Opinion

Mengapa hukum Inggeris boleh, hukum Islam tak boleh? (Bahagian I)

Sekiranya hukum Syariah boleh dilaksanakan dengan lebih adil daripada Common Law, tidak menganaktirikan mana-mana insan kerana agama atau kaum, saya sudi menyokong hukum Syariah untuk semua, tetapi sebelum itu biar kita bincang dan berdebat secara terbuka.

Perbincangan tentang hukum jenayah Syariah (yang merangkumi jauh lebih daripada hukum hudud) tidak senang dilakukan, sama ada sesama Muslim atau antara Muslim dan bukan Muslim, kecuali antara mereka yang sependapat.

Namun memandangkan kepentingannya kepada pendukung-pendukungnya dan kesannya yang sangat signifikan, maka apabila semakin susah bagi perbincangan mengenainya dijalankan secara rasional dan beradab, semakin penting ia harus diikthiarkan.

Kerana itulah, kolum saya secara berterusan membincangkan pelaksaaan Undang-undang Jenayah Syariah di Kelantan. 

Dan saya yakin rakan-rakan Muslim saya yang arif, faham dan bersetuju dengan perlunya perbincangan sebegini, sekalipun jika kita tidak dapat mencapai muafakat. Tidak rugi untuk Islam kalau dengan perbincangan kita dapat mendalami pengetahuan mengenainya.

Menolak hudud = Menghina Islam?

Satu perkara yang saya perhatikan ialah ramai pengkritik terhadap hukum Syariah kurang empati dengan satu sentimen atau kemusykilan di kalangan ramai Muslim: mengapa bukan Muslim yang bukan Inggeris dapat terima hukum Inggeris (Common Law) tetapi menolak hukum Islam?

Apakah ini menggambarkan penghinaan mereka terhadap Islam?

Kemusykilan ini menjadi ketara jika penolakan terhadap hudud ditemani dengan komen betapa mundurnya kebanyakan negara Islam.

Jika kemusykilan ini tidak terjawab, maka secara logiknya, ramai Muslim akan sampai ke kesimpulan ini: pelaksanaan hukum mesti dibela kalau maruah Islam dan umatnya ingin dijunjung.

Dan sebarang persoalan yang diutarakan mendapat respons automatik: pengkritik ini tidak memahami Islam, maka menolak hukum jenayah Syariah. Jika mereka faham, mereka akan sokong. Dalam kata lain, pemahaman disamakan kepada persetujuan.

Wacana begini membuang masa dan tenaga semua pihak. Ia bukan dialog tetapi monolog, bukan bicara antara kedua-dua pihak tetapi kuliah kepada yang lain.

Bagi saya, wacana penting hanya apabila minda kita terbuka. Maka bagi saya, kesudahan itu terbuka (open-ended): kalau saya dapat diyakini kebaikan pelaksanaan hukum jenayah Syariah, maka saya akan menyokongnya.

Saya tidak mempunyai setitik darah Inggeris pun. Dan kalau "Common Law” dikira mengandungi nilai-nilai Kristian, saya juga bukan penganut Kristian. Saya tidak ada sebarang alasan terdahulu (apriori) untuk memihak hukum Inggeris daripada hukum Islam.

Perbandingan dengan pembankan Islam

Ramai pendukung hukum jenayah Syariah mengambil satu sikap yang aneh: Mereka berharap bukan Muslim tidak mengambil bahagian dalam perbincangan kerana kononnya, pertama, hukum itu tidak melibatkan bukan Muslim; kedua, bukan Muslim tidak mempunyai pengetahuan tentang hukum syariah untuk berbincang.

Keanehan ini semakin kelihatan kalau dibandingkan dengan pembankan Islam, projek Islamisasi yang paling berjaya di Malaysia dan di dunia. Pembankan Islam tidak pernah diperkenalkan untuk Muslim sahaja tetapi ia mendapat pelanggan ramai bukan Muslim secara sukarela dan menjadi satu alternatif kepada sistem pembankan konvesional dari Barat. Kelebihan Islam itu tersinar tanpa sebarang paksaan.

Kalau hudud itu lebih asas daripada pembankan Islam sehingga ianya diwajibkan ke atas setiap orang Muslim, maka ia harus dipasarkan kepada bukan Muslim juga, bukan dengan cara paksaan tetapi dengan mengajak mereka berbincang dengan terbuka sampai mereka secara sukarela melihat kelebihannya.

Tidak menjadi isu kalau bukan Muslim sebagai pengguna/pelanggan/pihak berkepentingan ini tidak arif tentang Islam.

Mana penabung bukan Muslim dalam pembankan Islam yang faham tentang “wadiah”, “tawarruq” atau “bai’ ‘inah”? Rata-rata bukan Muslim yang memilih pembankan Islam bukan kerana mereka arif tentang hukum syariah tetapi mereka dapat lihat pulangan yang lebih lumayan.

Dalam kehidupan harian, berapa orang yang guna komputer atau telefon pintar itu faham ilmu elektronik atau program komputer? Pengguna cuma perlu tahu kebergunaan sesuatu alat itu dan yakin dengan keselamatannya.

Begitu juga bila kita bincangkan pasal undang-undang. Bukan Muslim tidak perlu arif tentang logik kehakiman Islam – kerja mereka bukan untuk menggantikan atau berlumba dengan sarjana ulama Islam.

Bukan Muslim cuma perlu diyakinkan pelaksanaan hukum jenayah Syariah itu memanfaatkan mereka lebih daripada hukum Inggeris, sepertimana pembankan Islam lebih memanfaatkan mereka daripada pembankan konvensional.

Dalam kata lain, apakah hukum jenayah Syariah ini lebih unggul sehingga bukan Muslim ingin menggunapakainya, sekalipun ia bukan kewajipan agama mereka?

Apakah hukum jenayah Syariah ini bersifat sejagat sampai kelebihannya ternampak untuk semua insan tidak kira agama, dan sama sekali tidak bersifat berat sebelah kepada Muslim dan menganaktirikan bukan Muslim? – 23 Disember, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments