Opinion

Termimpi saya dirompak di Kelantan

Soalan pertama daripada IO: Apakah perompak-perompak itu orang Islam ataupun orang bukan Islam?”

Kanun Jenayah Syariah membawa pendebatan yang sangat hangat.

Ramai orang Islam percaya dengan berkuat kuasanya undang-undang itu, maka Kelantan akan menjadi lebih aman dan beriman, bebas daripada pencurian, rompakan, zina, liwat, qazaf (tuduhan zina yang tidak berasas), kemabukan, murtad, pembunuhan dan kecederaan badan. Ramai juga yang menentang.

Emosi menggunung. Sampai ada yang membuat ugutan untuk membunuh dan merogol seorang wartawan wanita yang mengkritik Kanun Jenayah Syariah itu.

Dalam kehangatan dalam wacana awam ini, saya cuba mengkaji apakah perbezaan yang akan dibawa oleh Kanun Jenayah Syariah II Kelantan yang akan mengganti sebahagian daripada Kanun Keseksaan (Penal Code) dan Kanun Tatacara Jenayah (Criminal Procedure Code) yang digunakan hari ini.

Saya terbayang diri saya melawati sekali lagi bumi Kelantan yang indah.

Malang tidak berbau

Tiba-tiba, saya mendapati diri saya sedang memandu di Kota Baru. Langit masih hitam – belum subuh lagi. Tiba-tiba saya nampak 3 orang meminta bantuan di tepi jalan. 

Sebaik sahaja saya berhenti dan keluar dari kereta saya, mereka pun terus mengepung saya dan keluarkan pisau saya.

Dalam ketakutan, saya pun ikut saja apa perintah mereka. Mereka minta serahkan dompet saya dan menjadi marah apabila mendapati cuma ada RM30 dalam dompet.

Mereka pun mengambil alih kereta saya dan membawa saya ke sebuah mesin ATM yang berdekatan.

Di bawah arahan pisau, saya pun memberikan kata laluan saya dan ketua kumpulan mereka pun menembusi akaun saya. 

Sekali lagi, mereka menjadi marah lagi kerana akaun saya juga tidak banyak wang. Mereka akhirnya keluarkan jumlah maksima yang mereka boleh keluarkan iaitu RM500.

Mereka minta saya serahkan telefon bimbit saya. Kerana telefon Samsung saya dihantar untuk diperbaiki, saya sedang menggunakan sebiji Nokia 3100 yang lama.

Sungguhpun Nokia 3100 itu tidak berharga, mereka tetap rampas dari saya sebelum meninggalkan saya.

Siasatan di bawah undang-undang tinggalan penjajah

Saya pun pergi ke balai polis untuk membuat laporan polis dan dibawa jumpa pegawai penyiasat (IO) yang mengambil keterangan saya. Maka saya pun menceritakan segalanya.

Kemudian, IO itu membawa peralatannya ke kereta saya untuk mengutip kesan-kesan jari yang ditinggalkan oleh 3 orang perompak itu dalam kereta saya ketika mereka mengambil alihnya.

IO itu seterusnya menghubungi bank yang memiliki mesin ATM yang saya lawati. Seperti yang dijangka, perompak yang mengeluarkan wang saya dari akaun itu meninggalkan imej mukanya yang jelas di bawah kamera CCTV di depan ATM itu.

Imej perompak dalam klip video dan kesan-kesan jari para perompak bukan saja berjaya membantu pihak polis mengenal pasti dan menangkap 3 orang perompak ini, malah digunakan sebagai “bukti keadaan” (circumstantial evidence) dalam menyabitkan kesalahan mereka.

Sungguhpun 3 orang perompak menafikan penglibatan mereka, “bukti keadaan” dan keterangan saya berjaya meyakinkan hakim untuk sabitkan kesalahan mereka.

Perompak-perompak ini didakwa di bawah Seksyen 390 Kanun Keseksaan “Rompakan” dan Seksyen 392. Pendakwa raya memberitahu saya, hukuman maksima termasuk hukuman penjara selama 14 tahun kerana rompakan itu berlaku sebelum subuh, dan boleh diikuti dengan sebatan ataupun denda.

Katanya, dia akan meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara 3 tahun untuk setiap daripada mereka.

Siasatan di bawah Kanun Jenayah Syariah

Saya tidak tahu apa hukuman yang dijatuhkan di Mahkamah Seksyen Kota Baru kerana tiba-tiba saya muncul sekali lagi di balai polis untuk membuat laporan polis.

IO yang sama mengambil keterangan saya.  Soalan pertama daripada IO, “Apakah perompak-perompak itu orang Islam ataupun orang bukan Islam?”

“Maaf. Saya tidak pastilah. Mereka tidak memperkenalkan diri mereka sebelum memulakan rompakan.”

“Anda seharusnya tanya mereka orang Islam atau tidak. Ini akan banyak mempermudah kerja pihak polis. Tidak apalah, untuk peringkat ini, cuba beritahu saja tanggapan anda – mereka ini lebih berkemungkinan orang Islam atau orang bukan Islam?”

“OK. Daripada rupa bentuk, warna kulit, dan bahasa, saya rasa mereka ini kebarangkalian besar orang Melayu, maka orang Islamlah. Tetapi, bolehkan saya tanya mengapa agama perompak itu begitu penting?” Saya berasa hairan.

“Ini penting sekali. Kalau penjenayah orang Islam, kesnya pergi ke Mahkamah Syariah. Kalau dia bukan orang Islam, kesnya pergi ke mahkamah biasa. Jadi, kalau mereka kebarangkalian besar orang Islam, maka kita akan uruskan kes ini seperti apa yang dikehendaki oleh Kanun Jenayah Syariah 2015,” IO itu menjawab.

“Apa? Ke Mahkamah Syariah? Tetapi saya bukan Muslim! Bukankah Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob berkali-kali menjamin Kanun Jenayah Syariah ini tidak melibatkan bukan Muslim, Tuan IO?”

“Kalau saudara ialah penjenayah, memang itu ceritanya. Undang-undang mana yang dipakai adalah berdasarkan agama si penjenayah, bukan si mangsa,” IO itu menjawab.

Beliau lalu membuka senaskhah “Kanun Jenayah Syariah II (1993) 2005 Kelantan Darul Naim” yang baru dan menunjukkan jarinya kepada Seksyen 2:

“Kanun ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap orang Islam yang mukallaf bagi apa-apa kesalahan di bawah Kanun ini yang dilakukan olehnya dalam Negeri Kelantan.” IO membacakannya untuk saya.

Saya berasa pening tetapi terpaksalah terima hakikat ini. IO bukan pembohong yang tidak bermoral.

IO meneruskan persoalannya dan sampailah jumlah nilai barangan yang dirompak daripada saya.

“Saya dirompak RM30 dari dompet saya dan RM500 dari mesin ATM. Dan juga sebiji telefon bimbit Nokia 3100 yang lama itu.”

“Jadi ialah RM530 dan sebuah Nokia 3100. Berapakah nilai Nokia 3100 itu? Nilainya sampai RM93 kah agaknya?”

“Tuan IO, itu telefon bimbit yang lama. Siapa tahu nilai semasanya secara tepat? Mengapa Tuan tanya RM93 begitu spesifiknya?”

“Kalau nilainya RM93 atau lebih, maka jumlah rompakan genap 1 nisab atau RM623 mengikut harga emas hari ini, dan ini menjadi kesalahan hirabah – rompakan dalam bahasa Arab – tanpa kecederaan yang wajib dikenakan hukuman hudud, iaitu potong tangan kanan dan kaki kiri,” IO menunjukkan jarinya ke Seksyen 10(c).

”Tetapi, kalau jumlah rompakan kurang daripada RM623, maka hukuman hudud tidak boleh dikenakan, mengikut Seksyen 11(1) dan Seksyen 8(a),” IO menjelaskannya dengan sabar kepada saya.

“Pihak pendakwa raya sangat menekankan perkara ini kerana besar akibatnya. Kalau boleh, kita memang harap rompakan atau curian itu tidak melebihi nilai 1 nisab dan hukuman ta’zir yang lebih ringan. Hukum adalah untuk menjauhkan kita daripada perbuatan jahat.“

“Tuan IO tadi kata RM 623 ini harga hari ini. Maksud Tuan, ia berubah dari hari ke hari?”

“Betul, 1 nisab itu bernilai 4.45 gram emas menurut takrifan dalam Seksyen 3. Kami menggunakan harga emas yang dipaparkan di Maybank2u sebagai piawaian. Hari ini, Bank menjual 1 gram emas dengan RM142.97 dan membeli 1 gram dengan RM137.02. Kami mengambil nilai purata, iaitu RM140,” IO itu sambil menunjukkan jari kepada satu papan tanda “Harga Emas Hari Ini” di dinding biliknya.

Saya rasa pelik sekali. Bilik IO rasa macam pula seolah-olah kaunter bank.

“Jadi, nilai telefon bimbit itu sampai RM93 kah?”

“Tidak, Tuan IO. Itu RM80 saja cukuplah.”

“Terima kasih, saudara. Kalau boleh lepas, kita lepaskan sajalah. Pembinasaan oleh banjir besar tahun lepas belum lagi selesai dipulihkan. Dengan GST, harga semua naik, apakah yang boleh kita dapat dengan RM600 sekarang?” senyuman IO yang bermurah hati ini nampaknya pahit.

IO teruskan persoalannya. Saya memberitahu IO tentang kesan-kesan jari yang ditinggalkan oleh perompak di kereta saya dan juga gambar ketua perompak yang terperangkap oleh kamera CCTV di mesin ATM.

IO menelefon bank dan berjaya mendapatkan gambar ketua perompak itu.

“Ini samseng tempatan. Saya tahu mana carinya. Mari kita pergi ke kampungnya untuk cari 2 orang saksi untuk membuktikan kes ini.”

“Tuan IO tidak mahu ambil kesan jari mereka di kereta saya dulu? Nanti hilang pula.”

“’Bukti keadaan seperti jari malah gambar dalam CCTV tidak diterima sebagai bukti di bawah Kanun Jenayah Syariah,” jawab IO.

“Lain cerita kalau perompak kes saudara adalah orang bukan Islam dan kita boleh kendalikannya di bawah Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah. Maaf, saudara,” suara IO menjadi lemah hampir tidak terdengar.

“Di bawah Seksyen 39 dan 40, kesalahan cuma boleh disabitkan dengan keterangan lisan atau ikrar oleh yang dituduh atau saksi, dan 2 orang saksi diperlukan,” IO menjelaskan tetapi matanya menoleh ke arah lain.

“Maksud IO, kita perlu carikan seorang saksi lagi selain saya?”

“Maaf, saudara, kita perlukan 2 orang saksi, kerana saudara tidak layak.”

“Kenapa tidak layak? Bukan saya yang dirompak? Siapa yang lebih mengetahui apa yang berlaku daripada saya?”

“Maaf, saudara, di bawah Seksyen 41, saksi mestilah lelaki Islam yang aqil baligh dan yang adil. Saudara tidak layak jadi saksi sendiri kerana saudara bukan orang Islam. Maaf, saudara.”

Terkejut

Maka, dalam kebingungan dan kemarahan, saya terkejut daripada mimpi ngeri saya. Komputer saya masih belum padam lagi.

Saya sekali lagi terbaca hujah Pak Menteri kanun ini adil sekali dan pengkritiknya ialah pembohong yang tidak bermoral. – 22 Mac, 2015.

Kanun Jenayah Syariah Kelantan (Bahasa Malaysia)

Kanun Jenayah Syariah Kelantan (Bahasa Inggeris)

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments