Rencana

Laporan kemalangan ngeri dikesali – Muhamad Takiyuddin Ismail

Saya merujuk kepada kemalangan ngeri yang berlaku di Lebuhraya Utara Selatan semalam berhampiran Kuala Kangsar.

Saya begitu kesal kerana media perdana tidak melakukan penyaringan kendiri terhadap imej dan grafik berhubung kejadian seperti itu.

Sebuah stesen penyiaran semalam menyiarkan video ‘ketika’ kejadian itu berlaku dan kebanyakan akhbar hari ini turut menyiarkan secara terperinci ‘detik menyayat hati’ ketika kejadian itu berlangsung.

Tindakan stesen penyiaran tersebut benar-benar mengejutkan kerana selama ini imej sedemikian rupa amat jarang diketengahkan secara langsung (apatah lagi sebagai berita terawal dan pertama yang diudarakan).

Tidak adakah hati perut terhadap keluarga dan kenalan mangsa dengan memaparkan imej sedemikian – imej yang akan terus menghantui mereka sehingga ke akhir hayat?

Tidak terfikir yang imej sedemikian turut memberi trauma kepada penonton dan pembaca yang lain? Saya jangkakan video seperti itu dikirimkan mereka yang berada di tempat kejadian dan kepada mereka yang sering mencari ‘publisiti murahan’ dengan menyalurkan imej sedemikian rupa ke media sosial, anda memang tidak langsung mempunyai sikap perikemanusiaan!

Kecenderungan begini sudah lama berlaku, khususnya oleh media harian tabloid yang cenderung menyiarkan terperinci mungkin gambaran sesuatu kemalangan ngeri.

Perkataan-perkataan seperti ‘terburai’, ‘tercabut’, ‘berkecai’ digunakan sewenang-wenangnya tanpa tapisan. Sedangkan gambaran demikian boleh dilunakkan dengan perkataan lain seperti ‘cedera parah’ dan ‘kemalangan menyedihkan’.

Malah ada kalanya imej-imej seperti mengutip cebisan daging atau organ mangsa dipaparkan secara bebas tanpa sekatan.

Lebih menjengkelkan apabila wartawan kemudiannya melakukan berita susulan terhadap keluarga mangsa dengan bertanyakan soalan-soalan yang ‘lebih menggamit kesedihan’. Di mana hati perut anda semua?

Penyiaran langsung video kemalangan semalam tidak patutnya berlaku dan saya memohon media mengambil pendekatan lebih berhemah dalam memaparkan kes-kes sebegini. – 23 Januari, 2015

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments