Opinion

Hanya ‘Caesar dari Planet of the Apes’ boleh selamatkan Malaysia

Hanya `Caesar dari Planet of The Apes' yang boleh selamatkan Malaysia.Hanya `Caesar dari Planet of The Apes' yang boleh selamatkan Malaysia.Siapakah yang boleh selamatkan Malaysia daripada keadaan huru-hara sekarang ini? Seorang teman berkata, hanya 'Caesar dari Planet of The Apes' yang boleh selamatkannya.

Itulah kenyataan seorang rakan saya ketika mengulas apa yang berlaku di Malaysia sekarang. Bukan setakat negara bahkan juga Barisan Nasional apatah lagi Pakatan Rakyat.

Bukan saja kerajaan Malaysia tetapi kerajaan negeri Selangor dan Kelantan. Yang agak selamat adalah Pulau Pinang kerana watak 'Caesar dari Planet of the Apes' ada pada pemimpinnya Lim Guan Eng.

Tun Dr Mahathir Mohamad yang berwatak 'Caesar dari Planet of the Apes' selama inilah yang berjaya meletakkan dirinya sebagai perdana menteri paling lama memerintah Malaysia.

Apakah watak 'Caesar'? Menurut Caesar, "Beruk-beruk hanya akan bersatu apabila pemimpinnya kuat."

Apakah Najib kuat? Anda boleh nilai sendiri. Sesiapa saja di kelilingnya sentiasa dilihat mencabar kenyataan, sikap dan pendiriannya.

Apabila Najib melancarkan 1Malaysia untuk menggabungkan semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, orang yang berada di kelilingnya yang pertama menentang.

Lihat Perkasa. Lihat apa yang dibuat Isma. Keraguan juga kepada timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Lihat Dr Mahathir sendiri.

Apa yang berlaku kepada Najib sekarang juga berlaku kepada Tun Abdullah Badawi dulu. Watak Caesar juga tidak ada pada beliau.

Apabila Pak Lah memperkenalkan Islam Hadhari, beliau mengikat PAS tetapi untuk satu penggal saja. Ini kerana beliau bukan 'Caesar' untuk mengawal penyokongnya. Tembelang akhirnya pecah dan terburai dalam pilihan raya umum 2008.

Apa yang berlaku dalam Pakatan Rakyat juga sama. 'Caesar' tidak ada di Selangor dan Kelantan. Setiap hari mereka yang tidak bersetuju dengan Tan Sri Khalid Ibrahim sekarang bising tentang beliau.

Khalid dianggap menguruskan Selangor umpama sebuah syarikat. Hanya ahli-ahli lembaga pengarahnya yang tidak seramai mana itu saja yang faham apa dibuatnya. Rakyat mungkin tidak faham tetapi rakan kongsi setiap hari bersungut tentang beliau. Mereka terasa diketepikan Khalid.

Syarikat bolehlah. Mereka boleh dikawal jika Khalid berjaya tunjukkan keuntungan syarikat kerana itu matlamat mereka.

Tetapi negeri bukan begitu. Ada Sultan, ada parti-parti komponen, ada exco, ada pegawai kerajaan dan ada rakyat. Ia lebih kompleks berbanding sebuah syarikat.

Selagi Khalid tidak ubah cara pengurusannya, selagi itulah dia akan susah.

Watak Caesar juga diperlukan di Kelantan. Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat yang menjadi menteri besar sebelum ini juga mempunyai watak Caesar. Apa yang dikatakan Nik Aziz jarang dibantah.

Beliau juga berani membuat keputusan dan berpendirian. Ia dihormati dan ditakuti rakan dan lawannya.

Apabila timbul masalah dengan menantunya yang mengurus sebuah anak syarikat kerajaan negeri, Nik Aziz dengan berani bertindak mengenepikan menantunya.

Apabila Datuk Ahmad Yakub mengambil alih jawatan MB Kelantan, watak 'Caesar dari Planet of the Apes' tidak ada padanya. Beliau dilihat dikawal oleh pihak lain. Mungkin beliau sangat baik tetapi kebaikan itu tidak dapat dilihat rakan bahkan musuhnya.

Berbeza dengan Lim di Pulau Pinang. Beliau berjaya memperlihatkan watak Caesarnya. Pencapaiannya tidaklah setara mana. Selangor jauh lebih banyak memberikan sesuatu kepada rakyatnya berbanding Pulau Pinang.

Gerakan, musuh DAP di Pulau Pinang cuba mendedahkan satu persatu kelemahan Lim. Antaranya Gerakan mendedahkan pelaburan jatuh merudum di negeri pulau Mutiara itu.

Bahkan Gerakan juga mendedahkan, akaun Pulau Pinang dilihat bersih kerana ketua menterinya seorang akauntan. Tetapi kenapa dia ok, Gerakan mendedahkan kerana dia menjual aset, bukan menghasilkan produk baru yang meningkatkan hasilnya.

Tetapi kerana Lim ada watak 'Caesar dari Planet of the Apes' semua pendedahan Gerakan umpama mencurah air ke daun keladi...tiada apa-apa kesan kepada kerajaan Pakatan Rakyat yang dipimpin DAP di Pulau Pinang.

"Jadi adakah kita kena ke panggung wayang untuk belajar dari 'Caesar dari Planet of the Apes'," tanya saya kepada kawan saya itu.

"Tak perlu...dengan teknologi yang ada, anda boleh belajar dari 'Caesar dari Planet of the Apes' di mana-mana saja," katanya. – 11 Julai, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments