Bahasa

Kumpulan peguam Muslim sedia bantu kes ‘peluk Islam’ tanpa rela

Sekiranya dakwaan Hindu Conversion Action Team yang mengatakan 7,000 orang berada dalam dilema berkaitan status agama mereka sebagai Islam tanpa rela adalah benar, PPMM menawarkan khidmat guaman syarie kepada mereka yang dipaksa memeluk Islam atau pemelukan Islam mereka dibuat tidak selari dengan kehendak hukum syarak, kata Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Februari, 2016.Sekiranya dakwaan Hindu Conversion Action Team yang mengatakan 7,000 orang berada dalam dilema berkaitan status agama mereka sebagai Islam tanpa rela adalah benar, PPMM menawarkan khidmat guaman syarie kepada mereka yang dipaksa memeluk Islam atau pemelukan Islam mereka dibuat tidak selari dengan kehendak hukum syarak, kata Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 23 Februari, 2016.Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) hari ini melahirkan rasa terkejut dengan dakwaan Hindu Conversion Action Team yang mengatakan 7,000 orang berada dalam dilema berkaitan status agama mereka sebagai Islam tanpa rela.

Presidennya Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata sekiranya dakwaan itu benar, PPMM menawarkan khidmat guaman syarie kepada mereka yang dipaksa memeluk Islam atau pemelukan Islam mereka dibuat tidak selari dengan kehendak hukum syarak.

"Sebagai menjunjung perintah agama, PPMM bersedia meneliti setiap kes jika dirujuk bagi memastikan konsep kebebasan beragama sebagaimana yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan terjamin," katanya.

Zainul merujuk kepada Laporan The Malaysian Insider hari ini, di mana Hindu Conversion Action Team, pasukan tindakan dianggotai 8 pertubuhan Hindu, dilaporkan mendedahkan angka yang mengejutkan itu.

Presiden Hindu Sangam Malaysia Datuk RS Mohan Shan dipetik berkata, masalah itu didapati meluas di seluruh Semenanjung Malaysia dan melibatkan kebanyakannya mereka yang mengamalkan agama Hindu daripada golongan berpendapatan rendah dan didokumenkan sebagai Islam.

Beliau berkata, 7,000 kes itu termasuk mereka yang didaftarkan sebagai Islam oleh ibu bapa mualaf dan mereka yang tersilap didaftarkan sebagai Islam oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Dalam satu kenyataan, Zainul berkata PPMM mengesyorkan 8 NGO itu tampil memberikan perincian 7,000 kes satu persatu agar dapat diperhalusi dan tindakan susulan diambil jika benar dakwaan tersebut.

Beliau menegaskan, mahkamah tertinggi negara secara tuntas memutuskan memeluk Islam adalah isu agama Islam dan mahkamah yang berbidang kuasa mendengarnya adalah Mahkamah Syariah.

"Tidak ada jalan lain selain memohon suatu perintah di Mahkamah Syariah.

"Tidak timbul persoalan mereka tidak Islam dan tidak perlu pergi ke Mahkamah Syariah kerana dari sudut undang-undangnya selagi perkataan Islam itu wujud di kad pengenalan mereka, mereka hendaklah disifatkan sebagai Islam," katanya.

Beliau mengambil contoh dalam bidang perundangan lain, di mana sekiranya seseorang mempertikaikan sesuatu kontrak, orang itu hendaklah pergi ke mahkamah untuk mempertikaikannya.

"Tidak timbul isu, oleh kerana kontrak itu dipertikaikan dan tidak terpakai kepada beliau, beliau tidak perlu pergi ke mahkamah dan mengabaikannya.

"Selagi tiada perisytiharan mahkamah, kontrak tersebut masih berkuat kuasa. Begitulah kedudukannya tentang status keislaman seseorang," kata Zainul.

Beliau juga menjelaskan, bagi anak berumur bawah 18 tahun, Mahkamah Persekutuan memutuskan, ibu atau bapa atau penjaga boleh menentukan agama anak mereka dan ia juga selaras Perlembagaan dan hukum syarak.

Penghakiman ini perlu diterima sehingga ada keputusan sebaliknya oleh Mahkamah Persekutuan, katanya.

Zainul berkata, Islam tidak sekali-kali membenarkan mana-mana orang Islam memaksa bukan Islam memeluk agama Islam.

"Malah, Islam mengajar umatnya menghormati penganut agama lain dan menjamin hak mereka beribadat dan mengamalkan agama mereka.

"Islam mempunyai jurisprudensnya sendiri dalam isu pemelukan agama Islam oleh orang bukan Islam," katanya.

Zainul berkata, orang bukan Islam yang memeluk Islam atas kerelaan sendiri amat disanjung agama dan mendapat beberapa kelebihan berbanding yang dilahirkan Muslim, seperti diampunkan dosa sebelum Islam serta layak menerima zakat.

Namun katanya, ini tidak bermakna mereka boleh dipaksa memeluk Islam. – 23 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments