Opinion

Suhaizan dengan projek budimannya

Ketika dua pihak dalam PAS bergaduh, Pemuda PAS cuba meredakan pertembungan kedua-duanya melalui Nadwah Fikh Ikhtilaf (Seminar Fikah Perbezaan Pendapat) hujung minggu lalu, namun impaknya tidak dirasai sangat sekarang ini.

Ini kerana, sesetengah pihak dalam PAS sendiri melihat apa yang berlaku dalam parti itu kecil saja dan tidak perlu diberikan perhatian berat.

Perbalahan yang berlaku dalam PAS ketika ini 'terlalu kecil', kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sambil memberi jaminan parti itu masih teguh dan akan kekal untuk terus maju.

Hadi berkata, parti itu pernah berdepan krisis lebih besar, termasuk tindakan kepimpinan tertingginya meninggalkan parti sekitar 1950-an dan 1960-an, namun PAS tetap tidak terjejas.

"Apa yang digembar-gemburkan media hari ini, kecil sangat.

"Masalah dalaman parti tidak jadi masalah, tahun 50an, pernah berlaku. PAS tidak mati. Tahun 60an, berlaku krisis, beberapa kepimpinan PAS keluar parti, PAS tidak mati, terus mara ke hadapan," katanya.

Belau berkata demikian pada program dialog Nadwah Fiqh Ikhtilaf di Shah Alam Sabtu lalu yang dihadiri lebih 300 peserta.

"Saya mula sebut perkara ini kepada presiden, beliau berkata, ini bukan krisis tetapi ini ikhtilaf atau perbezaan pendapat, jadi kita buat nadwah bagi menanganinya," kata Suhaizan Kaiat, ketua Pemuda PAS ketika berucap di majlis itu sebagai penganjurnya.

Bagi beliau,  walaupun perkara ini dilihat kecil tetapi apabila perkara kecil tidak dikendalikan, ia akan menjadi besar.

"Pada zaman sahabat Nabi dulu perkara ini juga berlaku. Mulanya kecil saja tetapi akhirnya ia membawa kepada perang di kalangan para sahabat iaitu perang Sifin dan perang Jamal," tambah Suhaizan.

Ketika itu, kata Suhaizan, pihak yang cuba mendamaikan suasana adalah cucu Rasulullah sendiri iaitu Saidina Hassan bin Ali.

"Siapa yang mahu menjadi Hassan di kalangan kita. Kalau tak boleh jadi Hassan pun tetapi dapat membantu mendamaikan pihak yang berikhtilaf pun oklah," kata Suhaizan yang sejak awal krisis lagi mengambil posisi untuk menyatukan antara parti dalam Pakatan Rakyat.

Namun usaha Suhaizan itu diperlekehkan sebahagian ahli PAS khasnya golongan muda dengan menganggap ia usaha golongan 'desperate' selepas ditolak kebanyakan ahli PAS.

Sabtu lepas, auditorium di Muzium Selangor dekat Shah Alam penuh sesak dengan peserta sejak awal pagi lagi. Presiden PAS berucap memberikan ucapan penutup. Namun tokoh yang menjadi sorotan nadwah ini Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang banyak 'menjirus air sejuk’ di tengah kepanasan perdebatan dan pertelagahan sesama ahli PAS.

Sebelum ini, Suhaizan menganjurkan politik budiman yang mengajak semua rakyat khasnya ahli PAS berjiwa besar. Turut menjadi sasaran politik budiman ialah projek perumahan rakyat budiman yang menyasarkan pembinaan rumah untuk mangsa banjir di Kelantan.

Kini beberapa rumah siap dibina dan akan mencapai lebih 10 buah menjelang pertengahan tahun ini.

Selepas 4 bulan berlalu, berpuluh-puluh penduduk di kawasan banjir mega di Kelantan masih tinggal di khemah dengan pelbagai pihak berkuasa memberikan pelbagai alasan kenapa rumah mereka masih belum disiapkan.

Turut sependapat dengan Suhaizan ialah calon presiden PAS Ahmad Awang yang mempertikaikan pendapat Hadi itu.

Bagi beliau, perkara ini kalau kecil pun sekarang akan menjadi besar dan boleh menghancurkan PAS jika ia tidak dikendalikan dengan baik.

"Presiden kata ia perkara kecil. Apa yang ada sekarang ini bagi saya sangat teruk, dan jika terus dibiarkan, ia boleh menghancurkan parti," kata ahli Majlis Syura Ulama itu.

Beliau berkata, badan tertinggi parti Islam itu juga mahu pimpinan parti tidak membiarkan apa yang berlaku begitu saja, tetapi perlu menghentikannya segera.

"Jika ini caranya dan dibiarkan parti, ini bukan saja tidak demokratik tetapi bercanggah dengan prinsip perjuangan PAS," kata Ahmad yang kini turut menjadi mangsa “permainan politik” dalam parti itu sekarang.

Ahmad mangsa perkara ini di mana kelas pengajian di beberapa masjid dibatalkan penganjur melalui arahan PAS di kawasan berkenaan.

Sehingga kini, 4 masjid sudah berbuat demikian dengan masjid terbaru di Taman Dato Haron, Petaling Jaya.

Kesan sebenar kepada projek penyatuan Suhaizan dan rakan hanya akan dapat ditentukan selepas Muktamar PAS ke-61 di Kuala Selangor Jun nanti.

Jika pihak yang ekstrem dan mahu menghalau sebahagian ahli PAS banyak terpilih maka gagallah projek ini tetapi jika pihak yang mahukan penyatuan dan perpaduan dalam PAS tanpa membuang mana-mana ahlinya terpilih, maka berjayalah cita-cita dan usaha Suhaizan. – 18 April, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments