Opinion

Hilangnya satu lagi permata Kedah

Orang ramai mengangkat jenazah Tan Sri Azizan Razak untuk disembahyang dan dikebumikan.Orang ramai mengangkat jenazah Tan Sri Azizan Razak untuk disembahyang dan dikebumikan.11 tahun lalu, menjelang Asar 23 Jun 2002, Muassasasah Darul Ulum hingar bingar dengan bunyi ambulans dan motosikal memecah kesunyian petang.  Ketika itu, jenazah Presiden PAS, Datuk Fadzil Mohd Noor dibawa ke pusat tarbiyah PAS Kedah itu.

Hari ini sekali lagi Muassasah Darul Ulum diserbu orang ramai selepas satu lagi permata PAS dari Kedah meninggal dunia. Semalam, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak meninggal dunia dan meninggalkan PAS untuk selama-lamanya.

Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir adalah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung, Tuanku Abdul Halim Muazzam Shah. Baginda tiba kira-kira jam 4.30 petang di  Markas PAS Pokok Sena di mana jenazah Ustaz Azizan ditempatkan.

Di sini, jenazah Ustaz Azizan disembahyangkan sebelum disemadikan di Muassasah Darul Ulum, tempat Ustaz Fadzil disemadikan 11 tahun lalu.

Ustaz Fadzil meninggal dunia pada 23 Jun 2002 di Unit Rawatan Rapi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia akibat sakit jantung pada jam 10.30 pagi. Jenazah beliau diterbangkan oleh pesawat Hercules dari Selangor ke Kedah.

Sebelum itu, Ustaz Fadzil menerima rawatan selepas melakukan pembedahan pintasan jantung pada 10 Jun 2002. Sebelum itu beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Terengganu kerana mengadu sakit dada.

Ustaz Azizan pula meninggal jam 9.10 pagi semalam selepas memasuki hospital sebaik saja selesai Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Azizan berada dalam keadaan kritikal dua hari lalu apabila kadang-kadang jantungnya berhenti berfungsi dan terpaksa menggunakan alat bantuan untuk berfungsi semula.

Pada 9 Mei lalu, selepas PRU13, Azizan menjalani pembedahan untuk memotong kedua-dua belah kakinya di Hospital Pulau Pinang akibat kencing manis.

Beliau kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah pada 4 Ogos selepas keadaannya agak stabil.

Azizan meninggalkan dua isteri iaitu Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie serta lapan anak.

Pada 1995, Azizan memulakan kariernya sebagai wakil rakyat apabila beliau menjadi calon pilihan raya umum dengan bertanding di DUN Sala (kini Sungai Limau) dan menang.

Ketika itu, Azizan adalah Pengarah Urusan Harakah, organisasi yang mengendalikan lidah rasmi PAS, Harakah dan Harakahdaily. Bagi membolehkan beliau memberikan tumpuan kepada tugasnya sebagai wakil rakyat beliau melepaskan jawatannya dan berpindah ke Kedah iaitu pulang ke kampung halamannya di sana.

Azizan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Perhubungan PAS Kedah yang bertanggungjawab secara langsung kepada Ustaz Fadzi, Pesuruhjaya PAS Kedah.

Selepas Ustaz Fadzil meninggal, Ustaz Azizan dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kedah. Mulai dari situlah bermulanya Kedah di era Azizan Razak, lelaki yang penuh dengan warna warni.

Sebagai bekas kakitangan Harakah, saya juga mempunyai pengalaman tersendiri dengan Azizan. Yang paling ketara, saya tidak boleh bekerja dengan Azizan. Caranya terlalu sukar untuk saya ikuti. Sebaik saja nama beliau diumumkan sebagai Pengarah Urusan Harakah, saya memohon untuk bekerja di Pejabat Harakah Kota Bharu. Begitu juga Ahmad Lutfi Othman. Beliau hanya bertahan enam bulan sahaja sebagai Pengarang Kumpulan Harakah di bawah Azizan.

Namun, bagi rakan saya, Taufek Yahya (kini menggantikan saya di Harakahdaily) Azizan adalah ketua terbaik untuknya. Begitu juga bagi rakan saya, Helmi Khalid. Dari wartawan Harakah, beliau boleh menjadi rakan baik Ustaz Azizan apabila beliau dipilih menjadi Setiausaha Akhbar MB Kedah itu sehingga ke akhir hayatnya.

Sebab itu, apabila berlaku sedikit perbezaan pendapat antara Azizan dengan beberapa pemimpin PAS lain di bawah beliau di Kedah, saya sangat faham dengan apa yang berlaku. Hanya mereka yang mempunyai kelebihan tertentu saja boleh bekerja baik dengan Azizan dan saya tidak termasuk dalam golongan yang bernasib baik itu.

Pun begitu, bagi saya, dengan kehebatan yang ada pada Ustaz Azizanlah, PAS berjaya menang di Kedah dalam PRU 2008. Tanpa beliau memimpin Kedah sukar untuk memastikan kemenangan itu boleh dicapai.

Kehebatan yang ada pada Ustaz Azizan juga yang membolehkan Kedah membina kampus Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil dengan nilai RM320 juta itu.

Pada era Ustaz Azizan menjadi Menteri Besar dan Pengerusi Lembaga Pengarah KUIN, semua aspek pengembangan KUIN seperti penambahan fakulti baru, membawa masuk profesor dan pembinaan Kampus Tetap yang menjadi  prasyarat untuk menaik taraf ke tahap universiti penuh dapat dilaksanakan.

Setelah dokumen permohonan naik taraf universiti penuh dapat disiapkan, semua syarat dipenuhi, hasrat ini akan tercapai setelah Kampus Tetap di Kuala Ketil disiapkan.

Ini hanya  terlaksana pada zaman Pakatan Rakyat memerintah Kedah dengan pengalaman, kesungguhan dan keupayaan kepimpinan yang miliki oleh Ustaz Azizan.

Dalam tempoh tiga tahun sahaja dia menunjukkan cara dan jalan menamatkan 'ding-dong' yang berlarutan berbelas tahun.

Inilah kehebatan Ustaz Azizan. Dengan kecintaannya kepada akademik dan kesungguhannya menjadikan kampus KUIN menjadi realiti.

Namun kini Ustaz Azizan sudah pergi. Sebelum beliau pergi lagi, pihak yang bersifat 'Monyet dapat bunga' juga meminggirkan usaha gigih Ustaz Azizan untuk Kuin itu.

Semoga kerja kuat dan itqan Ustaz Azizan diterima Allah dan ditempatkanNya bersama dengan roh orang yang beriman. – 27 September, 2013.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments