Rencana

Media ‘ditumbuk’, rakyat Malaysia yang ‘lebam’ – Adrian Lim Chee En

Media berperanan melaporkan peristiwa dan mendedahkan kemungkaran mana-mana pihak demi kemaslahatan umum.

Namun akibat ketakutan, atau barangkali dengan niat untuk menyembunyikan maklumat daripada diketahui, media sebagai mata dan telinga rakyat pula yang ditutup untuk membungkam pengetahuan.

Dalam kes penggantungan permit akhbar The Edge Financial Weekly, The Edge Financial Daily dan sekatan akses terhadap laman web Sarawak Report berhubung pendedahan skandal 1Malaysian Development Berhad (1MDB) dan kaitannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ketiga-tiga organisasi media ini seolah-olah “ditumbuk” pemerintah.

Namun malangnya, mata rakyat Malaysia pula yang lebam, kerana “tidak dapat membaca” akibat penggantungan permit dan halangan akses ke laman web.

Komitmen perdana menteri dalam kenyataannya pada 2012 yang kerajaan menghargai kewartawanan yang berani dan terbuka tidak lain hanya retorik. Kata anak-anak muda, ucapan Najib ibarat “cakap tak serupa bikin”.

Sedangkan rakyat Malaysia berhak mengetahui tentang isu hutang 1MDB yang dikatakan berjumlah RM42 bilion itu, dan derma RM2.3bilion yang diterima Najib.

Tidak ada sebuah bangsa maju dengan mendiamkan mulut rakyatnya yang bertanya.

Tidak ada sebuah pentadbiran seimbang apabila mendiamkan media di negaranya daripada terus menyampaikan pengetahuan.

Demi Malaysia, sebuah perkumpulan longgar anak-anak muda semua bangsa di Malaysia, menyeru rakyat Malaysia daripada pelbagai pelosok sosial dan latar belakang menyokong dan menunjuk solidariti kepada pihak media, yang dikatakan “estet keempat” dalam sesebuah sistem demokrasi, kerana jika bukan perjuangan pihak media selama ini, mustahil rakyat hari ini lebih terdedah kepada maklumat terkini.

Akhir kata, terima kasih kepada pihak yang menyempurnakan tugas dan amanah yang diberikan walaupun lebam “ditumbuk” bertubi-tubi oleh pemerintah.

Kita berpendirian kebebasan media dan kebebasan maklumat harus ditegakkan. Kami menyokong penuh “Perhimpunan 808” sebagai setiakawan kepada kempen #AtTheEdge. – 8 Ogos, 2015. 

* Penulis adalah penyelaras Demi Malaysia.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments