Opinion

Perpaduan tidak boleh ada perbezaan

AUG 22 — Muktamar Pas Ke 54 telah berlalu. Namun ia tidak akan hilang begitu sahaja di kalangan pemimpin dan ahli Pas. Ia memberikan banyak kesan mendalam kepada mereka.

Bagaimanapun, disiplin, akhlak, kepentingan menjaga perpaduan parti dan sikap menghormati ulama jelas terserlah di kalangan pucuk pimpinan Pas.

Mungkin atas dasar itu, ramai pemimpin Pas mengambil sikap tidak bercakap dalam muktamar kali ini. Semasa sessi penggulungan ucapan dasar, hanya Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din sahaja yang bercakap. Semasa penangguhan, hanya Presiden sahaja yang bercakap. Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga bercakap.

Namun mana pergi timbalan presiden dan nainb-naib presiden serta AJK Pas Pusat yang lain.

"Kalau saya bercakap saya akan menjelaskan sikap dan pandangan saya, tetapi itu akan melukakan hati sesetengah pihak," kata Mohamed Hanipa Maidin, AJK Pas Pusat yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang Pas.

Hanipa mengambil sikap tidak bercakap kali ini walaupun beberapa kenyataan pemimpin tertentu, ketika bercakap di muktamar itu, ditujukan kepada beliau. Begitu juga perwakilan. Ada antara ucapan mereka menyebut nama beliau. Bahkan mencadangkan agar beliau dikenakan tindakan disiplin.

Memang masa agak suntuk untuk membolehkan semua pemimpin bercakap, kerana muktamar itu dijadualkan tamat jam 2 petang. Namun, bukankah perkara biasa muktamar Pas ditamatkan jam 6 petang pada hari terakhirnya.

Jelas kelihatan dalam muktamar Pas kali ini perbezaan pendapat wujud di kalangan pemimpinnya. Mereka yang faham dengan latar belakang muktamar ini akan dapat membelahbahagikan setiap yang bercakap kepada dua kumpulan iaitu pro-muzakarah atau muqabalah dengan Umno atau anti kepadanya.

Bagi yang pro-muzakarah berpendapat, Islam membenarkan muzakarah itu. Begitu juga berbincang dengan musuh dibenarkan hatta ketika dalam peperangan apabila musuh cenderong kepada perdamaian, ia perlu diterima. Ia telah disandarkan kepada satu ayat Al Quran.

Tindakan berbincang dengan Umno ini diambil selepas bimbang Islam boleh terancam dalam Pakatan Rakyat tambahan pula jika Pakatan memerintah negara selepas 16 September nanti.

Walau bekerjasama dengan Umno adalah tujuannya namun hampir kesemua pemimpin Pas yang berucap dalam muktamar baru-baru ini yang menyokong gagasan ini menegaskan Pas tidak akan berkongsi kuasa dengan Umno. Ini yang peliknya.

Bagi yang menentang muzakarah ini pula berpendapat, Pas boleh dianggap pengkhianat oleh para pengundinya yang memberi mandat kepada Pas untuk bersama dengan Pakatan Rakyat jika mahu berbincang pula dengan Umno.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Dzulkifli Ahmad berkata, kajian dan penyelidikan yang dibuat PPP jelas menunjukkan kemenangan Pas 8 Mac 2008 adalah hasil sokongan pengundi Cina dan India kepada Pas yang tidak pernah mereka berikan secara besar besaran sebelum ini.

"Kemenangan kita dalam pilihan raya 2008 adalah dibina di atas sokongan kaum Cina dan India, atau dengan kata lain atas sokongan orang bukan Islam. Ini adalah lonjakan yang paling hebat yang dicapai oleh Pas sejak lebih 50 tahun berjuang. Ia adalah hasil usaha yang kita buat untuk memberikan keyakinan kepada orang bukan Islam atas platform PAS untuk Semua, Keadilan untuk semua dan sebagainya. Kita telah menolak ketakutan mereka kepada Negara Islam dengan mendatangkan manifesto baru bergelar Negara Berkebajikan dan kita menletakkan pendekatan kita bersifat substantif bukannya istilah atau konsep tetapi pada amalannya," kata Dr Dzulkifli dalam wawancaranya dengan akhbar Siasah.

Dr Dzulkifli bimbang, jika Pas gagal menguruskan kemenangan 2008 ini dengan baik, parti Islam itu akan mengulangi kegagalan mereka pasca 1999 lalu. Ini bermakna, PAS akan gagal lagi dalam pilihan raya akan datang ini sebagaimana Pas gagal dalam pilihan raya 2004 lalu.

Bagi saya, perbezaan pendapat dalam mana-mana organisasi politik tidak boleh dielakkan. Tetapi perkara yang seharusnya tidak boleh berbeza di kalangan pemimpinnya adalah perpaduan parti.

“Saya telah mencadangkan kepada Setiausaha Agung dan juga Timbalan Presiden Pas agar berbuat sesuatu. Kita kena rapatkan kembali saf kepimpinan parti ini kerana perpaduan ini tidak boleh menjadi perbezaan pendapat," kata Hanipa ketika mengulas perbezaan ini.

Inilah tugas baru dan terpenting pimpinan Pas selepas muktamar ini.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments