Opinion

Mengapa hukum Inggeris boleh, hukum Islam tak boleh? (Bahagian II)

PAS harus membentangkan kajian yang menunjukkan kelebihan hukum jenayah syariah di Aceh dan negeri-negeri bersyariah di Nigeria serta menuntut penggubalan Perlembagaan baru, bukan tergesa-gesa ingin mencari jalan singkat dengan majoriti mudah di bawah Perkara 76A.

Mungkinkah bukan Muslim boleh dikecualikan?

Sesetengah pendukung hukum jenayah syariah kelihatan kurang keyakinan dengan kesejagatan hukum ini.

Daripada menjemput bukan Muslim berbincang secara terbuka supaya bukan Muslim boleh melihat kelebihannya, mereka cuba menyakinkan bukan Muslim supaya jangan ambil peduli kerana bukan Muslim dikecualikan.

Tetapi mungkinkah bukan Muslim benar-benar boleh dikecualikan daripada perlaksanan hukum jenayah syariah?

Kalau hukum ini diguna pakai mengikut agama si penjenayah, maka kalau seorang Muslim mencuri barang saya sebagai seorang bukan Muslim, kes itu akan diadili ke mahkamah syariah. Tidak berlaku pengecualian kerana saya bukan Muslim. Saya tidak ada pilihan untuk kes saya tidak dibicarakan di mahkamah syariah.

Dari segi ini, label “hudud” yang digunakan sebenarnya mengelirukan. Hukuman hudud (potong tangan) untuk mencuri cuma diguna pakai jika barang yang dicuri itu bernilai lebih daripada nisab.

“Nisab” ditakrifkan di Kelantan sebagai nilai 4.45 gram emas, atau lebih kurang bernilai RM590 mengikut harga emas hari ini. Hanya mereka yang mencuri RM590 ke atas itu dan tidak memenuhi syarat pengecualian itu akan dipotong tangan.

Hukuman mencuri di bawah RM 590, langsung bergantung kepada budi bicara mahkamah.

Akan tetapi, Seksyen 39 Rang Undang-undang (RUU) Kelantan itu mensyaratkan keterangan lisan atau ikrar sebagai bukti kesalahan.

Seksyen 40 dan 41 pula menetapkan untuk membuktikan kesalahan pencurian, perlu ada sekurang-kurangnya dua orang saksi yang “terdiri daripada seorang lelaki Islam yang akil baligh dan hendaklah seorang yang adil” mengikut definisi Islam.

Kalau pemahaman saya betul, ini bermakna saya sendiri sebagai mangsa tidak layak menjadi saksi! Dan kalau pencurian itu dirakamkan dalam kamera CCTV, maka rakaman itu tidak diterima sebagai bukti juga. Apakah jaminan saya mendapat keadilan?

Dan RUU Kelantan itu merangkumi pembunuhan di bawah kategori kesalahan Qisos, sama ada yang sengaja (qatl-al-'amd) atau tidak (qatl-al-khata').

Apakah, ini bermaksud, jika saya dibunuh, saudara saya yang tersaksi pembunuhan saya itu juga tidak layak menjadi saksi, kerana dia bukan Islam? Dan rakaman CCTV atau tinggalan DNA pembunuh  pada senjata yang membunuh saya semua tidak diterima sebagai bukti?

Apakah kelebihan RUU ini daripada Kanun Acara Jenayah (CPC) dan Kanun Seksa (PC) di Mahkamah “Common Law” bagi saya sebagai seorang mangsa jenayah? Saya memohon pencerahan.

Dakwaan hak orang bukan Muslim itu tidak akan terganggu oleh perlaksanaan hukum jenayah syariah itu hanya mungkin benar kalaulah semua penjenayah Muslim bersumpah tidak akan mencari mangsa bukan Muslim. Tetapi apakah ini mungkin dalam realiti?

Isu dalam pelaksanaan hukum jenayah syariah ini bukanlah pasal penggantian hukuman “common law” seperti hukuman penjara, denda dan sebat itu diganti dengan hukuman hudud dalam contoh kes pencurian ini, tetapi ia turut melibatkan seluruh sistem prosidur keterangan yang berlainan. Sebab itu, label “hukum hudud” yang menekankan jenis hukuman itu mengelirukan.

Maka, kecuali penjenayah Muslim dikecualikan daripada hukuman jenayah Syariah jika mangsanya bukan Muslim, tuntutan bukan Muslim jangan mengambil tahu itu menampakkan kekurangan samada dalam pengetahuan atau kejujuran.

Tiga seruan kepada PAS

Kita mesti terima hakikat sistem kehakiman jenayah itu bagaikan sistem memandu ala kiri atau kanan. Dalam sesebuah negara, boleh ada dua sistem yang lain untuk wilayah yang lain.

Contohnya Indonesia, Nigeria, Keamiran Arab Bersatu (UAE) dan Iraq masing-masing melaksanakan hukum jenayah syariah di sebahagian wilayah dan undang-undang jenayah sekular di wilayah yang lain.

Akan tetapi dalam wilayah yang sama, seperti yang dibuktikan oleh contoh hipotetikal di atas, sistem kehakiman jenayah itu tidak dapat dipisahkan perlaksanaannya mengikut agama.

Maka, keputusan akhirnya ialah hukum jenayah syariah untuk dikenakan ke atas semua di Kelantan ataupun tidak dilaksanakan.

Maka, semua pihak mesti dijemput berbincang sebelum perlaksanaan hukum jenayah syariah. PAS tidak boleh memusuhi pihak yang menolak cadangan ini, sama ada yang Muslim atau bukan Muslim.

Adalah hak semua rakyat Malaysia untuk bertanya, sebagai contoh, sama ada hukuman potongan tangan untuk pencuri barangan bernilai RM590 itu adalah cara terbaik mencapai maqosid (tujuan pokok) hukum syariah iaitu keadilan. Agama tidak harus menjadi halangan kita untuk mengambil berat sesama rakyat Malaysia.

Terutamanya jika bukan Muslim yang tidak setuju dengan agenda PAS terus dikecam sebagai anti-Islam. Ini mungkin menimbulkan persoalan sama ada slogan “PAS untuk semua” itu masih menjadi pedoman parti, ataupun sama ada sesetengah pemimpin PAS sebenarnya menganggap bukan Muslim sebagai “dzimmi” (golongan minoriti yang merupakan warga kelas kedua).

Dengan ini, saya ingin membuat tiga seruan kepada kerajaan PAS Kelantan.

Pertama, kerajaan PAS Kelantan harus menyebarkan secara meluasnya rang undang-undang 1993 itu di alam maya dan melalui “road-show” di dalam dan luar Kelantan supaya semua faham dengan tepatnya bagaimana perlaksanaannya jika berkuatkuasa.

Dari segi ini, kerajaan PAS Kelantan boleh mengikut teladan kerajaan Brunei yang menyediakan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syariah 2013nya sebagai aplikasi telefon pintar dalam Android Play Store antara yang lain.

Sebagai contoh, kalau pemahaman saya terhadap RUU itu salah, maka seharusnya saya dengan senangnya boleh cari sumber-sumber rujukan yang membetulkan pemahaman saja. Dalam kata lain, debat antara penyokong dan penolak RUU seharusnya berlaku secara ilmiah dan rasional dengan beralatkan teknologi informasi dan komunikasi yang moden.

Proses pengemaskinian RUU Syariah itu dan penyediaan RUU Ahli Parlimen Biasa (Private Member’s Bill) di Dewan Rakyat untuk tujuan ini haruslah dijalankan dengan telus, mempunyai akauntabiliti dan menggalakkan penyertaan orang ramai. Ini akan mengelakkan salah faham dan mendapat maklum balas daripada semua pihak.

Kedua, kerajaan PAS Kelantan seharusnya melantik sarjana-sarjana untuk membuat kajian perbandingan merentas-negara (cross-national) tentang pelaksanaan hukum jenayah syariah di 14 buah negara (daripada 57 ahli OIC) yang melaksanakannya, terutamanya Aceh dan negeri-negeri berhukum jenayah syariah di Nigeria.

Kerajaan PAS Kelantan harus menyakinkan seluruh rakyat Malaysia – bukan sahaja rakyat Kelantan ataupun penyokong PAS – bagaimana perlaksanaan hukum jenayah syariah di wilayah-wilayah ini membawa keadilan, kemajuan dan keamanan yang lebih tinggi berbanding dengan wilayah-wilayah lain di Indonesia dan Nigeria.

Kalau kelebihan hukum jenayah syariah dapat disokong dengan bukti yang kukuh, siapa akan menolak atau mempersoalkan lagi RUU Kelantan itu?

Kalau Aceh dan negeri-negeri syariah Nigeria itu ada kekurangan mereka, maka PAS Kelantan boleh mengemukakan cadangan sendiri untuk penambahbaikkannya.

Ketiga, kerajaan PAS Kelantan harus menuntut kerajaan persekutuan membuka pintu untuk perbincangan Perlembagaan Persekutuan yang baru supaya pengaturan federalism kita boleh dilonggarkan.

Desentralisasi sememangnya dituntut oleh banyak negeri terutamanya Sabah dan Sarawak dan Kelantan harus mengikhtiar mendapatkan sokongan mereka dengan agenda bersama dalam desentralisasi.
Kajilah cadangan 33 tokoh sarjana Muslim

Kenyataan yang dikeluarkan minggu lepas, oleh 33 orang tokoh sarjana Muslim yang diketuai Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid harus dipertimbangkan PAS Kelantan.

Kumpulan cerdekiawan ini menyatakan hasrat ingin melihat perlaksanaan hukum syariah tetapi mereka mengambil pendekatan inklusif dan ilmiah.

Mereka mencadangkan supaya sebuah “jawatan kuasa tinggi” yang merangkumi pakar-pakar Melayu dan bukan Melayu dalam bidang Perlembagaan, undang-undnag Islam dan bidang lain yang berkenaan ditubuhkan untuk mengkaji bagaimana perlembagaan boleh dirombak untuk memenuhi keinginan Muslim dan juga mengukuhkan hak minoriti.

Mengapa kerajaan PAS Kelantan mesti tergesa-gesa melaksanakan RUU Syariah 1993 itu dengan jalan singkat di bawah Perkara 76A yang memperluaskan kuasa perundangan negeri tanpa majoriti dua pertiga, sehingga tertimbulnya kemusykilan, kerisauan, kepahitan dan ketakutan terhadap PAS?

Mestikah PAS Kelantan mengejar masa sampai tertimbul pertanyaan sama ada PAS Kelantan diperalatkan oleh Putrajaya untuk menyelamatkan dirinya daripada skandal 1MDB dan gelombang GST yang akan datang, ataupun ini kerana perhitungan untuk Muktamar PAS 2015?

Mengapa tidak PAS Kelantan mengambil langkah mampan, inklusif dan ilmiah supaya agenda Islamisasinya akan lebih diterima dan bukan ditolak dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama? – 24 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments