Rencana

‘The Other’ tokoh wartawan negara? – Ismail Hashim Yahaya

Masih tidak terlambat untuk saya membicarakan mengenai mengenai Majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara

Ia merupakan acara kemuncak suatu penghormatan kepada sumbangan wartawan kepada pembangunan negara dan pelestarian demokrasi di negara ini.

Semasa majlis berlangsung saya tengah memikirkan mengenai “The Other” tokoh wartawan negara, mereka yang tidak tergolong di dalam media arus perdana ini.

Sebenarnya konsep ketokohan itu sendiri masih boleh diperdebatkan?

Adakah tokoh itu bermaksud perjuangan untuk rakyat atau menjaga kepentingan parti dan kerajaan yang memerintah?

Bahkan istilah atau konsep media arus perdana ini pun masih boleh diperdebatkan. Siapa yang mengkelaskan akhbar dan media pro kerajaan ini sebagai arus perdana?

Adakah kerana kumpulan media ini memonopoli  penyiaran berita maka mereka adalah media arus perdana? Maksudnya  bagaimana  khalayak “The Other”.

Boleh dikatakan kesemua tokoh kewartawanan ini berasal daripada kumpulan media yang pro kerajaan. Bagaimana pula dengan mereka yang “:The Other” atau yang lain daripada arus perdana?

Adakah mereka tidak menyumbang kepada pembangunan negara dan kesinambungan dan kemantapan sistem demokrasi kita?

Atau kerana mereka sering mengkritik, mereka diangggap sebagai “musuh” kepada kerajaan misalnya?

Sedangkan tokoh-tokoh wartawan “The Other” sanggup dipenjarakan, didenda, diugut, memperjuang demi rakyat bukannya semata-mata terbatas kepada parti atau kumpulan elit tertentu.

Negara masih tidak terdapat organisasi bebas dalam pemberian penganugerahan tokoh kewartawanan kepada perjuangan wartawan yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Perkiraan tokoh kewartawanan masih berkisar kepada kecenderungan atau pertimbangan politik atau 2 pihak – kerajaan dan pembangkang.

Perjuangan tokoh wartawan Ahmad Boestamam, Said Zahari,  Aziz Ishak, Ishak Muhammad atau Pak Sako dan mereka yang seangkatan dengannya masih dikira dalam pertimbangan politik

Bagaimana dengan kumpulan wartawan daripada PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya), API (Angkatan Pemuda Insaf), AWAS (Angkatan Wanita Sedar), Batas (Barisan Tani Malaya), Hizbul Muslimin, KMM (Kesatuan Melayu Muda); adakah perjuangan mereka membebaskan tanah air daripada penjajahan ini yang dikira sebagai tidak sealiran dengan kerajaan memerintah maka mereka ini tidak digolongkan pejuang kemerdekaan misalnya?

Kumpulan wartawan daripada kumpulan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP),  Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Rangkaian Dunia Ketiga (TWN) yang terlebih dahulu dan ke depan dalam memperjuangkan isu kepenggunaan, alam sekitar dan dunia ke-3.

Siapakah yang mencetuskan kesedaran terhadap isu kepenggunaan dan alam sekitar di negara ini jika tidak kumpulan NGO di atas.

Mereka sentiasa mendedah isu kepentingan awam dan keselamatan rakyat daripada perjuangan wartawan arus perdana yang lebih menjaga kepentingan politik parti pemerintah dan kepimpinannya.

Isu kepenggunaan dan alam sekitar diperjuangkan oleh media arus perdana sekitar penghujung 1980-an dan terdapat isunya yang tidak didedahkan kerana kepentingan-kepentingan tertentu.

Adakah tiada ketokohan kewartawanan dari kumpulan NGO seperti di atas? Mengapakah rangka kerja tokoh kewartawan kita masih berpihak di platform lama, media kerajaan atau media pembangkang?

Kita masih tidak membicarakan perjuangan kumpulan wartawan daripada media baharu seperti The Malaysian Insider atau Malaysia kini.

Kumpulan wartawan The Edge misalnya memainkan peranan penting dalam menjelaskan isu mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saya difahamkan di antara kriteria seseorang itu layak mendapat anugerah tokoh kewartawan ialah dia mesti menjadi wartawan kadet. Adakah ini bermaksud dia  mestilah seseorang bijak dan mahir dalam “menggoreng” atau “re-angle’ berita?

Bagaimana dengan persoalan keintelektualan, kepimpinan dan ketokohannya di mata rakyat?

Apa yang ingin dijelaskan di samping wujud penganugerahan atas sumbangan para wartawan arus perdana, jangan kita digelapkan, dibuta dan melupakan sumbangan para wartawan dan tokoh dari pihak “The Other” juga.

Namun sumbangan wartawan daripada kumpulan “The Other” harus dihargai kerana perjuangan mereka itu amat bernilai untuk diamati. – 15 September, 2015.

* Penulis adalah pensyarah di Fakulti Komunikasi dan Media, Universiti Selangor (Unisel) kampus Shah Alam.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments