Rencana

Deklarasi Warganegara selamatkan Malaysia – A Kadir Jasin

Sekumpulan warganegara Malaysia memulakan usaha menyelamatkan negara dan meletakkan batu asas ke arah masa depan yang lebih majmuk dan demokratik.

Mereka melakukannya dengan menandatangani perisytiharan, yang antara lain mahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengundurkan diri.

Mendahului lebih 50 orang warganegara menandatangani deklarasi itu ialah Tun Dr Mahathir Mohamad.

Yang lain termasuklah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Ling Liong Sik, Tan Sri Sanusi Junid, Mukhriz Mahathir, Lim Kit Siang, Azmin Mohd Ali, Mohamad Sabu, Mustafa Ali, Muhammad Muhd Taib, Theresa Kok, Husam Musa, Ambiga Sreenavasan, Maria Chin Abdullah, Rafizi Ramli, Abdul Aziz Yassin dan Mahfuz Omar.

Raja Kamarul Bahrain, Fauzi Abdul Rahman, Mujahid Yusof Rawa, Lajim Hj Ukin, Khairuddin Abu Hassan, Tamrin Ghafar, Hamidah Osman, Dr Syed Azman Syed Nawawi, Salahuddin Ayub, Anthony Loke, Tian Chua, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Anina Saadudin, Cynthia Gabriel, Hasanuddin Mohd Yunus, Mohd Zahid Mat Arip, Abdullah Sani Abdul Hamid, Hishamudin Rais, Wan Abu Bakar Wan Mohamed, Amirudin Sham, Elizabeth Wong, Shamsul Iskandar dan Afif Bahardin. (Senarai ini belum lengkap)

Saya turut menandatangani dokumen itu.

Selain menggesa penyingkiran Najib, perisyhtiharan itu juga menuntut tindakan berikut:

* Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengan beliau;

* Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih dan;

* Pemulihan integriti insititusi yang dilemahkan, seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara dan PAC.

Matlamat mutakhir deklarasi itu berbunyi: “Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada Kerajaan yang dipimpin Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa diantara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integriti institusi nasional.”

Berikut adalah teks penuh deklarasi tersebut dalam bahasa Melayu.

Deklarasi Rakyat

1. Kami, warga Malaysia seperti nama-nama berikut ingin menyatakan kebimbangan kami terhadap keadaan politik, ekonomi dan sosial dalam negara.

2. Kami ingin menarik perhatian rakyat Malaysia terhadap kerosakan yang dilakukan kepada negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Sri Najib Razak.

3. Di bawah pentadbirannya negara jatuh tersenarai sebagai salah satu daripada 10 negara yang paling banyak mengamalkan rasuah mengikut laporan Ernst and Young Asia Pacific Fraud Survey Report Series 2013.Malaysia juga jatuh 4 anak tangga Indeks Persepsi Rasuah 2015, dari 50 ke 54.

4. Ini adalah kerana dianya percaya yang wang tunai boleh mempastikan kedudukannya sebagai perdana menteri Malaysia. Dia percaya duit adalah segala-galanya- “Cash is King”.

5. Peruntukan kepada semua kementerian dan institusi awam termasuk universiti dikurangkan kerana ketandusan kewangan. Walaupun diperuntukkan, tidak ada sumber kewangan.

6. Pada tahun 2009, beliau menubuhkan satu Dana Kekayaan Negara (Sovereign Wealth Fund) bertujuan untuk menjana pendapatan bagi Kerajaan.

7. Dia menubuhkan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kemudiannya dibebani hutang sebanyak RM42 bilion yang tidak dapat ditanggung. Ianya tidak lagi menjadi Dana Kekayaan.Sebaliknya Dana Hutang Negara.

8. 1MDB meminjam RM20 bilion untuk membeli 3 janakuasa elektrik pada harga yang RM12.1 bilion, melebihi harga pasaran. Walaupun diberi kontrak untuk membina janakuasa baru selain lanjutan bagi konsesi yang hampir tamat, syarikat janakuasa 1MDB ini dijual pada harga RM9.83 bilion dengan kerugian berjumlah RM2.27 bilion.

9. 1MDB juga melabur atau meminjamkan sebanyak AS$1.83 bilion kepada Petrosaudi International (PSI) Limited diantara 2009 dan 2011 di dalam projek dan aset yang tidak wujud. Bank Negara Malaysia meminta supaya 1MDB membawa pulang semula wang tersebut ke Malaysia kerana kebenaran yang diberi untuk pelaburan berdasarkan kepada maklumat yang tidak tepat. Daripada jumlah ini, sebanyak US$1.45 bilion secara langsung atau tidak langsung disalurkan kepada syarikat Good Star Limited dan lain-lain syarikat dibawah penguasaan Low Taek Jho.

10. Untuk menutup kehilangan wang tersebut, 1MDB melupuskan pelaburan dan pinjaman ke PSI untuk AS$2.318 bilion, dengan mendakwa yang ianya membuat keuntungan sebanyak AS$488 juta. Bagaimanapun, tidak ada sesen pun daripada jumlah ini yang dipulangkan ke Malaysia. Sebaliknya 1MDB mendakwa yang wang tersebut dilabur di dalam dana di Kepulauan Caymans, yang kemudiannya dibongkar sebagai sebuah firma pengurusan pelaburan tidak berlesen. KPMG disingkir sebagai juruaudit 1MDB kerana enggan mengesahkan nilai pelaburan dana Caymans yang penuh misteri.

11. 1MDB mendakwa juga yang pelaburan di Kepulauan Caymans ini pun ditebus sepenuhnya. Sebanyak AS$1.22 bilion dilaporkan ditebus pada 5 November 2014, tetapi digunakan pada hari yang sama untuk membayar ganti rugi kepada Aabar Investments PJS. Ini merupakan gantirugi kerana menamatkan opsyen yang diberi kepada Aabar untuk membeli 49% saham di dalam syarikat janakuasa 1MDB. Ini merupakan 1 penipuan kerana, syarikat induk Aabar, International Petroleum Investment Corporation (IPIC), tidak pun menyebut tentang penerimaan pembayaran tersebut di dalam akaunnya yang diaudit dan tersiar di London Stock Exchange. Sebaliknya akaun IPIC menyebut 1MDB terhutang sejumlah AS$481 juta kepadanya kerana penamatan opsyen tersebut.

12. 1MDB juga mengambil hutang berjumlah AS$975 juta daripada konsortium Deutsche-Bank pada September 2014, untuk tujuan yang sama iaitu membayar ganti rugi kepada Aabar. Akhbar the Wall Street Journal membongkar wang tersebut digunakan untuk membayar pihak lain di British Virgin Islands yang mempunyai nama yang lebih kurang sama iaitu, “Aabar Investment PJS Limited”, yang dimiliki oleh pihak yang tidak ada kena mengena dengan IPIC. Penipuan licik ini berjaya memperdayakan juruaudit 1MDB, Deloitte Malaysia yang mempercayai bayaran diterima Aabar kepunyaan IPIC.

13. 1MDB mengumumkan ia membuat tebusan ke-2 dan terakhir berjumlah RM1.1 bilion daripada pelaburan di kepulauan Cayman pada Januari 2015. Pada mulanya perdana menteri memaklumkan kepada Parlimen jumlah tersebut dimasukkan ke dalam Bank BSI di Singapura. Dua bulan kemudian, pada Mei 2015, dia memberitahu Parlimen, ianya bukanlah di dalam bentuk wang tunai, tetapi aset. Kemudian, dijelaskan pula yang aset ini merupakan “unit” yang bermakna ianya tidakpun ditebus.Ini membuktikan yang 1MDB dan perdana menteri berulang-kali menipu rakyat Malaysia. Ianya juga bermakna wang yang dilaburkan di dalam Petrosaudi yang kemudiannya dilabur semula di Kepulauan Caymans, masih lagi hilang dan tidak dapat diperakukan.

14. Seorang bekas naib ketua bahagian Umno Batu Kawan membuat laporan polis berkenaan kehilangan sejumlah wang yang besar 1MDB. Tiada sebarang siasatan dilakukan polis. Sebaliknya pengadu disoal-siasat polis, ditahan dan didakwa dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana mensabotaj ekonomi negara. Peguam beliau juga ditahan dan didakwa dibawah Akta yang sama. Ini menakutkan sesiapa sahaja yang ingin melapor pada polis berkenaan dengan 1MDB.

15. Akhbar Wall Street Journal melaporkan yang Najib mempunyai AS$681 juta di dalam akaun peribadinya di Ambank.

16. Najib pada mulanya menafikannya, tetapi kemudian mengakui dianya mempunyai sejumlah wang yang banyak di dalam akaun peribadinya. Dia mendakwa menerima derma dari seorang Arab, kemudian ianya menjadi derma untuknya memenangi Pilihanraya Umum ke-13; kemudian pula menyatakan ianya adalah kerana dedikasi beliau menentang keganasan. Dia kemudiannya mendakwa menerima duit berkenaan daripada seorang Putera Raja Arab Saudi, dan kemudian daripada Raja Arab Saudi yang mangkat.

17. Kemudian seorang menteri Arab Saudi menyatakan tidak terdapat apa-apa rekod berkenaan sebarang hadiah daripada Arab Saudi. Beliau mencadangkan wang tersebut mungkin merupakan peaburan.Tetapi jumlahnya kecil.

18. Najib menyatakan hasrat untuk menyaman Wall Street Journal di mahamah. Tetapi dia tidak berbuat apa-apa. Sebaliknya dia meminta peguamnya bertanya kepada Wall Street Journal kenapa akhbar itu menyiarkan laporan tersebut.

19. Hingga ke hari ini WSJ berterusan mengeluarkan laporan demi laporan dengan fakta terperinci berkenaan dengan duit sejumlah AS$681 juta yang terdapat di dalam akaun peribadinya. Dianya masih tidak mengambil tindakan saman terhadap WSJ, sesuatu yang boleh dilakukan di negara di mana WSJ diterbitkan.

20. Khuatir dan syak dengan jumlah wang banyak dalam akaun peribadi Najib, 1 pasukan petugas ditubuhkan di Malaysia untuk menyiasat sumber wang tersebut. Empat institusi kerajaan terlibat, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Bank Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

21. Belumpun pasukan petugas berjaya selesaikan penugasan mereka, peguam negara, di singkir Najib atas alasan beliau sakit dan tidak mampu meneruskan tugasannya. Secara terang Najib memberi gambaran yang tidak benar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Tuanku bagi menggantikan peguam negara. Jawankuasa Kira-Kira Wang Negara dilumpuhkan apabila pengerusi serta beberapa ahlinya dipindahkan Najib bagi menghalang penyiasatan ke atas 1MDB. Pengerusi baru, kenalan Najib dilantik dan beliau secara spontan menyatakan yang Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan.

22. Najib kemudian melantik peguam negara baru. Peguam negara baru menolak cadangan Bank Negara untuk tindakan diambil sambil mendakwa yang tidak ada apa-apa di dalam laporan tersebut yang menunjukkan Najib melakukan kesalahan.

23. Rayuan Bank Negara tidak diendahkan.

24. Peguam negara yang baru juga menolak lagi satu laporan daripada SPRM. Kandungan laporan tidak didedahkan dan ancaman dibuat terhadap pendedahan laporan tersebut.

25. Peguam negara baru juga tanpa penjelasan yang munasabah menolak cadangan dari 2 institusi yang mempunyai kuasa dan kepakaran dalam bidang mereka.

26. Penolakanini juga menghalang perkara tersebut dibawa ke mahkamah di mana semua bukti dapat diketengahkan dan dibicarakan. Dengan ini peguam negara memain peranan sebagai pendakwa dan juga hakim. Proses undang-undang terhalang.

27. Timbalan perdana menteri yang disingkir kemudian mendedahkan yang peguam negara yang lama menunjuk bukti kesalahan yang dilakukan Najib bersangkutan skandal tersebut. Di masa yang sama, beberapa agensi kerajaan asing, iaitu Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Britain, memulakan siasatan ke atas 1MDB.

28. Akhbar di Malaysia ditapis menyebabkan rakyat lebih bergantung kepada laporan media asing. Tetapi apabila rakyat berbincang atau menulis berdasarkan laporan media asing, kerajaan menerusi ketua polis negara menjemput sesiapa sahaja untuk membuat laporan polis agar polis dapat menjalankan soal siasat terhadap orang itu.

29. Ini bercanggah dengan kegagalan polis menyiasat laporan polis yang dibuat terhadap Najib, Jho Low dan laporan Bank Negara dan SPRM kepada peguam negara. Peguam negara juga mengugut untuk jatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan rotan terhadap sesiapa yang bertindak membocor maklumat kerajaan. Ini bermakna yang kesalahan jenayah di dalam pentadbiran kerajaan pun akandilindung daripada pengetahuan awam.

30. Peguam negara mengumumkan sebahagian daripada sejumlah RM2.6 bilion (sebanyak RM2.3 bilion) dipulangkan kepada Arab Saudi. Selain daripada kenyataan ini tiada bukti lain yang dikemukakan.

31. Rakyat juga semakin menderita.

32. GST yang dikenakan Najib, kenaikan kadar tol lebuhraya, kesemuanya mengakibatkan kenaikan kos sara hidup, memaksa perniagaan ditutup, menyebabkan industri kepunyaan asing menghentikan operasi dan berpindah kepada negara lain.Ini mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran.

33. Walaupun rakyat membantah, Najib tetap menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) Amerika yang mengikis hak kita untuk membuat dasar dan undang-undang yang sesuai bagi negara kita.

34. Hari ini imej Malaysia amat buruk sekali. Selain diklasifikasikan antara 10 negara terburuk mengamalkan rasuah, Malaysia juga dianggap tidak demokratik.Hak kebebasan bersuara juga kebebasan akhbar terhalang, dan rakyat hidup dalam ketakutan ditangkap dan ditahan. Akta Majlis Keselamatan Negara digubal untuk memberikan perdana menteri dan bukan Yang di-Pertuan Agong kuasa mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai kawasan keselamatan dimana sesiapa sahaja boleh ditangkap dan ditahan tanpa bicara dan didakwa dibawah prosidur yang melanggar batas keadilan yang diterima.

35. Sebaliknya pula jika berlaku kesilapan dalam penggunaan Akta ini pegawai kerajaan, atau di mana terdapat salahguna kuasa, rakyat tidak boleh mengambil apa bentuk tidakan terhadap mereka. Whistleblowers, atau pemberi maklumat, diganggu dan dihukum, dan bukannya diberi perlindungan. Undang-undang lain digunakan yang menyekat kebebasan bersuara menegur salahlaku. Hak asasi yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak lagi membawa apa-apa makna.

36. Kerana semua sebab ini, kami rakyat Malaysia seperti yang tertera bersetuju dan menyokong;

a) Penyingkiran Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan.

b) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya

c) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih dan

d) Pemulihan integriti insititusi yang dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC

35. Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada kerajaan yang dipimpin Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa diantara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integrity institusi nasional. – kadirjasin.blogspot.my, 5 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments