Opinion

Mengenang sang murabbi Datuk Abu Bakar Chik

 Jenazah Allahyarham Datuk Abu Bakar Chik dibawa turun dari sekolah yang dibinanya, Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah Darul Iman. Turut mengusung keranda beliau adalah Mat Sabu, Salahudin Ayub dan Idris Ahmad, rakan rapat beliau dalam PAS. – Gambar Harakahdaily. Jenazah Allahyarham Datuk Abu Bakar Chik dibawa turun dari sekolah yang dibinanya, Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah Darul Iman. Turut mengusung keranda beliau adalah Mat Sabu, Salahudin Ayub dan Idris Ahmad, rakan rapat beliau dalam PAS. – Gambar Harakahdaily.Tanggal 23 Jun 2014 adalah hari ulang tahun kematian presiden PAS yang paling terkemuka, Datuk Fadzil Mohd Noor dan pada hari ulang tahun kematiannya itulah, seorang lagi tokoh PAS, Datuk Abu Bakar Chik meninggal dunia.

Beribu-ribu orang berkumpul di Maahad Tahfiz Wa Tarbiyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring, Kuala Terengganu bagi memberikan penghormatan terakhir kepada beliau.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahudin Ayub dan Ustaz Idris Ahmad adalah antara yang mengusung keranda jenazah beliau ke tanah perkuburan.

Ketiga-tiga mereka adalah antara exco Dewan Pemuda PAS ketika Abu Bakar adalah ketuanya (1989-1999).

Dengan perginya Abu Bakar, PAS kehilangan seorang lagi tokoh PAS dari Terengganu selepas perginya Datuk Harun Taib sebelum ini.

Abu Bakar bersama Harun dan tiga lagi pimpinan PAS iaitu Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dan Peguam Datuk Wan Mutalib Embong adalah lima tokoh PAS yang menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 1982 lalu.

Ketiga-tiganya berjaya memulihkan kembali PAS selepas hancur pada 1978. Kelima-lima merekalah antara tokoh yang membina kembali PAS di Terengganu dan Malaysia.

Saya masih ingat bagaimana bersemangatnya penyokong PAS ketika itu menyambut kemenangan lima tokoh mereka itu yang kemudiannya menjadi pemimpin besar PAS di peringkat pusat.

"Lima wakil ini akan kami jadikan jari yang membentuk penumbuk untuk menentang kezaliman," kata Abdul Hadi dalam ucapan sulungnya selepas menang dalam PRU 1982 itu.

Asas yang dibentuk mereka pada 1982 inilah yang kemudiannya membolehkan yang mendapat hasilnya pada 1999 apabila PAS berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRU pada tahun itu.

Abdul Hadi menjadi menteri besar, Mustafa menjadi exco kanan manakala Harun, Wan Mutalib dan Abu Bakar masing-masing menjadi exco kerajaan negeri.

Itulah kemuncak kejayaan yang mereka bina sejak pra PRU 1982 lagi.

Abu Bakar terkenal dengan sistem penkaderan beliau. Melalui Institut Berakan, sebuah sekolah swasta yang beliau tubuhkan di Kuala Terengganu, kader-kader PAS dibentuk. Sebutlah apa sahaja program PAS sama ada di Terengganu atau di luar Terengganu, dari pusat inilah petugas PAS datang.

Kerana takut dengan perkembangan ini, pada 19 November 1991 institut yang banyak menghidupkan semula peluang belajar untuk pelajar yang terkandas dalam pelajaran ini dirobohkan.

Kecenderungan Abu Bakar dalam pendidikan menyebabkan beliau ke Fort Wayne Community College, Indiana, Amerika untuk belajar Bahasa Inggeris dan ke Jami'ah Afriqiyyah Alamiyah, Khourtoum, Sudan untuk belajar Bahasa Arab.

Di peringkat pusat, Abu Bakar terlibat secara langsung dalam menginstitusikan pusat pendidikan pra sekolah PAS yang bermula dengan Tadika Islam dan dijadikan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti), bertebaran menjadi pusat pendidikan PAS yang sangat popular di seluruh negara sekarang ini.

Mungkin kerana itulah Abu Bakar dilantik sebagai pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat sehinggalah beliau menemui ajal dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) antara Bukit Besi menuju Ajil awal pagi semalam.

Kereta Abu Bakar yang dipandu oleh rakannya itu terlibat dalam kemalangan kira-kira jam 4 pagi 23 Jun dalam perjalanan beliau pulang daripada menyertai satu program tarbiyah di Shah Alam.

Di ibu negara, beliau juga sempat menziarahi Abdul Hadi yang masih berehat selepas pulang dari Turki. Di sana, beliau berada lebih seminggu di sebuah hospital di Istanbul.

Tatkala jenazahnya sedang disempurnakan, pesanan akhir Allahyarham ketika berucap di program "Santai Anak Muda Bersama Murabbi" di Laman Budaya Taman Tasik Shah Alam, malam kelmarin berlegar di laman sosial.

Dalam ucapannya itu, beliau mengingatkan anggota jemaah perlu berperanan mengatur strategi untuk kepentingan Islam dan bukannya untuk diri sendiri.

"Kita nak selesaikan kehidupan dengan syariat," ujarnya.

Jemaah, ujarnya bukan medan berehat tetapi medan berjuang, maka setiap isu masyarakat mesti ditafahhum dengan dasar Islam.

"Saf kita bukan sekadar ahli yang baik, tapi jundi (pejuang) yang berdisiplin. Perlu ada kesegeraan dalam time management (pengurusan masa)," pesan beliau.

Jika ditanya kepada saya, siapakah tokoh yang mengikat saya dengan perjuangan PAS, saya akan berkata Allahyarham Sang Murabbi Datuk Abu Bakar Chik adalah antara orangnya.

Melalui beliau saya terpilih menyertai pasukan pertama pelatih kewartawanan Harakah iaitu pada 1987, selepas mendapat permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri.

Selamat bersemadi ustaz, semoga Allah menerima segala amal baik tuan untuk semua. – 25 Jun, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments