Bahasa

23 Mac keputusan permohonan Nik Nazmi batalkan pertuduhan

Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan. – Gambar  fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Mac, 2016.Mahkamah Tinggi di Shah Alam  hari ini menetapkan 23 Mac ini untuk keputusan berhubung permohonan anggota Exco Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad bagi mengetepikan pertuduhan menganjurkan perhimpunan 'Black 505' tanpa kebenaran di Petaling Jaya, kira-kira 3 tahun lepas.

Hakim Datuk Ghazali Cha menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Syahredzan Johan yang mewakili Nik Nazmi dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Pada 5 Januari lepas, Nik Nazmi, 34, yang didakwa untuk kali ke-3 bagi kesalahan itu, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Nik Nazmi yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, didakwa gagal memaklumkan kepada ketua polis daerah Petaling Jaya dalam tempoh 10 hari sebelum penganjuran program 'Black 505' di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan didakwa melakukan perbuatan itu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di Petaling Jaya pada 8.30 malam, 8 Mei 2013.

Beliau yang merupakan orang kena saman dalam kes itu didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 9(5) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Nik Nazmi, ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), didakwa kali pertama pada 17 Mei 2013. Beliau kemudian membuat permohonan untuk mengetepikan pertuduhan tersebut namun ditolak Hakim Mahkamah Tinggi pada 1 November 2013.

Pada 25 April 2014, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Pada 6 Februari 2014, Nik Nazmi didakwa kali ke-2 terhadap pertuduhan sama.

Bagaimanapun pada 6 Mei 2014, Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepaskan tanpa membebaskan Nik Nazmi daripada pertuduhan itu selepas hakim tersebut menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Hakim tersebut juga mengambil kira keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan Nik Nazmi untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya pada 25 April 2014.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Syahredzan memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membatalkan pertuduhan kali ke-3 ke atas Nik Nazmi atas alasan jika perbicaraan diteruskan, ia melanggar hak anak guamnya mengikut Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam itu berkata, Perkara 7(2) menyebut eseorang yang dibebaskan mahkamah tidak boleh dibicarakan semula melainkan mendapat perintah daripada mahkamah lebih tinggi.

Menurutnya, Nik Nazmi dilepas tanpa dibebaskan Mahkamah Sesyen dan anak guamnya hanya boleh dituduh semula di bawah pertuduhan sama sekiranya ada perintah daripada Mahkamah Persekutuan.

"Mahkamah Rayuan juga telah membebaskan Nik Nazmi dan keputusan itu masih sah serta tidak dibatalkan Mahkamah Persekutuan. Sehubungan itu, mahkamah ini (Tinggi) terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan," katanya.

Wan Shaharuddin pula berhujah, pertuduhan ke atas Nik Nazmi berasal dari Mahkamah Sesyen, maka tiada sebab untuk kes itu dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, pertuduhan kali ke-3 dibuat berdasarkan pertuduhan ke-2 iaitu pemohon dilepas tanpa dibebaskan.

"Pihak pendakwaan mempunyai bidang kuasa penuh di bawah Seksyen 145 Kanun Prosedur Jenayah untuk tuduh semula pemohon (Nik Nazmi) jika ia tidak melanggar prinsip Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sehubungan itu, kami tidak melanggar prinsip itu kerana pemohon tidak pernah dibicarakan," katanya. – Bernama, 11 Mac,  2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments