Opinion

Syok sendiri 5: PKR perlu ringankan beban

Di Syok Sendiri 4, data menunjukkan DAP juara jika jumlah kerusi yang dimenangi bertembung dengan parti goyah Barisan Nasional (BN) dijadikan ukuran. PAS pula menjadi juara jika jumlah kerusi yang dimenangi bertembung dengan parti kuat BN dijadikan ukuran. PKR pula menjadi naib juara untuk kedua-kedua kategori.

Selain itu, data juga menunjukkan PKR dan PAS adalah parti paling tertekan kerana terpaksa menghadapi parti kuat BN (Umno, PBRS, PBB, SPDP, PRS, UPKO dan PBS) melebihi 80% jumlah kerusi yang mereka bertanding.

DAP pula mempunyai tugas lebih ringan, di mana 84% kerusi yang ditandingi hanya bertembung dengan parti goyah BN (SUPP, MCA, MIC, Gerakan dan PPP).

PAS sudah biasa dengan situasi begini, kerana realiti politiknya, mereka adalah lawan Umno di kerusi Melayu.

Hari ini, hanya 14 kerusi yang tinggal di tangan PAS. Tujuh di Kelantan, 3 di Terengganu, 1 di Perak, 1 di Pahang, 1 di Selangor dan 1 di Kedah.

Enam kerusi PAS di Parit Buntar (Perak), Sepang, Shah Alam, Kota Damansara (Selangor), Kuala Terengganu (Terengganu) dan Kuala Krai (Kelantan) melompat ke Amanah. Manakala kerusi Tumpat (Kelantan) beralih ke PKR.

Ini bermakna, tiada kerusi PAS yang dapat menarik minat DAP kerana kebanyakan kerusi PAS di kawasan campuran sudah pun dimiliki Amanah, yang kini mengambil alih ejekan masyarakat sebagai “kuda DAP” daripada PAS, jika persepsi dijadikan sebagai bacaan politik semasa semata-mata.

Ini berbeza dengan PKR.

PKR adalah parti yang menanggung beban tertinggi di kalangan pembangkang dengan hakikat 79 kerusi daripada 98 kerusi parlimen yang ditandinginya berdepan dengan parti kuat BN.

Di kebanyakan 79 kerusi ini, PKR memerlukan sokongan penyokong PAS dan Umno jika mereka berikhtiar untuk menang. Tanpa bantuan PAS, peluang PKR di 79 kerusi ini akan menjadi tipis. Jika PKR mengambil sikap DAP bermusuh dengan PAS, peluang PKR memang di 79 kerusi ini akan menjadi sangat tipis dalam keadaan 3 penjuru.

PKR hanya mempunyai hak bertanding berdepan dengan parti goyah BN di 19 kerusi, yang rata-ratanya kerusi campuran dengan peratusan pengundi bukan Melayu yang tinggi. Kerusi ini boleh dimenangi dengan mudah jika PKR dan DAP meneruskan kerjasama dengan anggapan sentimen orang bukan Melayu terhadap BN terus kekal di Pilihan Raya Umum ke-14.

Oleh itu, PKR perlu mencari jalan untuk meringankan bebannya.

Jalan terbaik ialah PKR mengadakan rundingan semula dengan DAP supaya parti itu melepaskan bolotan terhadap 42 kerusinya bertanding melawan parti goyah dan dibahagikan secara sama-rata kepada PKR.

Sebagai balasan, PKR pula melepaskan sebahagian kerusi berdepan dengan parti kuat BN kepada DAP.

Contohnya, PKR boleh meminta DAP melepaskan 10 kerusi (5 kerusi yang DAP tewas, dan 5 kerusi yang DAP menang) bertanding dengan parti goyah BN kepadanya. Sebagai balasan, PKR memberikan hak bertanding di 20 kerusi (yang PKR tewas) berdepan dengan parti kuat BN. Pertukaran barter 1 kerusi berdepan dengan parti goyah BN dengan 2 kerusi berdepan dengan parti kuat BN adalah satu tukaran yang adil pada hemat penulis.

Dengan cara ini, DAP dapat meningkatkan jumlah kerusi yang ditandingi mereka daripada 50 ke 60 di seluruh negara, dengan 53% atau 32 kerusi berdepan parti goyah BN dan bakinya berdepan dengan parti kuat BN. Ini jauh lebih seimbang berbanding statistik hari ini di mana 84% atau 42 daripada 50 kerusi DAP adalah bertembung dengan parti goyah BN.

Manakala, PKR pula dapat mengurangkan beban dengan mengurangkan jumlah kerusi ditandinginya daripada 98 ke 88, dengan 33% atau 29 kerusi berdepan parti goyah BN dan bakinya berdepan dengan parti kuat BN. Keadaan ini jauh lebih sihat bagi PKR berbanding PRU13 di mana mereka bertembung dengan parti kuat BN di 81% atau 79 daripada 98 kerusi mereka bertanding.

Pembahagian semula kerusi ini boleh membawa persaingan lebih sihat antara PKR dan DAP, dan penentuan parti mana yang lebih kuat melalui jumlah kejayaan kerusi dimenangi daripada parti kuat BN.

Rundingan ini boleh berjaya sekiranya kedua-dua pihak masih mengidamkan Putrajaya. Namun, berdasarkan analisa syok sendiri penulis, mungkin PKR akan tepuk sebelah tangan kerana rakannya sudah memberikan gambaran mereka tidak lagi memikirkan Putrajaya.

Sebaliknya, rakan mereka kemungkinan besar memulakan percaturan mendapatkan hak untuk menentukan siapa yang patut menjadi menteri besar Selangor yang baharu di PRU14 di samping mengekalkan kuasa di Pulau Pinang secara bersendirian. – 23 November, 2015.

Syok sendiri

Syok sendiri 2

Syok sendiri 3

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments