Rencana

Kuliah songsang dan surah gelap – Amirrul Jeffery Igai

Tiada siapa warga harus dipaksa untuk setia kepada kerajaan. Setia kepada kerajaan adalah sesuatu yang tidak wajib dijulang.

Setia kepada kerajaan adalah suatu kerja lucah. Setia kepada kerajaan adalah perkara yang songsang lagi gelap.

Lima prinsip Rukun Negara tidak berkiblatkan untuk setia kepada kerajaan. Paling dekat ialah setia kepada raja dan negara.

Kerajaan adalah suatu entiti. Institusi diraja satu lagi entiti dan negara adalah suatu entiti lain.

Kerajaan, raja dan negara merupakan entiti yang berlainan. Maka untuk setia kepada kerajaan adalah kerja manusia yang bonsai lagi mandul fikrahnya.

Golongan ini lama pencen daripada menggunakan akal dan fikrah yang kritikal. Dengan ini saya bersetuju jika ada gerombolan yang mengatakan kita wajib taat dan setia kepada kerajaan saya cadangkan agar dilucutkan kewarganegaraannya sebagai warga yang boleh berfikir secara waras.

Setakat ini yang dapat dikesan ialah Utusan Malaysia, Datuk Ahmad Maslan dan Datuk Seri Hassan Malik.

Apa yang kita perlu ialah kesetiaan kepada negara. Kesetiaan kepada negara ialah tidak merompak duit rakyat dan negara untuk dimasukkan ke dalam poket sendiri dan gerombolan kroni.

Setia kepada negara ialah tidak menjual negara kepada kaum pemodal antarabangsa yang berkiblatkan kapitalisme melalui Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA). 

Kesetiaan kepada negara ialah tidak menghancurkan sistem negara yang dibina pemimpin terdahulu. Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) membawa malapetaka dan bala kepada negara – adalah kerja lucah untuk kekal setia kepada kumpulan kaki rembat ini. 

Justeru, untuk menghasut rakyat bagi menumbangkan kerajaan yang korup, rasuah, salah guna kuasa, menghancurkan sistem kehakiman, ketirisan, budaya kroni adalah kerja yang suci lagi bersih.

Menghasut rakyat menumbangkan kerajaan yang rosak adalah kerja mulia. Menghasut rakyat meruntuhkan kerajaan yang penuh dengan rasuah akan beroleh pahala.

Saya bukanlah pak lebai atau ustaz – jauh lagi untuk menunaikah umrah di tanah suci sedikit masa lagi.

Jangan menganggap saya sudah bertaubat daripada menghasut rakyat. Tetapi jika kita berbuat baik – menghasut rakyat meruntuhkan kerajaan yang rasuah dan zalim adalah satu kerja murni dan merupakan kebaikan. Kerja kebaikan sinonim dengan pahala.

Jangan terikut-ikut dan terpengaruh dengan kuliah subuh “lebai” Datuk Seri Najib Razak di Sarawak yang mengatakan kerajaan Umno dan BN mengamalkan politik perpaduan, keharmonian dan kestabilan. Perpaduan dan keharmonian membawa tiada apa makna.

Ia hanya alat mengolah persetujuan rakyat. Mengolah persetujuan rakyat adalah penting bagi merebut kuasa politik dan mengatur punca-punca ekonomi. Soalnya ke mana punca dan hasil ekonomi negara disalurkan?

Menerjah poket kroni atau rakyat? Atau kita jaga semua? Tiada apa yang stabil selagi Umno dan BN masih diberi mandat untuk memerintah. Kekacauan ekonomi, sosial dan politik makin menggila. Haru sana dan biru sini merapu atas bawah. Tunggang langgang bin terbalik.

Maka adalah wajib kita menghasut rakyat untuk menumbangkan kerajaan. Setaraflah kita dengan rakyat Rusia semasa revolusi Bolshevik. Setaralah kita dengan rakyat yang berjuang semasa revolusi Manshevik. Setandinglah kita dengan rakyat semasa revolusi Perancis.

Deklarasi Rakyat yang ditelurkan Tun Dr Mahathir Mohamad, beberapa pemimpin pembangkang, NGO dan aktivis kaum kiri – yang saya pandang sebagai sebuah kuliah songsang dan lagi surah gelap. Saya melihat para pemimpin pembangkang dan aktivis ini tidak segan silu berpeluk dan tidur sebantal dengan Dr Mahathir.

Kalau boleh pipi Dr Mahathir akan dicium sekuat mungkin sampai terkeluar air liur basi. Ada kalangan mereka merupakan mangsa Dr Mahathir pada zaman beliau menjadi perdana menteri dahulu. Ada kalangan mereka yang pernah disumbatkan ke penjara. Ada yang menjadi mangsa salah guna ISA. Ada yang pernah dibuang ke luar negara – dan disekat daripada balik ke tanah air berpuluh-puluh tahun lamanya.

Deklarasi Rakyat hanya bertujuan menjahanamkan Najib. Kalau ia bertujuan mengatur kembali politik, ekonomi dan sosial negara yang ranap – maka dipersilakan buka langkah melakar perancangan lebih strategik.

Perlu sangatkan kita melupakan sikap kejam Dr Mahathir terhadap musuh politiknya? Bagaimana sosok tubuh punca segala masalah ini menyelesaikan masalah? Perlu diingat Najib adalah salah satu produk kelahiran sistem yang diamalkan Dr Mahathir sendiri selama 22 tahun memerintah.

Maka bekerja dengan Dr Mahathir bagi menghumbankan Najib adalahh tidak relevan sama sekali. Pembangkang ada banyak lagi perkara yang mendesak yang wajib didahulukan. Salah satu ialah menjelajah ke seluruh negara, menjelaskan tentang duduk perkara – bagi menumbangkan kerajaan Umno dan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti – tanpa perlu bantuan Dr Mahathir dan Deklarasi Rakyatnya.

Keluar Umno dan menelurkan Deklarasi Rakyat merupakan sebuah insurans politik untuk Dr Mahathir agar tidak disumbatkan ke dalam penjara selepas PRU14. Ini menurut firasat Dr Mahathir sendiri yang mengatakan pakatan pembangkang akan merajai Putrajaya pada PRU14 nanti. Umno akan lungkup dan tumbang.

Ia tidak ubah seperti bekas menteri besar Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang berpindah randah dari katil politik ke katil politik lain seperti yang berlaku sebelum PRU13 lalu.

Ini adalah kerana Pakatan Rakyat pada masa itu cukup kuat dan padu bagi merampas Putrajaya daripada golongan kaki kebas Umno dan BN.

Saya berani berkata Najib tidak akan meletakkan jawatan dalam masa terdekat. Najib hanya akan tumbang melalui pilihan raya atau rakyat turun ke jalan raya.

Najib tidak akan tumbang melalui undi tidak percaya di parlimen. Ini adalah kerana konco-konco Najib yang makan kontrak, yang minta naik pangkat, dan minta projek itu dan ini berselirat mengotori ruang Parlimen.

Pilihan raya negeri Sarawak hampir merapat kita sibuk dengan Deklarasi Rakyat. Jika ada orang bertanya adakah Deklarasi Rakyat lebih penting daripada pilihan raya negeri Sarawak? Jawapan saya antara ya dan tidak. Ini adalah kerana saya lebih yakin PRU14 lebih penting.

Pilihan raya umum lagi 2 tahun. Masa sudah suntuk. Masa sudah nazak. Masa makin mendesak. Sabah dan Sarawak adalah 2 nation-state yang memberi majoriti dan mandat kepada kerajaan Umno dan BN untuk terus memerintah, menjarah, merompak dan membazirkan harta negara.

Justeru, rakyat di sana wajib diberi kuliah pencerahan. Rakyat Sabah dan Sarawak harus dimasukkan ke sekolah politik. Rakyat Sabah dan Sarawak perlukan “alarm” untuk bangun daripada tidur.

Mereka wajib dihasut untuk menjadikan mereka menjadi marah. Pembangkang wajib berkampung di Sabah dan Sarawak selama 2 tahun mulai sekarang atau kempunan, menangis seperti bayi sekali lagi.

Nampaknya kini gerombolan pembangkang dan kumpulan pro pembangkang menampakkan agenda menumbangkan Najib nampaknya lebih penting daripada menyedarkan rakyat di Malaysia Timur itu terus berkhayal.

Surah ini dipenuhi dengan nada kebencian kepada kerajaan lama barai dan tindakan beberapa kerat pemimpin pembangkang yang semakin lama semakin terlihat kebebalannya. Sebab itu surah ini dinamakan kuliah songsang dan surah gelap. – 14 Mac, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments