Opinion

Jarak kurang 2 jam, nilai undi ganda hampir 5 kali

Dengan bergerak kira-kira 60 kilometer dalam masa kurang daripada 2 jam, dari Pending di pusat Bandar Kuching ke Sadong Jaya di muara Batang Sadong, nilai undi boleh meningkat hampir 5 kali. Mengapa, SPR?

Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan menetapkan pembahagian kawasan-kawasan pilihan raya dalam Bahagian I, Seksyen 2(c)nya:

“Bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya.”

Ukuran pewajaran bagi kawasan (a measure of weightage for area) itu bermaksud kalau sesuatu kawasan pilihan raya itu terlalu luas kawasannya, maka bilangan pengundinya bolehlah dikurangkan.

Contoh yang paling baik untuk pertimbangan ini ialah kawasan Parlimen P216 Hulu Rajang dalam cadangan persempadanan SPR baru-baru ini. Ia mempunyai saiz hampir seluas negeri Pahang dan bilangan pengundinya cuma 23,637 orang atau 66% daripada saiz purata kawasan parlimen di Sarawak, 35,779. 

Dalam cadangan yang sama, P195 Bandar Kuching kawasan parlimen yang paling ramai pengundi (78,394 orang atau 219% kali ganda purata) manakala P200 Batang Sadong adalah kawasan ke-6 paling kecil (20,977 atau 59% daripada purata). 

Bandar Kuching terletak dalam Bahagian Kuching manakala Batang Sadong terletak di bahagian jirannya, Samarahan. 

Peta 1: P195 Bandar Kuching dan P200 Batang Sadong

Carta 1: Perbandingan Bilangan Pengundi antara P195 Bandar Kuching dan P200 Batang Sadong

Kalau kita lihat saiz kawasan-kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah P195 and P200, maka kita dapat lihat perbandingan yang lebih menarik.

Di bawah P195 terdapat 3 kawasan DUN, termasuk yang kedua paling ramai pengundi di seluruh negeri iaitu N10 Pending yang mempunyai seramai 30,881 orang pengundi, ataupun 232% kali ganda saiz purata kawasan DUN di Sarawak, yakni 13,526 orang.

Pada masa yang sama, antara 3 kawasan DUN P200 Batang Sadong adalah N26 Gedong kawasan yang paling kurang bilangan pengundi di Sarawak iaitu 6,340 orang ataupun 47% daripada purata negeri. 

Carta 2: Perbandingan bilangan pengundi kawasan-kawasan DUN di bawah P195 Bandar Kuching dan P200 Batang Sadong

Bagaimana perbezaan yang begitu besar boleh berlaku? Adakah SPR mematuhi peruntukan Perlembagaan di bawah Jadual ke-13nya? Di sini kita boleh mengemukakan 4 hipotesis untuk siasatan.

Hipotesis 1: 5 “lebih kurang sama banyak” dengan 1

Kemungkinan yang pertama ialah SPR memang mengikuti peruntukan di bawah Seksyen 2(c) bahawa“bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak”.
Apa yang berlaku ialah Tan Sri Abdul Aziz dan rakan-rakan beliau di SPR menerima pendidikan matematik yang amat berlainan dengan kita semua. Di dunia mereka, atau, dunia orang Sarawak dalam kepercayaan mereka:

 

  • 78,394 lebih kurang sama banyak dengan 20,977
  • 4 lebih kurang sama banyak dengan 1 (secara penghampiran)
  • 30,881 lebih kurang sama banyak dengan 6,340
  • 5 lebih kurang sama banyak dengan 1 (secara penghampiran)

Hipotesis 2:   Pulau Penang lebih luas dari Pahang

Kemungkinan yang kedua ialah SPR bersetuju dengan kita bahawa 5 bukanlah “lebih kurang sama banyak dengan” 1 tetapi mereka memang mengikuti peruntukan di bawah Seksyen 2(c) berkenaan dengan “ukuran pewajaran bagi kawasan”, yang bermaksud bilangan pengundi bolehlah kecil kalau kawasan terlalu luas.

Pertimbangkan keempat-empat kawasan Parlimen ini 

P195 Bandar Kuching – kecil daripada saiz Putrajaya - 78,394 pengundi
P200 Batang Sadong –  hampir saiz Pulau Pinang – 20,977 pengundi
P220 Baram – hampir saiz Perak – 31,476 pengundi
P216 Hulu Rajang – hampir saiz Pahang – 23,637 pengundi

Peta 2: Perbandingan keluasan dan bilangan pengundi 4 kawasan Parlimen di Sarawak cadangan SPR

Jelas sekali, Putrajaya lebih kecil dari Pulau Pinang, maka P195 Bandar Kuching itu kena mengandungi lebih ramai pengundi daripada P200 Batang Sadong.

Tetapi, mengapa P216 Hulu Rajang dan P220 Baram pula mengandungi lebih ramai pengundi daripada P200 Batang Sadong sungguhpun kurang daripada P195 Bandar Kuching?

Apa yang berlaku ialah Tan Sri Abdul Aziz dan rakan-rakan beliau di SPR menerima pendidikan geografi yang amat berlainan dengan kita. Di dunia mereka, atau, dunia orang Sarawak dalam kepercayaan mereka:

  • Pulau Pinang lebih luas dari Pahang
  • Pulau Pinang lebih luas dari Perak

Hipotesis 3:   61km dan 96 minit terlalu jauh perjalanannya

Kemungkinan yang ketiga ialah SPR bersetuju dengan kita 5 bukanlah “lebih kurang sama banyak dengan” 1 dan Pahang lebih luas daripada Pulau Pinang, tetapi mereka menekankan peruntukan di bawah Seksyen 2(c)  untuk “mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar”.

Dalam kata lain, Batang Sadong yang berpantaikan Laut China Selatan ini terlalu sukar dihubungi berbanding dengan Hulu Rajang dan Baram yang bersempadankan Kalimantan, Indonesia.

Untuk menguji hipotesis ini, maka Google Map digunakan untuk menganggarkan masa perjalanan kereta daripada suatu titik di N10 Pending ke satu titik di N24 Sadong Jaya yang berpantaikan Laut China Selatan.

Jawapannya ialah jarak sejauh 61km dan perjalanan selama 96 minit. (Imej 1)

Ingat Pending mengandungi 30,881 orang pengundi ataupun hampir 5 kali daripada Sadong Jaya (6,752). Ini bermaksud dengan memindahkan pendaftaran pengundiannya 61km daripada Pending di Bandar Kuching ke Sadong Jaya, nilai undi seseorang itu boleh berganda hampir 5 kali!

Bagaimana keajaiban ini tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan? Semoga persoalan ini akan dibangkitkan pengundi Bandar Kuching kepada SPR melalui bantahan sebelum 4 Februari, hari terakhir tempoh bantahan sebulan.

Imej 1: Anggaran jarak dan masa perjalanan dari N10 Pending dan N24 Sadong Jaya

Hipotesis 4:   Demi “pemeliharaan hubungan tempatan”

Kemungkinan yang keempat ialah SPR terpaksa melanggar Sekysen 2(c) kerana demi mematuhi kehendak Seksyen 2(d) yang bermaksud

perhatian patutlah diberikan kepada kesulitan yang akan timbul dengan perubahan bahagian-bahagian pilihan raya, dan kepada pemeliharaan hubungan tempatan.

Perlembagaan tidak mentakrifkan “hubungan tempatan” tetapi yang dipersetujui SPR dan juga pengkritik utamanya, Bersih 2.0, “hubungan tempatan” ini disempadani oleh sempadan pentadbiran (seperti Bahagian, Pihak Berkuasa Tempatan, Daerah), sempadan semula jadi (seperti Sungai, Laut, Gunung), sempadan prasarana (seperti jalan raya, Jalan kereta api).

Batang Sadong dalam bahasa tempatan bermaksud Sungai Batong, dan kawasan parlimen ini merangkumi sebahagian besar lembah sungai. Peta 3 menunjukkan kawasan parlimen Batang Sadong itu dalam Bahagian (Division) Samarahan mengikut sempadan sedia-ada yang tidak terlalu berbeza daripada yang dicadangkan daripada perbandingan kasar. (SPR tidak memberikan peta terperinci maka merumitkan penyediaan peta digital yang baru)

Bahagian Samarahan ini dipecahkan kepada tiga pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Samarahan, Majlis Daerah Simunjan dan Majlis Daerah Serian. (Peta 3)

Sebahagian besar kawasan Majlis Daerah Simunjan ini terletak dalam P200 Batang Sadong (ditanda dengan sempadan tebal merah) tetapi terdapat dua serpihan yang dimasukkan ke dalam kawasan DUN N30 Balai Ringin (di bawah kawasan Parlimen P202 Sri Aman) dan N27 Sebuyau (di bawah kawasan Parlimen P201 Batang Lupar).

Peta 3: P200 Batang Sadong dalam Bahagian Samarahan (sempadan sekarang)

Persoalan yang mudah ialah kenapa SPR tidak membahagikan Bahagian Samarahan itu kepada 3 kawasan Parlimen yang lengkap, iaitu P199 Serian yang merangkumi seluruh Majlis Daerah Serian di selatan, P197 Kota Samarahan yang merangkumi bahagian barat Majlis Perbandaran Samarahan dan P200 Batang Sadong yang merangkumi seluruh Majlis Daerah Simunjan dan juga bahagian timur Majlis Perbandaran Samarahan (lebih kurang kawasan N24 Sadong Jaya dan N27 Sebuyau).

Ini akan mewujudkan P197 Kota Samarahan dan P199 Serian yang mempunyai pengundi di sekitar 41,145 (15% lebih tinggi daripada saiz purata negeri) dan P200 Batang Sadong yang mengandungi lebih kurang 30,412 pengundi (15% kurang daripada saiz purata negeri).

Bukankah ini lebih munasabah daripada kedua-dua pertimbangan “pembahagian lebih kurang sama banyak” dan “pemeliharaan hubungan tempatan”? Mengapakah SPR yang seharusnya dipenuhi dengan pakar-pakar persempadanan yang berpengalaman tidak dapat fikirkan alternatif ini?

Apakah ini tidak berkenaan langsung sekali P200 Batang Sadong dan P201 Batang Lupar adalah kawasan ditandingi PBB? – 21 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments