Opinion

Mengapa undi di Baram bernilai 57% undi di Igan?

Kawasan parlimen yang paling kurang pengundi di Sarawak, P207, 18,082 dicadangkan SPR untuk mempunyai 18,082 pengundi, sebaliknya kawasan parlimen yang paling luas kawasannya iaitu P216 Hulu Rejang (hampir seluas Pahang) dicadangkan untuk mempunyai 23,637 pengundi. Mengapa, SPR?

Piawaian pembahagian tidak sekata (Malapportionment) SPR

Selama ini, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menipu orang ramai berapa ramai orang pengundi sesebuah kawasan parlimen itu bergantung kepada tahap urbanisasinya. Lihat Jadual 1 di bawah:

Panduan SPR untuk pembahagian tidak sekata kawasan pilihan raya  2003 dan 2005

Kawasan-kawasan pilihan raya dibahagikan kepada 5 kelas iaitu Bandaraya, Bandar/Pusat Bandar, Separuh Bandar, Separuh Luar Bandar dan Luar Bandar/Pedalaman.

SPR tidak memberikan definisi 5 kelas ini atau kaedah bagaimana sesuatu kawasan itu ditetapkan. Apa yang diberikan cuma bilangan pengundi dan keluasan kawasan pilihan raya.

Sebagai contoh, untuk Sarawak dalam persempadanan 2005, kawasan Parlimen di kelas Bandaraya akan mempunyai 60,000-69,000 orang pengundi dan keluasannya harus di antara 11-26 km persegi manakala kawasan parlimen di luar bandar atau pedalaman itu cuma akan mempunyai 20,000-29,000 pengundi dan keluasan melebihi 250 km persegi.

Panduan SPR terbaru untuk pembahagian tidak sekata kawasan pilihan raya

Sumber:  PowerPoint Taklimat SPR kepada parti-parti politik

Dalam taklimat yang diberikan oleh SPR kepada parti-parti politik penghujung tahun lepas, panduan pembahagian tidak sekata (malapportionment) diringkaskan kepada 3 kelas dan tidak membezakan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Kawasan parlimen boleh mengandungi 60,000 pengundi ke atas jika di bandar, 30,000 ke bawah jika di luar bandar dan antara 30,000 dan 59,000 kalau dikira separuh bandar.

(Saudara-saudari pembaca yang kuat matematik harus tanya: SPR apa kelasnya jika sebuah kawasan parlimen mempunyai pengundi di antara 59,001 dan 59,999 orang?)

Yang menarik sekali, informasi tentang keluasan kawasan sudah pun tersembunyi bukan saja dalam taklimat SPR ini, tetapi juga dalam cadangan persempadanan semula yang dikemukakan pada 5 Januari baru-baru ini.

Apa yang dikatakan Perlembagaan?

Selama ini, dakwaan SPR kawasan parlimen harus dibahagikan mengikut pelbagai tahap urbanisasi yang berlainan diterima orang ramai, termasuk ramai pemimpin pembangkang kerana mereka tidak menyemak apa yang diperkatakan SPR.

Dalam taklimat SPR di atas, pembahagian tidak sekata ini dikatakan berasas kepada Perkara 113(5) dalam Perlembagaan Persekutuan kita, tetapi sebenarnya apa yang diperkatakan cumalah:

“Setakat yang perlu bagi maksud fungsinya di bawah [Perkara 113 Penjalanan Pilihan raya], Suruhanjaya Pilihan Raya boleh membuat kaedah-kaedah, tetapi mana-mana kaedah yang sedemikian hendaklah berkuat kuasa tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan.”

Pembahagian kawasan-kawasan pilihan raya sebenarnya ditetapkan di bawah Jadual ke-13 dalam Perlembagaan Persekutuan dan inilah perkataan-perkataannya dalam Bahagian I, Seksyen 2(c)nya:

“Bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran kewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya.”

Ia bermaksud semua kawasan pilihan raya dalam negeri yang sama haruslah lebih kurang sama tetapi pengecualian boleh berlaku untuk kawasan pilihan raya di desa dan luar bandar kerana keluasannya (apa yang dimaksudkan oleh “kawasan” (“area” dalam versi bahasa Inggeris) dalam ungkapan “ukuran pewajaran bagi kawasan”) akan membawa kesukaran untuk menghubungi pengundi.

Secara mudah, pembahagian sekata (equal apportionment) kebiasaan dan kekecualian untuk kawasan yang kurang pengundi tetapi luas kawasannya.

Harus ditegaskan sungguhpun kini perlembagaan tidak lagi menetapkan had perbezaan, dari 1957 ke 1962, hadnya ialah 15% daripada saiz purata di peringkat negeri dan dari 1962 ke 1973, hadnya ialah  33.33%.

Apakah cadangan SPR mematuhi Perlembagaan?

Jadual 2 menunjukkan bilangan pengundi yang dicadangkan baru-baru ini oleh SPR untuk setiap daripada 31 kawasan parlimen di Sarawak. Jumlah pengundi di Sarawak ialah 1,109,134 dan ini memberikan purata pada 35,779.

Kalau mengikut piawaian SPR, maka 22 kawasan parlimen termasuk Santubong, Mas Gading, Puncak Borneo, Serian, Sri Aman, Kapit dan Baram yang bersempadankan Kalimantan, Indonesia ini semuanya mencapai status bandar.

Yang masih kekal sebagai separuh bandar ialah Limbang, Hulu Rejang, Julau, Bukit Sadong, Kanowit, Lubok Antu, Tanjong Manis, Lawas dan Igan.

Tiada satu kawasan yang dikira luar bandar lagi di Sarawak. Tahniah kepada Sarawak yang mencapai tahap urbanisasi yang begitu tinggi!

Pembahagian tidak sekata kawasan-kawasan Parlimen di Sarawak mengikut cadangan Persempadanan SPR 2015

Kalau mengikut piawaian 1957 (+-15%) Perlembagaan Persekutuan, maka saiz parlimen harus berada di lingkungan 30,412 (85% daripada purata) dan 41,145 (115% daripada purata) orang pengundi. Cuma 6 kawasan yang memenuhi piawaian ini, manakala 8 kawasan termasuk terlalu besar dan 17 kawasan selebihnya terlalu kecil.

Yang menariknya, kawasan “bandar” yang terlalu ramai pengundi termasuklah P198 Puncak Borneo (Mambong sekarang namanya) yang bersempadankan Kalimantan dan dari namanya sudah diketahui ia bergunung-ganang.

Kalau mengikut piawaian 1962 Perlembagaan Persekutuan yang lebih longgar, maka saiz kawasan parlimen harus berada di lingkungan 23,854 (66.67% daripada purata) dan 47,586 (133.33% daripada purata). Dan kawasan yang memenuhi piawaian meningkat kepada 16, kawasan yang terlalu ramai pengundi turun kepada 7 manakala kawasan yang terlalu kurang pengundi turun kepada 8.

Dalam perbincangan tentang pembahagian tidak sekata, ramai yang melihat isu ini daripada segi pertarungan antara orang bandar dan orang desa dan termakan propaganda SPR.

Dari Cadangan SPR untuk Sarawak ini, nyatanya isunya sebenarnya ketidakseimbangan antara kawasan-kawasan luar bandar atau “separuh bandar” mengikut definisi SPR.

Kalau P220 Baram yang mempunyai keluasan hampir negeri Perak boleh mengandungi 31,476 pengundi (88% daripada purata negeri) dan memenuhi piawaian 1957 (+-15% daripada purata), dan P216 Hulu Rejang yang mempunyai keluasan hampir negeri Pahang boleh mengandungi 23,267 (66% daripada purata negeri) dan hampir memenuhi piawaian 1962 (+-33.33% daripada purata), kita mesti tanya mengapa P207 Igan dan P206 Tanjong Manis yang tidak sampai satu pertiga keluasan Negeri Sembilan masing-masing cuma mengandungi 19,025 pengundi (51% daripada purata negeri) dan 19,819 (53% daripada purata negeri)?

Apakah Igan dan Tanjong Manis yang berpantaikan Laut China Selatan lebih sukar didekati dari Baram dan Hulu Rejang?

Mengapa satu undi di Baram harus bernilai 57% daripada satu undi di Igan? Apakah terdapat juga perbezaan antara Pedalaman Kelas Pertama dan Pedalaman Kelas Kedua? – 18 Januari, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments