Opinion

Rakyat menunggu harapan yang diberikan Anwar

JUNE 26 — Nadiah, 20 tahun, bakal memasuki universiti tahun, selepas lulus agak cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) hujung tahun lepas.

Pada bulan Jun 2006 lalu, Nadiah menerima tawaran untuk memasuki Universiti Teknologi Mara (UITM). Turut serta bersama tawaran itu adalah satu cek dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM1,500 bertarikh 15 Jun 2006. Bayaran pendahuluan pinjaman, tulis surat dari PTPTN itu. Ia diterima walaupun permohonan belum lagi dibuat.

Kerana tidak minat dengan jurusan yang ditawarkan, Nadiah menolak tawaran itu dan masuk ke tingkatan enam dan mengambil STPM tahun lepas. Alhamdulillah, beliau lulus dengan baik dalam peperiksaan itu dan kini bakal memasuki UIA hujung Jun ini.

Luqman, adik kepada Nadiah, mengambil SPM tahun lepas. Alhamdulillah, dia lulus agak baik. Luqman mendapat dua tawaran untuk menyambung pelajaran. Selepas berbelit-belit samada mahu masuk Metrikulasi atau UITM, akhirnya Luqman memutuskan untuk masuk ke UITM dan akan mendaftar hujung hulan ini.

Namun, tidak sebagaimana Nadiah, surat tawaran memasuki UITM tidak lagi disertakan dengan cek RM1,500 dari PTPTN. Bahkan, Luqman juga dikehendaki membuka akaun PTPTN dahulu sebelum mendaftar dan kemudiannya baru memohon pinjaman dari PTPTN.

Akibatnya, ibu dan bapa Luqman terpaksa membuat pinjaman di samping menuntut sedikit sebanyak hutang yang ada pada saudara mara dan sahabat handai untuk membuat persiapan bagi menghantar beliau memasuki UITM. Yuran Nadiah yang perlu diselesaikan semasa pendaftaran sudah mencecah RM2,800. Ini bermakna, hampir RM5,000 diperlukan untuk dua beradik ini memasuki universiti.

Nadiah dan Luqman adalah dua dari lima anak saya. Adik kepada Nadiah atau abang kepada Luqman, Munzir kini berada di Pusat Asasi UIA. Setiap bulan beliau akan meminta wang perbelanjaan.

Ketika sedang kalut mendapatkan wang inilah, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim membuat pengumuman, kerajaan negeri Selangor menyediakan wang sebanyak RM10 juta untuk membantu rakyat kelahiran negeri itu memasuki IPTA.

Wah… sudah pasti berita ini sangat mengembirakan rakyat negeri Selangor. Menurut manifesto PAS dan PKR Selangor menjelang pilihan raya lalu, setiap rakyat negeri itu yang berjaya memasuki IPTA akan mendapat sumbangan RM1,000 dari kerajaan negeri.

Saya terfikir, alangkah bagusnya kerajaan negeri Terengganu (tempat kelahiran ku) juga menjalankan polisi yang sama selepas mendapat semula royalti minyak dari kerajaan Pusat.

Pengumuman Khalid ini mungkin sebahagian dari pelaksanaan kepada janji pilihan raya yang dibuat parti-parti Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya lalu. Sebelum ini, Khalid juga telah mengumumkan pemberian 20 meter padu air yang bernilai RM11.40 secara percuma kepada semua rakyat Selangor.

Ekoran keputusan ini, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo berkata, Kumpulan Darul Ehsan (KDEB) bakal kosong tabungnya tidak lama lagi bagi menampung perbelanjaan pemberian air percuma ini.

(Khalid dalam pertemuan dengan pengarang kanan media melahirkan rasa gembira dengan kenyataan Khir Toyo itu. Pertama kerana, rakyat berdebat isu Selangor memberikan air percuma kerajaan dan Selangor sanggup mengosongkan tabung anak syarikatnya untuk rakyat. Yang kedua, orang akan dapat menilai kenyataan itu berdasarkan latar belakang orang yang bercakap dan orang yang melaksanakannya. Khir adalah doctor gigi manakala Khalid adalah bekas tokoh korporat.)

Seorang rakan saya berkata, inilah masalah besar Barisan Nasional (BN) sebenarnya. Mereka tidak memahami dan tidak dapat lagi menyelami hati dan sanubari rakyat negara ini.

"Apa salahnya tabung kerajaan kosong kalau isinya diberikan kepada rakyat? Yang menjadi masalah adalah tabung kerajaan kosong kerana dibahagikan kepada kroni dan anak beranak mereka," kata beliau melahirkan rasa kesal kepada kenyataan Dr Khir itu.

Lagipun, katanya, siapa akan percaya kepada kenyataan itu kerana ia datang dari doktor gigi sedangkan pihak yang menguruskan hal ehwal kewangan Selangor sekarang adalah bekas tokoh korporat tersohor negara.

Selain dari air dan bantuan pendidikan ini, Khalid akan mengumumkan beberapa tindakan lagi bagi membantu rakyat Selangor Jumaat ini. Semua ini bakal dibuat ketika rakyat sedang menghadapi tekanan hidup yang dibuat dan direka oleh kerajaan BN. Tindakan menaikkan harga petrol 41 peratus adalah klimaks kepada tindakan penderaan ini. Perlukah langkah ini ketika BN memerlukan keyakinan penuh penyokongnya agar tidak terpengaruh dengan asakan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baru di peringkat pusat.

Sebenarnya, terlalu banyak tindakan dan langkah yang dibuat oleh kerajaan BN sekarang yang memudaratkan diri mereka sendiri. Seolah-olah mereka benar-benar kehilangan “sentuhan kepada rakyat banyak” dalam tindakan-tindakan mereka. Serba tidak menjadi nampaknya.

Dalam tulisan saya sebelum ini, saya sudah tegaskan, BN hilang sokongan rakyat dari kalangan Cina, India dan Melayu Bandar. Misalnya di Selangor. Sokongan kepada Pakatan Rakyat terhenti di Kuala Selangor sahaja. Kenapa BN hilang sokongan golongan ini? Kerana, BN hilang sentuhan mereka dengan golongan ini.

Untuk mendapatkan balik kuasanya, para pemimpin BN perlu mendapatkan kembali kepercayaan mereka bukannya bertelagah sesama sendiri sebagaimana berlaku sekarang.

Apakah masalah golongan ini? Semuanya berkisar kepada masalah tekanan kehidupan di bandar. Ekonomi, keselamatan, pendidikan dan sekitarnya. Di samping itu, golongan ini terdedahkan kepada kepentingan good governance, demokrasi, kebebasan bersuara dan berhimpun, hak sebagai warganegara dan pembayar cukai, alam sekitar dan sebagainya. Sepatutnya inilah isu yang diselesaikan dengan baik oleh pemimpin BN selepas tsunami politik 8 Mac lalu.

Pendekatan pemimpin Umno yang terlalu menekan apa yang dinamakan perpaduan kaum khasnya orang Melayu sebenarnya semakin menolak jauh golongan yang tidak berpuashati dengan Umno. Ia hanya berjaya menarik sokongan mereka yang sebenarnya telah mengundi BN dalam pilihan raya umum lalu.

Dan bala besar yang sedang dihadapi BN sekarang adalah kemarahan rakyat akibat dari kenaikan harga minyak yang menyebabkan kenaikan semua barangan dan perkhidmatan yang ada di atas bumi yang bernama Malaysia ini. Tanyalah siapa sahaja, semua marah dan tidak boleh menerima rasional dan tindakan susulan yang cuba dibuat oleh kerajaan untuk menutup kesilapan menaikkan harga minyak sebanyak itu.

Sebab itulah, apabila DBKL mengumumkan kenaikan kadar parkingnya di samping melanjutkan tempoh bayarannya hingga ke 10 malam telah menyebabkan demo segera dibuat oleh anggota parlimen di kawasannya. Anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali terus mengadakan demo pada hari itu juga di Jalan Pahang, yang terletak dalam kawasan parlimennya.

Semua anggota Parlimen Pakatan Rakyat yang lain pada hari itu juga menghantar surat bantahan bagi membantah tindakan DBKL itu. Padahal DBKL sangat berharap untuk mendapatkan hasil yang lebih selepas memotong tiang-tiang parkingnya dan digantikan dengan sistem parking elektroniknya.

Dr Lo' Lo' misalnya menyifatkan tindakan itu sebagai “menyapukan garam ditempat yang luka”. Selepas Kerajaan Pusat menaikkan harga minyak, DBKL pula menaikkan kadar parkingnya.

Semuanya serba tidak menjadi untuk BN dan rakyat menunggu harapan baru yang diberikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Veteran journalist Zulkifli Sulong writes an exclusive weekly column for The Malaysian Insider apart from his current job as editor of the Bahasa Malaysia weekly Siasah.

 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments