Opinion

Siapakah yang hendakkan sangat kerjasama PAS dan Umno

JUNE 12 — "Tranganukite. Hotnews. Mustafa Ali dan Harun Taib menjadi delegasi PAS untuk bergabung dengan Umno esok. Sebarkan."

Ini adalah SMS yang disebarkan pada 8 Jun lalu ke merata-rata. Bukan beberapa orang bahkan beribu-ribu orang dipercayai menerima dan menyebarkan kembali SMS beracun ini.

Datuk Harun Taib ketika dimaklumkan mengenainya menyifatkan SMS ini sebagai fitnah manakala Datuk Mustafa Ali enggan mengulas langsung mengenainya. Mungkin beliau tidak mahu melayannya. Yang pasti SMS yang dihantar kepadanya tidak mendapat sebarang respon.

Pada 9 Jun, laman web Tranungkite.net menyiarkan satu posting mengenai SMS ini. Laman yang dimiliki Pemuda PAS Dungun, Terengganu itu menjelaskan, pihaknya tidak pernah menyiarkan makluman semacam itu. Ia hanya dimasukkan sekejap ke dalam forum yang tersiar dalam laman web itu. (Forum tidak diedit dahulu oleh pemilik laman web tetapi dimasukkan terus oleh peserta). Apabila disedari oleh moderator forum itu, ia telah dimasukkan ke dalam trash box laman itu.

Besar kemungkinan, pihak yang menyebarkan maklumat ini melalui SMS adalah pihak yang memasukkan maklumat sebegitu dalam forum berkenaan. Beliau nampaknya tahu sasaran mereka iaitu penyokong PAS.

Saya berkata begini kerana sampai ke hari ini (11 Jun) saya gagal menghubungi nombor telefon yang menghantar SMS kepada saya itu. Nombor itu adalah 013-3313441. Sebaik sahaja saya menerima SMS itu pada 8 Jun lalu, saya terus menghubungi nombor ini. Namun sehingga masa saya menulis ini (jam 6.00 petang 11 Jun) saya masih belum berjaya bercakap dengan pengirim SMS ini. Panggilan saya hanya sampai ke peti simpanan suara sahaja.

Pada hari ini juga, Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menafikan adanya usaha untuk berbaik dengan Umno sebagaimana yang disebarkan melalui SMS itu.

Bagi Tranungkite.net, besar kemungkinan pihak yang menghantar maklumat dalam forumnya itu adalah pihak yang bekerja dengan Umno. Untuk menolak andaian ini agak sukar. Ini kerana, laman web yang saya kendali (siasahdaily.blogspot.com) juga menghadapi situasi yang sama.

Hampir kesemua posting yang saya buat akan mendapat komentar segera dari sekurang-kurangnya dua orang pelawat tetap laman ini. Seorang menggunakan nama samaran Abe Mie manakala seorang lagi Irfandina.

Lihat contoh komen yang dibuat oleh Abe Mie ini:

"abe MIE nak cakap sedikit pasal pembukaan keahlian PAS diberikan keahlian PAS dari kalangan orang Cina dan India kepada PKR (lupakan pasal air subsidi boleh tak)?

Kenapa PAS tidak bubarkan parti itu dan menyertai PKR? Sedangkan Anwar.... akan jadi PM nanti!!!" tulis Abe Mie.

Padahal tajuk posting dalam laman itu adalah "Air percuma: Syabas tolak cadangan kerajaan Selangor"

Seorang pembaca lain dalam blog itu membuat komen sebegini:

"kita sedang bincang bab air percuma, mengapa pula dengan tiba2 …. 'abe mei' ni masuk meracau macam orang kena sampuk pula."

Jika benarlah apa yang dijangkakan oleh webmaster Tranungkite itu bermakna Umno sekarang benar-benar bekerja untuk menghadapi cabaran di alam siber ini. Mungkin inilah yang dinamakan oleh pengendali laman web Malaysia-today, Raja Petra Kamarudin sebagai 'cyber trooper' atau petugas-petugas siber Umno yang berusaha untuk menutralisekan serangan pembangkang dalam alam siber ini.

Namun, jika benarlah ini kerja-kerja petugas Umno, tidak banyak yang bakal diperolehi Umno dengan usaha sedemikian sebenarnya. Ini kerana, kebimbangan PAS dan Umno bekerjasama ini bukan datang dari dalaman PAS yang anti Umno sahaja tetapi dari rakan-rakan Umno dalam BN juga.

Pihak yang paling tidak senang adalah para pemimpin MCA. Mereka bimbang sekali apabila mendengar ura-ura kerjasama Umno dengan PAS ini.

Yang dibimbangi oleh pendokong PAS tentang kerjasama ini adalah kalau-kalau PAS disepak dan ditendang kembali selepas Umno kuat semula nanti. Tetapi yang dibimbangi oleh MCA adalah "rakan mereka sedang berusaha untuk bekerjasama dengan musuh mereka".

Umno kena ingat, masalah sebenar mereka adalah larinya pengundi Cina dan India dari BN bukannya larinya pengundi Melayu dari Umno. Sebab itulah MCA dan MIC yang kehilangan wakil rakyat mereka dalam Parlimen bukannya Umno.

Kemenangan calon-calon PAS mengambil alih tempat Umno juga dibantu oleh pengundi Cina dan India ini. Sebab itu ramai calon PAS yang menang adalah di bandar dan bukannya di kampung-kampung tradisi kerana di situ terus dimenangi oleh calon BN dari Umno.

Yang menjadi persoalan juga di dalam PAS kini adalah kumpulan mana dalam Umno yang beriya-iya benar mahu bekerjasama dengan PAS. Penyokong Abdullah, Najib atau pihak mana. Ini kerana, pihak yang menghubungi PAS nampaknya pelbagai jenis dan datang dengan pelbagai penyamaran.

Misalnya dalam kes royalti minyak di Terengganu. Apabila NGO Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) mahu melancarkan kempen membawa kembali royalti minyak kepada kerajaan negeri, satu kumpulan telah menemui pemimpin Mampat ini. Mereka perkenalkan diri sebagai orang Tun Dr Mahathir. Namun, apabila diselidiki terbukti mereka sebenarnya bekerja untuk Datuk Seri Najib.

Apakah tujuannya petugas yang dikaitkan dengan kumpulan Najib ini bekerjasama dengan Mampat untuk menjalankan kempen mengembalikan semula royalti minyak untuk rakyat Terengganu. Bukankah ianya dilaksanakan oleh Tun Dr Mahathir dahulu?

Bagi Mampat, usaha itu dibuat untuk memberikan tekanan kepada Perdana Menteri Abdullah agar beliau meletakkan jawatan lebih cepat. Maklumlah, apabila rakyat bangkit marahkan kerajaan Pusat kerana isu royalti ini, yang menjadi sasaran adalah Perdana Menteri. Jadi, isu royalti diharap dapat membuka satu lagi medan tempur dengan Abdullah.

Memang sudah menjadi rahsia umum sekarang, Najib mempunyai strategi tersendiri dalam pemilihan Umno nanti. Walau tidak secara terbuka, beliau mula memperkuatkan ikatannya dengan Tan Sri Muhyidin dalam usaha menekan Abdullah.

Namun, dalam pada itu, Najib tidak akan membiarkan orang lain mencabar Abdullah dalam pemilihan Umno akan datang. Jika dibiarkan, katakan Ku Li mencabar Abdullah. Bagaimana kalau Ku Li menang? Tambahan pula peluang untuk menang tinggi kini. Sudah tentu ia akan menyukarkan laluan Najib ke kerusi Perdana Menteri. Jadi lebih baik sebenarnya, memberikan tekanan kepada Abdullah agar turun dan menyerahkan jawatan itu kepada Najib sebelum pemilihan nanti.

Sebab itu, sekarang di dalam PAS sendiri juga keliru. Yang nampak bekerja dan mahu sangat bekerjasama dengan PAS adalah kumpulan yang menyokong Najib. Tetapi, yang memerlukan sangat sokongan PAS sekarang adalah Abdullah iaitu untuk meperkuatkan kedudukannya dalam kerajaan.

Jika begitu, nampaknya yang benar adalah semua usaha untuk bekerjasama dan berjumpa ini adalah permainan politik semata-mata. Ia bertujuan untuk mencapai kepentingan politik masing-masing dan penuh dengan tipu muslihat.

Zulkifli Sulong is a veteran journalist who edits the Bahasa Malaysia weeky Siasah. An incisive observer of Malaysian politics, he writes an exclusive weekly column for The Malaysian Insider.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments