Opinion

“Khalid hutang satu Kopi O dengan saya”

"Tan Sri Khalid berhutang secawan kopi O dengan saya," kata Subky Latif kepada saya ketika menjadi wartawan Harakah lima tahun lalu. Ketika itu, Khalid baru beberapa bulan menjadi Menteri Besar Selangor.

Beliau mahu berjumpa dengan MB Selangor itu, minum kopi, sambil sembang tentang kenangan lama mereka bersama. Namun sehingga kini hasrat itu belum kesampaian. Mungkin kerana kesibukan masing-masing.

Subky dan Khalid mempunyai hubungan tersendiri. Subky tahu dengan terperinci perkembangan sejarah perkahwinan antara Khalid dengan isterinya, Puan Seri Salbiah.

Subky Latif dan isterinya, Naznah mempunyai hubungan istimewa dengan Khalid. 24 Julai, 2013.Subky Latif dan isterinya, Naznah mempunyai hubungan istimewa dengan Khalid. 24 Julai, 2013.Selain Subky, isterinya Naznah Datuk Taha juga rapat dengan keluarga ini. Salbiah adalah cikgu beliau di sekolah menengah di Kuantan.

Subky sangat faham tentang Khalid. Sebab itu apabila ada yang bercerita tentang Khalid yang sukar dikawal, beliau tidak terkejut dengannya.

"Hanya seorang sahaja yang boleh kawal Khalid iaitu kakaknya. Sejak kematian beliau, saya tidak tahu siapa lagi yang boleh mengawal beliau," cerita Subky.

Khalid kehilangan kakaknya Siti Zaharah Ibrahim sejak beberapa tahun lalu. Ia merupakan satu kehilangan besar buat Khalid kerana itulah orang yang paling dihormatinya.

Bapaknya, Pak Ibrahim juga faham sikap anaknya ini. Sebab itu, kalau mereka janji mahu keluar jam 10.00 pagi, bapanya akan siap jam 10 pagi tepat. Jika tidak, Khalid akan meninggalkan bapanya itu, cerita Subky.

Sebab itu, bagi beliau, cerita tentang kejayaan Khalid samada sebagai tokoh korporat dulu atau sebagai MB sekarang adalah kerana beliau mempunyai disiplin tersendiri.

Semalam, 22 Julai 2013, selepas beberapa bulan ding dong, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifudin Nasution Ismail melaporkan dirinya untuk bertugas di Pejabat MB Selangor. Beliau dilantik oleh Khalid sebagai Ketua Staff (Chief of Staff) kepada Pejabat Menteri Besar Selangor. Sistem yang digunapakai adalah umpama pejabat Presiden Amerika sekarang yang mempunyai Chief of Staff.

Menurut surat lantikan yang ditunjukan kepada penulis, perlantikan ini berkuatkuasa 1 Julai 2013 walaupun Saifudin baru hari ini melaporkan diri. Turut serta menerima beliau di Pejabat MB adalah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohd Khusrin Munawi.

Sebagai Chief of Staff, Saifudin akan menyeliakan semua kakitangan pejabat MB Selangor kecuali Ketua Setiausaha Sulit MB yang dilantik dari kalangan pegawai kanan kerajaan negeri yang terletak di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

Orang berkenaan merupakan bekas seorang pegawai daerah.Saifudin diumumkan bakal bertugas di pejabat MB Selangor sejak lebih sebulan lalu, namun ada sahaja perkara yang tidak selesai. Ada-ada saja isu yang berbangkit menyebabkan beliau baru melaporkan diri untuk bertugas mulai semalam.

Ketika beliau mula diumumkan akan bertugas di pejabat MB Selangor, beberapa pihak mempersoalkannya. Rakan-rakan beliau dalam PKR Selangor bertanya, kenapa beliau, orang yang kalah dalam pilihan raya di Kedah dipilih oleh Khalid. Tidak ada orang Selangor ke.

Rakan-rakan PKR dalam Pakatan juga turut menuntut perkara yang sama. Maka parti masing-masing memilih Teresa Kok dari DAP dan Dr Dzukefly Ahmad dari PAS untuk sama-sama memegang jawatan seumpama Saifudin bagi mewakili PAS dan DAP di pejabat MB Selangor.

Saifudin Nasution yang bertugas sebagai Chief of Staff dipejabat menteri besar Selangor. Gambar The Malaysian Insider, 24 Julai, 2013.Saifudin Nasution yang bertugas sebagai Chief of Staff dipejabat menteri besar Selangor. Gambar The Malaysian Insider, 24 Julai, 2013.Namun kemasukan Saifudin ke Pejabat MB Selangor semalam memberikan gambaran yang jelas apakah peranan yang akan dimainkan beliau sebenarnya.

Sebelum ini, Saifudin dikatakan akan menjadi Pegawai Perhubungan Politik di pejabat MB. Ekoran itu, ramai yang tidak faham fungsi Saifudin termasuk PAS dan DAP. Ekoran itulah mereka menamakan juga wakil mereka untuk menjadi penyelarasan politik bagi pihak parti masing.

Kini semua jelas, Saifudin adalah Ketua Staff Pejabat MB. Sudah tentu sebagai Setiausaha Agung PKR, beliau akan menjadi  penyelaras politik. Dengan kelebihan yang ada pada beliau, Saifudin dijangka boleh diterima oleh PAS dan DAP dengan baik.

Namun bagaimana pula dengan pihak-pihak tertentu dalam PKR sendiri. Ia sukar untuk diramalkan.

Satu lagi isu besar adalah perlantikan Saifudin adalah bertujuan untuk membolehkan penyelarasan berlaku antara Tan Sri Khalid sendiri selaku MB Selangor dengan PKR yang selama ini agak panas dan tidak selesa.

Bolehkah beliau memainkan peranan sebagai Siti Zaharah Ibrahim, kakak Khalid yang sudah meninggal itu?

"Hari pertama kami sangat baik. Selepas pertemuan formal dan mereka yang lain diminta keluar, kami habiskan hampir satu jam untuk berbicara empat mata khususnya hal politik," kata Saifudin Nasution memberikan gambaran baik untuk masa depan. - 24 Julai, 2013.

 

* Ini adalah siri kedua dan terakhir dalam siri Bertemu Dengan Propagandis Zaman..

* Ini adalah pendapat peribadi penulis.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments