, mereka bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri yang memahami masalah yang dialami dan memberi jaminan akan membawa mereka bertemu Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan perkara itu.

"Kami berharap dapat memberikan pembentangan penuh kepada perdana menteri agar beliau tahu bagaimana meluasnya masalah ini dalam negara dan memberikan taklimat kepadanya mengenai penganut Hindu yang bertukar agama kerana isu dokumentasi,” katanya. – 23 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments