Opinion

Syok sendiri 3

Minggu ini kita melihat situasi di Sabah, Sarawak dan Labuan. Jumlah kerusi Parlimen keseluruhan ialah 57 iaitu Sabah (25), Labuan (1) dan Sarawak (31).

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) memihak kepada BN yang memenangi 84% atau 48 daripada 57 kerusi yang dipertandingkan dan 9 kerusi untuk pembangkang di mana DAP memiliki 7 daripadanya manakala baki 2 dimiliki PKR.

Pembangkang hanya mendapat kerusi daripada tangan PBS, UPKO di Sabah dan hanya SUPP di Sarawak. DAP mendapat 2 kerusi daripada tangan PBS dan 5 kerusi daripada SUPP di Sarawak. PKR mendapat 1 kerusi daripada UPKO di Sabah dan 1 kerusi daripada SUPP di Sarawak.

Keseluruhannya, PAS tidak berjaya meraih sebarang kemenangan daripada 7 (8 jika termasuk Labuan bertembung kerusi dengan PKR) kerusi yang ia bertanding. DAP meraih 54% kemenangan daripada 13 kerusi yang ditandinginya. Manakala PKR kalah di 35 (termasuk Labuan bertembung dengan BN dan PAS) daripada 37 kerusi yang ditandinginya.

Melihat senario di PRU13, pergeseran kerusi antara DAP dan PKR sudah pasti akan berlaku bagi PRU14 berdasarkan kepada prestasi PKR yang hambar iaitu hanya memenangi 2 kerusi tapi mempunyai hak milik bertanding di 37 kerusi berbanding hanya 13 kerusi untuk DAP.

Sudah tentu ada kerusi di tangan PKR yang diminati DAP, dan juga di sebaliknya kerana PKR merasakan kerusi dimenangi DAP boleh juga dimenangi mereka jika PKR yang bertanding, manakala DAP merasakan ada kerusi PKR tewas boleh dimenangi jika DAP yang bertanding. Persoalannya, apakah mereka sanggup berganjak kerana masing-masing mengetahui hak untuk bertanding di mana-mana kerusi adalah kebendaan paling berharga di antara pembangkang untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dengan BN? Bagaimana pula dengan Amanah?

Berlatar-belakangkan ini, fahamlah mengapa sentiasa wujud ketegangan di antara DAP dan PKR di sebelah Timur Malaysia.

Kekuatan BN di Sabah, Sarawak dan Labuan

Lima daripada 8 parti yang mewakili BN bertanding di Borneo mencatat kemenangan 100%. Mereka ialah Umno, PBRS, PBB, SPDP dan juga PRS. Lima parti ini menguasai 39 daripada 57 atau 68% kerusi yang dipertandingkan di Sabah, Sarawak dan juga Labuan.

Umno dan PBB masing-masing menguasai 14 kerusi di Sabah dan Labuan dan Sarawak. Enam daripada 7 kawasan PAS bertanding bertembung dengan Umno (1) dan PBB (5) manakala satu lagi di tangan PBS Sabah.

Parti paling lemah dalam BN ialah SUPP. Parti ini tewas 6 daripada 7 kerusi yang diamanahkan kepadanya. Kerusi yang dimenangi SUPP hanya di Serian berdepan dengan DAP dengan majoriti 13,151 undi. SUPP tewas di Miri (ke PKR), Sibu, Lanang, Sarikei, Stampin dan Bandar Kuching (kepada DAP).

BN dijangka akan mengurangkan kerusi SUPP dan meningkatkan kerusi bagi PBB, SPDP dan juga PRS bagi mengurangkan kadar kekalahannya di tangan pembangkang.

Kesimpulannya, tunggak kekuatan BN di Sabah, Labuan dan Sarawak ialah Umno di Sabah dan PBB di Sarawak.

Ketokohan Ketua Menteri Sarawak Adenan Satem menyebabkan PBB sukar dicabar mana-mana pembangkang. Di Sabah pula, pembangkang dari Semenanjung perlu bergelut dengan parti pembangkang tempatan dan juga BN dalam peperangan tiga atau empat penjuru pada PRU14 seperti yang terjadi di PRU13.

Walaupun dengan isu 1MDB dan derma RM2.6 bilion, tapi dengan keadaan pembangkang yang ada hari ini, BN masih mustahil ditumbangkan di Sabah, Labuan dan Sarawak berdasarkan analisa syok sendiri penulis. – 9 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Syok sendiri

Syok sendiri 2

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments