Rencana

Ke mana hala tuju PAS? – Muammar Qaddafi

Seni politik peringkat tinggi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin sukar difahami, bukan sahaja oleh para pemerhati politik bahkan sebilangan besar penyokong PAS sendiri.

Tindakan dan kenyataan Hadi selalu membuatkan rakyat berteka-teki. Hujah beliau selalunya gagah dan menarik disusun sekali bersama dalil dan nas al-Quran.

Namun yang mengelirukan adalah pandangan Hadi yang selalu bertukar dan tidak konsisten, menurut penyokong beliau, Hadi mencontohi Nabi Muhammad SAW sebagaimana kisah perjanjian Hudaibiyah.

Bagaimanapun, adakah mereka mahu mendakwa Nabi juga selalu “U-Turn” dan mengeluarkan kenyataan mengelirukan?

PAS di bawah Hadi dilihat cuba memilih jalan selamat – mereka tidak mahu berkonfrontasi dengan Umno-Barisan Nasional (BN) namun pada masa yang sama dahagakan undi rakyat yang menolak BN.

Maka, sesekali keluarlah kenyataan memberi tongkat kepada Umno untuk terus berdiri dan pada masa sama cuba menarik perhatian pengundi yang mahu Umno dikalahkan.

PAS dilihat mahu pulangan (return) tapi tak nak risiko. Ada kalanya dilihat mereka mahu mentadbir negara tetapi masih mahu berkompromi dengan Umno hatta dalam pembahagian kerusi.

Kononnya perjuangan mereka adalah mahu mendaulatkan Islam di bumi Malaysia tetapi jelas kelihatan mereka turut membantu menguatkan para koruptor yang songlap duit rakyat.

Dalam politik,orang sebegini tidak layak diletak sebagai ketua. Politik seharusnya kena berani buat keputusan. Affirmative.  Wrong decision is better than no decision. Worst part on PAS adalah "kluk klek decision" lagi teruk berbanding "no decision".

Misalnya dalam isu deklarasi yang dibawa Tun Dr Mahathir Mohamad, rakyat tidak jelas apa sebenarnya PAS mahukan.

Presiden kata haram jatuhkan Datuk Seri Najib Razak. Nada timbalan Hadi pula dilihat lebih berbeza berbanding presiden.

Soal 2 wakil PAS hadir, ada suara mendakwa mendapat kebenaran khas, ada pula suara mendakwa mereka pergi atas tiket peribadi. Manakala, satu suara mengatakan pergi untuk tahu apa isi deklarasi, suara lain pula mendakwa pergi kerana strategi presiden.

Justeru, kita tertanya-tanya, mana satu kebenarannya?

Dalam kenyataan terbaru Hadi tentang isu Islam tidak membenarkan menjatuhkan pemimpin, adakah Hadi membagi signal kepada penyokong yang beliau mahu Bassar Assad dikekalkan di Syria dan jangan sesekali menyokong usaha menjatuhkan pemimpin Syiah itu?

Ironinya penyokong-penyokong Hadi kebanyakannya anti Bassar.

Dalam kes hudud pula, berlaku juga "kluk klek" yang mengelirukan rakyat.

PAS nak apa sebenarnya? Menteri besar Kelantan kata kalau hudud tidak laksana, beliau mahu meletak jawatan pada hujung 2015.

Naib presiden PAS merangkap timbalan menteri besar pula berkata, kalau Umno tidak beri laluan kepada hudud, PAS akan melancarkan perang kepada Umno.

Namun, presiden pula dilihat makin mesra Umno dan mursidul am PAS pula mempunyai jawatan di bawah timbalan perdana menteri daripada Umno.

Sebagai rakyat, kami keliru dengan PAS. Strategi peringkat tinggi PAS cukup sukar difahami dan dengan kekeliruan ini kami rakyat terpaksa letak PAS di tepi dan mencari alternatif lain bagi menggantikannya untuk kami undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti. – 10 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments