Opinion

Tunisia tolak hukum Syariah – Rachid Ghannouchi masih lagi Islamis?

Apakah setiap orang Islam mesti menyokong perlaksanaan hukum Syariah? Apakah orang Islam yang menolak perlaksanaan Syariah itu anti-Islam?

Konteks soalan pertama ialah pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada April yangsetiap ahli Parlimen beragama Islam mesti menyokong perlaksanaan hukuman hudud.

Konteks soalan kedua ialah kritikan Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abd Rahman Osman dalam khutbah AidilAdha baru-baru terhadap orang Islam yang menyertai parti DAP “yang terang-terang menentang Islam”.

Dalam mempertahankan tuduhan keras terhadap DAP, beliau kemudian menuduh DAP “campur tangan dalam hal ehwal Islam seperti pelaksanaan hudud di Kelantan” sebagai contoh DAP menentang Islam.

Bagaimana kedua-dua soalan ini melibatkan saya? Mungkin ada pembaca yang sudah bertanya, “Kan engkau kafir? Kau tidak mempunyai kepentingan dalam perkara ini!”

Masalahnya apabila Syariah dilaksanakan di luar hal ehwal peribadi dan keluarga, maka sekalipun orang bukan Muslim akan terima kesannya, tak kira baik atau buruk. 

Sebagai contoh, di bawah Kanun Jenayah Syariah II Kelantan itu, kalau saya dirompak oleh seorang Muslim, maka kes saya akan diadili di Mahkamah Syariah dan saya tidak mempunyai kelayakan penuh untuk memberi keterangan kerana saya bukan orang Islam.

Sudah tentu saya – sungguhpun bukan orang Islam – adalah pihak berkepentingan (stakeholder) dalam kes ini.

Maka sebelum saya dituduh menghalang hasrat semua orang Islam untuk melaksanakan Syariah, sudah tentu saya berhak meneliti sama ada sememangnya semua orang Islam mesti menyokong perlaksanaan Syariah dan sama ada sesiapa yang menolaknya adalah anti-Islam.

Mei 2014: Brunei melaksanakan hukum Syariah

Kalau jawapan kedua-dua soalan ini adalah positif, mengikut logik ini, pemimpin Islam Asia Tenggara yang paling bertaqwa sekali dalam dekad ini sudah tentulah pemerintah Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Langsung tidak hiraukan “fitnah” media sedunia tentang cara hidup baginda dan kerabatnya yang rakus dan tidak bermoral, baginda dengan beraninya memerintahkan perlaksanaan Perintah Kanun Jenayah Syariah sejak Mei 2014.

Sungguhpun cuma 67% daripada rakyat Brunei adalah orang Islam, baginda juga dengan beraninya memerintah perlaksanan kanun jenayah Syariah kepada seluruh rakyat Brunei yang dewasa, tidak kira beragama Islam atau tidak.

Satu-satunya insan dewasa yang dikecualikan daripada kanun itu adalah Sultan Brunei yang “tidak pandai berbuat salah” mengikut perkara 84B Kanun itu.

Januari 2014: Tunisia meluluskan Perlembagaan sekular

Kalau di hujung timur dunia Islam hukum Syariah dilaksanakan pada Mei 2014, sebuah Perlembagaan sekular diluluskan di hujung barat Dunia Islam pada Januari 2014.

Antaranya, 2 perkara pertama Perlembagaan itu tidak boleh dipinda. 

Perkara 1:Kedaulatan, agama, bahasa, pemerintah

Tunisia sebuah negara yang bebas, merdeka, dan berdaulat, agamanya Islam, bahasanya Arab dan sistemnya republik.

Perkara 2: Negara madani

Tunisia sebuah negara Madani berasaskan kewarganegaraan, hasrat rakyat dan keunggulan undang-undang.

Seterusnya Perkara 6 yang menjamin “kebebasan dalam kepercayaan, hati nurani dan amalan agama, keberkecualian masjid” berbunyi:

“Negara adalah penjaga agama. Ia menjamin kebebasan hati nurani (conscience) dan kepercayaan, perlaksanaan bebas amalan keagaman dan keberkecualian masjid dan tempat beribadat yang lain daripada diperalatkan untuk semua tujuan kepartaian. 

Negara mengambil tanggungjawab untuk menyebar nilai-nilai keserdehanaan dan toleransi dan untuk perlindungan apa yang suci dan untuk penghalangan segala-gala pembinasaan ke atasnya. Ia juga mengambil tanggungjawab yang sama untuk menhalang dan menentang seruan Takfir dan hasutan untuk keganasan dan kebencian.”

Ini disusuli kemudian oleh Perkara 46 berkenaan dengan “hak-hak wanita” yang berbunyi:

“Negara mengambil iktizam untuk melindungi hak-hak termaktub (accrued rights) wanita dan berikthiar untuk memperkasakan dan membangun hak-hak ini.

Negara menjamin kesamarataan peluang antara wanita dan lelaki untuk mendapat akses kepada tanggungjawab pada semua peringkat dalam semua bidang.

Negara berusaha untuk mencapai sama banyaknya wanita dan lelaki dalam badan-badan perundangan terpilih.

Negara akan mengambil segala langkah yang perlu untuk menghapuskan keganasan terhadap wanita.” 

Nyata sekali Tunisia baru yang ingin dibina selepas Musim Bunga Arab ialah sebuah negara madani/sekular yang menjamin kepelbagaian, bukan “Dauliyah Islamiyah” (negara Islam dalam wacana moden) yang melihat sekularisme sebagai sesuatu yang dipaksakan ke atas umat Islam oleh penjajah Barat dan ingin menghapuskan sekularisme sebagai tanda kemenangan Islam terhadap Barat.

Yang menarik sekali, perlembagaan sekular Tunisia itu diluluskan di bawah pemerintah Islamis pimpinan Rachid Ghannouchi dan 98% daripada rakyat Tunisia beragama Islam.

Nyata sekali, Rachid Ghannouchi tidak berkongsi wawasan Hadi  seperti yang disampaikan dalam "Amanat Hadi", iaitu untuk menghapuskan “Perlembagaan penjajah, undang-undang kafir dan peraturan-peraturan Jahiliyah”.   

Rachid Ghannouchi merasakan 90% daripada undang-undang sedia ada di Tunisia sudahpun memenuhi lunas-lunas undang-undang Islam. Maka, tidak perlu digantikan dengan undang-undang baru yang bercop Syariah.

Rachid Ghannochi malah menerima asas utama Perlembagaan pada 1959 yang Tunisia itu negara merdeka beragamakan Islam dan berbahasakan Arab.

“Itu cukup untuk kami. Dalam sebuah demokrasi, parlimen yang menggubal undang-undang. Kami tidak ingin sebuah teokrasi di atas Parlimen. Ada pihak cuba nak tambahkan Syariah ke atas Perlembagaan baharu dan kami menolak semua panggilan ini. Rakyat tidak mencapai persetujuan dengan Syariah, maka kami harus tinggalkannya.”

Apakah seorang Islamis yang tidak ingin memperjuangkan Dauliyah Islamiyah itu masih lagi seorang Islamis? Malah, kalau mengikut piawaian Hadi dan mufti Pahang, bolehkah seorang itu beragama Islam dan tidak setuju dengan perlaksanaan hukum Syariah?

Menarik sekali, salah satu motivasi Rachid Ghannouchi dalam menolak perlaksanaan Syariah ialah perpaduan.

“Kami tidak ingin masyarakat Tunisia dibahagikan kepada dua kem yang bertentangan ideologinya, satu pro-Syariah dan satu lagi anti-Syariah. Kami mahu – paling utamanya – sebuah Perlembagaan untuk semua orang Tunisia, tak kira apa pegangan mereka.

Sudah tentu, pendirian Rachid Ghannouchi tidak diterima baik oleh semua.

Tetap ada kumpulan secular yang syaki sehari nanti partinya En Nahda akan melaksanakan syariah apabila ia menjadi sangat kuat. Di sebelah yang lain,  ada juga Salafis yang juga marahkan beliau.

Yang menarik bagi saya, Rachid Ghannouchi dijemput sebagai salah seorang tetamu utama dalam Konvensyen  Maqosid Syariah di Shah Alam pada 25 Oktober (Ahad) ini.

Tetamu utama antarabangsa yang lain ialah Dr Ibrahim Munir (setiausaha agung Ikhwan Muslimin Antarabangsa) dan Muhammad Anis Matta (mantan presiden Parti PKS Indonesia).

Penganjur Konvensyen ini ialah Ikram, sebuah pertubuhan Islam yang amat dihormati.

Memanglah saya kafir yang jahil sekali tentang Islam. Saya kurang faham mengapa Ikram mengundang Rachid Ghannouchi dan bukan Sultan Hassanal Bolkiah yang nyata lebih Islamis, kalau perlaksanaan Syariah adalah pengukur ketakwaan seorang Islam.

Dengan hati yang rendah, saya mendaftarkan diri untuk konvensyen ini untuk  memahami maqosid Syariah dan mengajak rakan-rakan bukan Islam saya untuk turut serta.

Suka tak suka, semua rakyat Malaysia adalah pihak berkepentingan dalam isu perlaksanaan syariah. Maka, pentingnya kita membelajar supaya tidak tertipu oleh mana-mana propaganda. – 4 Oktober, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments