Opinion

Selesai sudah kusut dan masai dalam Pas

AUG 1 — Setelah berding dong hampir lima bulan, akhirnya Pas mencapai kata sepakat semalam, 31 Julai 2008. Kata sepakat itu dicapai dalam mesyuarat bersama antara Jawatankuasa Pas Pusat dengan Majlis Syura Ulamak di pejabat Agung Pas Jalan Raja Laut.

Ia dicapai dalam mesyuarat marathon selama lima jam tanpa henti dari jam 10 pagi hingga jam 3.00 petang. Bayangkan mereka tidak berhenti makan tengahari sehinggalah mesyuarat itu tamat.

Sidang media yang dibuat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jam tiga petang bersama Setiausaha Agung, Datuk Kamarudin Jaffar dan Ketua Muslimat, Nuridah Salleh hanya berjalan lima minit sahaja. Hanya tiga soalan dibenarkan selepas Abdul Hadi membacakan keputusan mesyuarat bersama itu.

Menjelang mesyuarat ini, pelbagai kenyataan menarik bertebaran di alam maya dan juga dada-dada akhbar serta kaca-kaca tv. Semuanya melahirkan pelbagai jenis spekulasi dan andaian apa akan berlaku dalam mesyuarat bersejarah ini. Para wartawan pula mula berkumpul di pejabat Pas yang terletak di Jalan Raja Laut itu sejak jam 9.00 pagi lagi.

Antara kenyataan menarik yang boleh dikumpulkan dalam tempoh pra mesyuarat ini adalah:

1) Pas sedia adakan muqabalah (pertemuan biasa) dengan Umno dan bukan lagi muzakarah.

2) Pas boleh bergabung dengan Umno dengan syarat kedua-dua parti dibubarkan dan Pas akan menuntut dilaksanakan hukum hudud dan qisas melalui kerjasama parti baru ini. (Ramai yang mengira, ini cara Nik Aziz untuk memaksa Umno menolak gabungan ini)

3) Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar menulis surat terbuka memohon maaf kepada semua kerana telah membuat kenyataan sebelum ini tidak ada perbincangan Umno dan Pas padahal ianya disahkan ada kemudiannya oleh Presiden Pas sendiri.

4) AJK Pas, Mohamed Hanipa Maidin secara terbuka menulis dalam blognya kekesalan beliau dengan pertemuan antara pemimpin Pas dengan Umno dan berjanji akan menuntut penjelasan dalam mesyuarat yang telah berlangsung hari ini.

Kenapa semua ini berlaku? Kenapa sampai kusut masai dan berserabut jadinya parti Islam ini? Ramai yang bertanya saya. Secara jelas saya juga tidak tahu tetapi kalau saya boleh ceritakan, ia mungkin bermula dengan cadangan untuk membentuk kerajaan melalui Pakatan Rakyat.

Ia diumumkan oleh Anwar Ibrahim, pemimpin de facto Pakatan Rakyat yang turut disertai oleh Pas ini.

Bagaimana caranya? Ia hendak dilakukan dengan cara penyemberangan lebih 30 anggota Parlimen dari Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat. Siapa yang hendak menyeberang? Yang dikenalpasti adalah sebahagian besarnya adalah anggota Parlimen bukan Islam dari Sabah dan Sarawak yang sememangnya tidak berpuashati dengan kerajaan BN.

Inilah mulanya kusut masai dan serabut (haywire) ini.

Setelah dikira, didapati jumlah angota Parlimen bukan Islam lebih ramai dari anggota Parlimen beragama Islam dalam kerajaan Pakatan Rakyat nanti. Sebahagian pemimpin Pas mula mengira, jika begitu bermakna, kerajaan yang bakal dibentuk nanti adalah bermajoritikan bukan Islam.

Di mana Pas ketika itu? Apa pandangan pengundi tradisional Pas iaitu orang Melayu dan Islam? Apa kata mereka nanti apabila dasar-dasar kerajaan baru ini mula dilaksanakan yang sudah tentu mengambil kira kuasa majoriti anggota Parlimen yang mendokong kerajaan baru ini.

Bagaimana dengan dasar perjuangan Pas? Kemana halatuju kerajaan baru itu nanti? Kalau dengan DAP pun Pas sudah sentiasa menghadapi masalah, bagaimana mahu berdepan dengan DAP yang nanti disokong oleh majoriti anggota Parlimen yang bukan Islam pula.

Inilah dilema Pas.

Maka bermula usaha untuk mencari jalan keluar dari kekusutan ini. Lalu, antaranya terfikirlah sebahagian mereka "mengapa tidak dengan Umno... mereka pun hampir setiap hari melambai-lambai tangan agar Pas bersama mereka."

Maka, berdasarkan senario itu berlakulah apa yang berlaku. Secara senyap-senyap sebahagian pemimpin tertentu Pas mula mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno untuk membina jambatan. Pertemuan pertama mereka dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah mendapat gambaran apa yang ditawarkan kepada Pas.

Namun, selepas berjalan hampir beberapa bulan, nampaknya usaha itu hanya menuju ke dinding. Ia bakal berdepan dengan keraguan dan kesangsian ahli dan penyokong Pas. Yang paling marah adalah pengundi Pas di kalangan bukan Islam iaitu orang Cina dan India.

Bagi mereka, undi yang diberikan kepada Pas kerana mereka marahkan MIC dan MCA yang berbaik-baik dengan Umno. Umno bagi mereka terlalu busuk dan membusukkan. Selepas mereka memberikan undi kepada Pas tiba-tiba parti Islam ini didapati bermain mata dengan Umno pula.

Kemarahan mereka banyak dirasai oleh beberapa anggota Parlimen Pas yang menang di kawasan ramainya pengundi India dan Cina. Antaranya Dr Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar) yang juga pemimpin Pas yang mengendalikan Kelab Penyokong Pas dan juga Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Lalu, lahirlah apa yang dinamakan sebagai “lanskap baru” kepimpinan politik Pas. Kalau dahulu, pemimpin Pas dipecahkan melalui ulamak dan profesional dan beberapa lebel lagi, lanskap baru ini sudah memecahkan segala tembok pemisah itu.

Ia sudah menjadi pro muzakarah dengan anti muzakarah. Istilah muzakarah sudah dianggap usaha atau perbincangan untuk berkongsi kuasa dengan Umno manakala mereka yang anti muzakarah pula tidak bersetuju untuk berkongsi kuasa dengan Umno.

Mesyuarat lima jam 31 Julai di Jalan Raja Laut telah membolehkan pemimpin Pas menilai kembali apa yang mereka lakukan sepanjang 8 Mac hingga 31 Julai hari ini.

Dan alhamdulillah segalanya sudah diletakkan di atas meja mesyuarat pada 31 Julai hari ini. Semuanya sudah diceritakan dan tidak ada sembunyi-sembunyi lagi. Setelah menganalisa burok dan baiknya, Presiden Pas dengan ditemani Setiausaha Agung dan Ketua Muslimat mengeluarkan kenyataan berikut:

1) Tidak akan ada kerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan.

2) Pertemuan boleh dan akan dilakukan dengan sesiapa saja tanpa mengira siapa mereka.

3) Pas komited dengan Pakatan Rakyat dan akan bergiat aktif dan positif untuk mempertahankannya.

Zulkifli Sulong writes an exclusive weekly column for The Malaysian Insider apart from editing the Bahasa Malaysia Siasah weekly.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments