Opinion

Keharmonian nasional dan prospek ke hadapan (Bahagian 1)

Majlis Konsultasi Perpaduan Negara

Pada bulan Oktober 2013, saya menerima panggilan menyatakan bahawa saya dijemput untuk menyertai dalam sebuah badan yang dinamakan sebagai Majlis Konsultasi Perpaduan Negara.

Tawaran dibuat dalam keadaan saya sendiri tidak mempunyai maklumat apakah tujuan dan matlamat majlis ini atau singkatannya MKPN dari sudut kuasa dan skopnya. Apa yang saya tahu, skop kerja utamanya ialah untuk perpaduan nasional.

Mendapat persetujuan

Saya masih ingat, saya menerima panggilan daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri itu semasa Muktamar PAS sedang berlangsung.

Mereka meminta keputusan segera kerana Perdana Menteri akan memberi tauliah kepada kami ahli majlis dalam masa seminggu lagi.

Saya berbisik pada Presiden PAS di atas pentas muktamar yang berlangsung di Shah Alam tentang tawaran ini sambil menjelaskan sedikit maklumat tentangnya.

Beliau bersetuju dan mengharapkan kehadiran saya dapat menyumbang kepada sikap PAS terhadap perpaduan nasional. Dengan persetujuan itu, saya segera memaklumkan bahawa saya akan menerima tawaran itu.

Perpaduan nasional

Selaku pengerusi  Lujnah Perpaduan Nasional untuk parti saya sejak tahun 2005, saya banyak terlibat mengoperasikan usaha perpaduan nasional dan menjelaskan sikap parti saya kepada isu-isu perpaduan.

Tugasan utama saya ialah menjadikan Parti Islam SeMalaysia sebagai parti pelbagai kaum daripada segi strukturnya dan luaran pula menggarap isu yang menyinggung perpaduan dari sudut isu-isu kritikal dalam hubungan antara kaum dan agama di negara yang majmuk ini.

Ia membawa saya kepada pertemuan dengan pelbagai NGO dan pihak berkepentingan dalam isu seperti penggunaan kalimah ‘Allah’ dan ketegangan kaum.

Saya merakamkan pemahaman saya kepada isu perpaduan nasional dalam beberapa buku saya seperti 'Aren't we all Malaysian? dan Engaging Christianity: A Travelogue of Peace'.
Tulisan-tulisan saya yang lain pula banyak berselerak dalam beberapa portal berita.

Negara-Bangsa

Kerja saya membawa saya kepada tokoh-tokoh agama yang pelbagai dan bertemu dengan mereka serta menjelaskan kepada mereka beberapa perkara, antaranya bersedia berbincang secara terbuka dalam isu yang dianggap sensitif, meletakkan negara dan kepentingan membina perpaduan nasional dan paling utama ialah meletakkan asas untuk generasi akan datang mewarisi negara ini dalam keadaan terbaik.

Secara ringkasnya, saya menekankan perlunya berfikiran negara-bangsa (nation building) dalam melihat segala isu yang mencabar kewujudan negara bangsa Malaysia.

Saya berkeyakinan bahawa negara ini tidak memerlukan kelompok ekstrim dalam menentukan masa depan negara.

Saya bersetuju dengan sahabat saya, Dato’ Saifuddin Abdullah bahawa ia bukan pertembungan parti-parti politik semata-mata, tetapi persaingan antara kelompok ekstrim dan sederhana dalam menentukan posisi masing-masing dalam pelbagai isu kritikal.

Setiap kelompok pasti akan mempunyai jalur ekstrim kanan atau kiri dalam apa yang diistilahkan sebagai kelompok radikal dan konservatif.

Isu yang berlaku hanya merupakan peluang untuk menonjokkan identiti jalur pemikiran masing-masing dan lebih buruk lagi ialah jika penonjolan sikap ini adalah untuk mengeksploitasi suasana politik lalu meranapkan harapan generasi untuk menerima bahtera merdeka dalam kedamaian.

Perjuangan menentang ekstrimisme

Negara ini memerlukan pendekatan sederhana untuk maju ke hadapan. Kesederhanaan adalah tabiat semulajadi yang mengimbangi kehidupan manusia dalam semua aktivitinya termasuk dalam beribadat.

Usaha mendamaikan ketegangan agama dan kaum di Malaysia sebenarnya adalah usaha meletakkan keseimbangan pada tempatnya kerana setiap kejadian Allah adalah pada titik perseimbangannya termasuklah hubungan antara agama dan kaum.

Saya tidak mencipta perjuangan yang baru di Malaysia, saya cuma menegaskan asas yang sudah diterima beribu tahun yang lalu.

Sebagaimana generasi terawal berhadapan dengan berbagai kesukaran membawa risalah kesederhanaan, cabaran saya tidaklah terkecuali dan saya menerimanya sebagai motivasi untuk meneruskan jalan kedamaian ini.

Tugasan di MPKN

MPKN atau National Unity Consultative Council (NUCC) mula ‘memperkenalkan dirinya’ dalam isu rampasan Bible bahasa Melayu oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

MPKN menyatakan sikapnya bahawa perampasan ini walaupun dengan autoriti atas alasan kalimah ‘Allah’ yang dipakai tetapi ia mesti dilakukan dengan hikmah dan bijaksana dan bukan secara ‘rampasan’.

Kenyataan media sulung oleh MPKN ini setelah mesyauarat sidang penuh pertama diadakan menarik perhatian pelbagai pihak termasuk kelompok yang kurang mesra dengan kami.

Kenyataan itu dituduh sebagai pengaruh kelompok liberal dalam MPKN, namun pada waktu yang sama MPKN mula mendapat kepercayaan orang ramai bagi meletakkan harapan menyelesaikan isu-isu yang menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Dalam rangka menyediakan perancangan besar perpaduan nasional yang menjadi tumpuan utama kami, beberapa jawatankuasa diwujudkan untuk setiap kami berperanan dalam bidang masing-masing antaranya melibatkan pembangunan inklusif, belia, integrasi nasional, silang budaya dan perundangan.

Saya diberi mandat untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Polisi bersama dengan Lim Chee Wee sebagai timbalan saya.

Anggota majlis lain boleh terlibat secara sukarela dalam mana-mana jawatankuasa dan saya mendesak Dato’ Saifuddin Abdullah sebagai anggota wajib dalam jawatankuasa ini bagi membantu saya dan Lim Chee Wee.

Dengan mandat ini, kami mengadakan mesyuarat pertama kami di Bangunan Parlimen kerana pada waktu itu persidangan parlimen sedang berlangsung.

Fokus Jawatankuasa Kerja

Tiada terma rujukan secara khusus tetapi dengan mengambil nama jawatankuasa ini kami menetapkan bahawa fokus kami ialah aspek perundangan dan polisi. 

Perundangan ialah dengan melihat apakah rang undang-undang atau akta yang boleh memperkukuhkan perpaduan manakala polisi, kami lebih menumpukan kepada galakan dan insentif menjurus kepada pengukuhan dasar perpaduan yang sedia ada.

Mesyuarat seterusnya, kami mendapat rentak sedikit setelah mendapat maklumbalas daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bahawa jawatankuasa kami ini perlu mendatangkan satu deraf awal tentang Akta Keharmonian bagi menggantikan Akta Hasutan yang akan dihapuskan.

Mesyuarat bersetuju supaya Lim Chee Wee yang berpengalaman dalam bidang undang-undang menyediakan deraf awal bersama pasukannya.

Deraf awal itu membolehkan jawatankuasa kami meneliti dan memulakan perbincangan awal bagi menghasilkan deraf untuk tatapan awam.

Mesyuarat selanjutnya lebih tertumpu kepada perincian dan penambahbaikkan deraf awal tersebut.

Proses penglibatan awam

Saya menegaskan bahawa sebagaimana isi kandungan deraf awal perundangan perpaduan itu penting, proses penglibatan awam juga sama pentingnya.

Kami mendapat satu konsensus bahawa jika rang undang-undang (RUU) ini hendak dibawa, ia hendaklah menjadi RUU pertama yang mendapat mandat majoriti rakyat, kami mahu namakan RUU ini sebagai RUU rakyat (people's bill).

Alasannya jelas, oleh kerana RUU ini akan melibatkan kepentingan semua pihak dan bagi memelihara perpaduan nasional maka mereka mesti merasakan bahawa mereka adalah komponen terpenting.

Ia menjadi satu piawaian ke hadapan di mana selama ini tiada konsultasi awam berlaku dalam membawa sebarang RUU baru ke Parlimen.

Saya mahu politik baru yang kami perjuangkan ada nilai tambah lewat proses konsultasi.

Sememangnya itulah yang berlaku, setelah deraf awal dianggap agak bersedia untuk dikemukakan, bermulalah proses pendengaran awam yang selama ini tidak pernah dilakukan.

Langkah awal ialah pengumuman deraf awal dalam lawan sesawang NUCC untuk akses awam.

Kedua ialah menjemput pihak berminat untuk kami bentangkan dan ketiga melibatkan media untuk mewar-warkan ide RUU ini.

Dato’ Saifudin Abdullah khususnya menulis dalam kolumnya di Sinar Harian, saya dan Lim sibuk mengadakan  kenyataan media dan hingga kini kami berjaya mengadakan pertemuan makan tengahari bersama media bagi memperkenalkan idea RUU ini.

Kami juga bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam mendiskusikan deraf ini.

Respons

Kelompok yang respons terdiri daripada yang berhati-hati tetapi optimis dan ada juga yang bersikap pesimistik dan tidak kurang juga yang menolak kesemuanya dengan alasan kita tak perlu lagi undang-undang dalam menguruskan isu hubungan antara agama dan kaum di negara ini.

Kami mengambil kira semua permasalahan ini dengan sikap terbuka dan sepatutnya ia begitu kerana namanya adalah deraf dan ia bukannya muktamad.

Walaupun begitu saya menegaskan dalam pelbagai wawancara media bahawa komentar dan pandangan tidaklah untuk mengundurkan kita ke belakang apatah lagi menggagalkan usaha memperkenalkan undang-undang baru ini.

Dengan kesedaran ini, kami bergerak dengan penuh yakin walaupun tiada contoh awalan yang menjadi petunjuk kepada kami.

Dengan itu, sebuah deraf RUU yang bernama Akta Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi diperkenalkan kepada rakyat Malaysia.

Ide RUU keharmonian nasional

Deraf awal berkembang kepada bentuknya hari ini dengan mengambil kira beberapa konsep.

Konsep pertama ialah undang-undang yang melibatkan kebencian kaum dan agama yang terbit daripada ucapan yang boleh mencetuskan keganasan.

Ia dikenali sebagai ide ‘Hate Speech’ yang dianggap sebagai satu jenayah.

Kedua ialah konsep anti-diskriminasi bagi mendidik rakyat erti kesaksamaan di hadapan undang-undang dan larangan membezakan warganegara ini atas kaum, agama, keturunan, tempat lahir dan jantina serta ketidakupayaan fizikal.

Ketiga dan terakhir ialah mewujudkan remedi awam untuk setiap individu yang merasakan dirinya didiskriminasikan atas alasan-alasan di atas melalui sebuah Suruhanjaya Keharmonian Nasional.

Itulah tiga konsep tentang tujuan utama terbentuknya deraf undang-undang ini.

Elemen penting dalam RUU ini ialah sifat punitif kepada sesuatu yang boleh mencetuskan permusuhan agama dan kaum melalui ucapan dan tindakan manakala yang lain lebih kepada penegasan dan ruang kepada awam untuk mendapat penyelesaian melalui Suruhanjaya yang diberikan autoriti mediasi dan adjudikasi. – 27 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments