Opinion

Keharmonian nasional dan prospek ke hadapan (Bahagian 2)

Deraf awal RUU Keharmonian Nasional berkembang kepada bentuknya hari ini dengan mengambil kira beberapa konsep.

Konsep pertama ialah undang-undang melibatkan kebencian kaum dan agama yang terbit daripada ucapan yang boleh mencetuskan keganasan. Ia dikenali sebagai ide "hate speech" yang dianggap satu jenayah.

Kedua ialah konsep anti-diskriminasi bagi mendidik rakyat erti kesaksamaan di hadapan undang-undang dan larangan membezakan warganegara ini atas kaum, agama, keturunan, tempat lahir dan jantina serta ketidakupayaan fizikal.

Ketiga dan terakhir ialah mewujudkan remedi awam untuk setiap individu yang merasakan dirinya didiskriminasikan atas alasan di atas melalui sebuah Suruhanjaya Keharmonian Nasional.

Itulah tiga konsep tentang tujuan utama terbentuknya deraf undang-undang ini.

Elemen penting dalam RUU ini ialah sifat punitif kepada sesuatu yang boleh mencetuskan permusuhan agama dan kaum melalui ucapan dan tindakan manakala yang lain lebih kepada penegasan dan ruang kepada awam untuk mendapat penyelesaian melalui Suruhanjaya yang diberikan autoriti mediasi dan adjudikasi.

Kebimbangan

Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan muncul dalam suasananya yang unik di mana asas kewujudan negara ini dilembagakan dalam artikel utama perlembagaan negara.

Artikel penting dimaksudkan ialah kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu. Ramai pihak yang bimbang adakah dengan RUU ini akan menjejaskan ketiga-tiga artikel penting ini dan samada ia akan menjejaskan sebarang bentuk dasar mementingkan pembelaan Melayu dan Bumiputera yang boleh dianggap sebagai tindakan diskriminasi.

Isu meritokrasi dijadikan sebagai hujah bahawa jika undang-undang ini berkuatkuasa, Melayu khusus di luar bandar yang perlu pembelaan akan terus terpinggir.

Ada pula yang menganggap Islam terjejas kerana diletakkan sebagai satu jenayah jika sebarang kenyataan boleh dianggap melahirkan kebencian, apakah kebencian itu jika ia merupakan satu hak? Tidak kurang juga yang merasakan undang-undang baru ini seolah menyekat kebebasan bersuara.

Memahami RUU Keharmonian Nasional

Pertama, nama undang-undang ini dipositifkan kepada matlamat yang hendak dicapai iaitu keharmonian dan rekonsiliasi berbanding dengan nama sebelumnya yang cuba menyelesaikan isu memelihara perpaduan dengan nama Akta Hasutan.

Setelah merdeka sekian lama, rakyat Malaysia seharusnya bersedia melihat isu perpaduan dalam rangka yang lebih spesifik dengan menjadikan punca utama kepada tercetusnya kebencian dan permusuhan sebagai satu jenayah samada ianya berbentuk ucapan ataupun tindakan.

Kalau dalam Akta Hasutan, isu perpaduan lebih mengutamakan apa yang dikehendaki oleh pemerintah, dalam undang-undang baru ini pemerintah juga bertanggungjawab bagi memastikan keharmonian nasional tercapai.

Keperluan menghapuskan Akta Hasutan semakin terdesak apabila akta ini dibentuk oleh penjajah British bagi berhadapan dengan pejuang kemerdekaan.

Akta Hasutan 1948 bermentaliti hubungan tuan dan hamba manakala undang-undang baru ini bermentalitikan sebuah negara yang merdeka dan ingin membentuk masa depannya sendiri dengan menghukum para perosaknya.

Kepada mereka yang mahu mengekalkan Akta Hasutan, saya ingin bertanya, apakah mereka mahu negara ini terus bermentalitikan pemikiran kolonialis dalam menguruskan soal perpaduan di negara yang sudah merdeka sejak tahun 1957?

Memelihara asas

Dengan penuh sedar kepada asas negara, kami menderafkan perundangan baru ini dengan mengambil kira kedudukan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Kesemua peruntukan dalam perlembagaan persekutuan berkenaan hal tersebut terpelihara melalui pengecualian dengan memberikan intepretasi bahawa ia adalah konsisten dengan peruntukan perlembagaan.

Malah konsep anti-diskriminasi itu sendiri hanya menegaskan lagi artikel 8 dalam perlembagaan yang menyatakan bahawa setiap warganegara ini dianggap sama di hadapan undang-undang dan mereka tidak boleh dibeza-bezakan atas alasan, kaum, agama, keturunan, tempat lahir, dan jantina. Kami cuma menambahkan satu lagi alasan diskriminasi iaitu ketidakupayaan fizikal.

Persoalan diskriminasi ditakrifkan mengikut dua bentuk diskriminasi yang terpakai oleh perundangan iaitu diskriminasi positif dan diskriminasi negatif.

Ia perlu untuk membezakan sesuatu diberi keutamaan secara positif atas keperluan, konteks dan pengkhususan tertentu manakala yang negatifnya ialah dalam ketiadaan alasan yang diberikan di atas seseorang dibeza-bezakan tanpa sebab.

Orientasi seksual

Dalam deraf yang dicadangkan, alasan pembezaan bawah kategori jantina atau gender disebut perkataan "orientasi seksual". Kami terbuka dalam kritikan terhadap orientasi seksual ini, malah ia menjadi tajuk panjang dalam perbahasan kami pada siri-siri mesyuarat yang dijalankan.

Walaupun demikian, ruh yang ada dalam deraf ini sebenarnya lebih kepada soal pengambilan kerja supaya seseorang tidak didiskriminasikan kerana orientasi seksualnya.

Dengan mengambil kira secara permukaaannya, implikasinya pula amatlah besar kerana ia menyentuh soal pengiktirafan dan ini boleh menimbulkan pelbagai polemik.

Sebagaimana dinyatakan, isu ini masih terbuka kepada kritikan dan perbahasan, ia bukan muktamad dan boleh ditambah dan dikurangkan dengan respon yang kami terima.

Tidak perlu undang-undang?

Tanggapan ini pula mengandaikan bahawa lebih banyak undang-undang tentang hubungan kaum dan agama dibuat, lebih banyak penindasan berlaku dan akan lebih tidak demokratik sesebuah masyarakat itu.

Tanggapan ini betul pada satu segi tetapi tidak tepat jika diterima bulat-bulat.

Ini memandangkan faktor sebenar yang menyumbang kepada penindasan dan tidak demokratik itu bukanlah undang-undang tetapi pendakwaan terpilih dan sikap pemerintah yang mahukan status-quo.

Dengan merumuskan kononnya kita tidak perlu kepada undang-undang keharmonian di atas alasan ini, ia seoalah-olah berkata kita tidak perlu lampu isyarat lagi hanya kerana ia sering rosak.

Seterusnya, masyarakat awam perlu memahami bahawa deraf RUU ini bukanlah tongkat sakti yang ada jawapan segala-segalanya.

Kami memahami keterbatasan inisiatif ini dan sedar bahawa jurisdiksi kami amatlah terbatas. Kami tidak berkuasa atas pendakwaan terpilih dan usaha pendemokrasian yang lembap dan begitu juga soal menimbulkan kesedaran perpaduan yang lebih besar.

Aspek lain bagi melahirkan masyarakat yang sedar dan menolak budaya cetusan kebencian kaum dan agama serta menolak amalan membeza-bezakan manusia perlu dimainkan peranannya oleh aspek lain yang luar dari kerangka perundangan iaitu pendidikan.

Walaupun perundangan itu sebahagian daripada pendidikan namun kematangan dan kejelasan berfikir setiap warganegara adalah benteng utama menjayakan misi keharmonian nasional dan rekonsiliasi ini.

Kita ada pilihan

Zaman kini bukan lagi zaman kita dipaksakan apa yang orang lain mahu, ia zaman yang menentukan apa yang kta mahu.

Deraf RUU Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk memilih apa yang mereka mahu.

Sekian lama kita dihantui hubungan antara kaum dan agama yang mencabar asas kewujudan negara ini, kini sudah tiba masanya rakyat membuat pilihan yang tepat untuk membina Malaysia ke arah yang lebih baik. – 28 Jun, 2014.

* Bahagian pertama artikel ini boleh dibaca di sini.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments