Opinion

Pas di persimpangan

AUG 15 — Ucaptama yang dibuat oleh Ketua Pemuda, Salahudin Ayub dan Ketua Muslimat Pas, Nuridah Salleh di muktamar Pas kali ini telah membuat semacam kesimpulan bahawa tidak berlaku kerjasama perkongsian kuasa dengan Umno atau Barisan Nasional. Kedua-dua sayap Pas ini, melalui ketua mereka sepakat izu muzakarah telah memecahkan Pas dari dalam atau meragukan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat.

"Pas cuba dijadikan mangsa dalam isu muzakarah dan muqabalah dengan tujuan supaya Pas tersingkir daripada arus perdana politik negara. Harapan mereka supaya keyakinan rakyat terhadap Pas luntur dan kepercayaan rakan-rakan PR juga terhakis," kata Salahudin dalam ucapannya.

Nuridah pula menyifatkan para pemimpin Umno bersandiwara sahaja dalam usaha mereka untuk bermuzakarah dengan Pas.

Sebab itulah, katanya, selepas gagal meyakinkan Pas dengan janji-janji mereka, Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri bertindak mendedahkan pertemuan ini kepada umum.

Inilah sikap yang ditunjukkan oleh dua sayap utama Pas dalam isu ini. Kedua-duanya sepakat dalam isu ini.

Namun, sebagaimana yang saya sebut di atas, isu muzakarah telah berjaya memecahkan Pas. Sekurang-kurangnya, sikap dan kenyataan para pemimpin Pas kini semacam mempunyai dua kecenderungan. Satu seolah-olah pro-muzakarah atas prinsip Islam dan satu kumpulan lagi seolah-olah anti-muzakarah dengan alasan ia bertentangan dengan mandat dan kehendak rakyat yang mengundi Pas dalam pilihan raya ke 12 8 Mac lalu.

Inilah dilema besar yang mesti di selesaikan oleh Muktamar Pas ke-54 ini. Kegagalan memecahkan kebuntuan ini bermakna Pas akan menuju satu suasana di mana pemimpinnya akan berpecah kepada dua dan kesannya Pakatan Rakyat yang telah diberi mandat untuk memerintah beberapa negeri akan goncang.

Dalam muktamar pemuda Pas, jelas kecenderungan ke arah ini ada. Saya amat terkejut dengan ucapan seorang perwakilan dari Terengganu yang masih membahasakan orang-orang Cina dan India di negara ini sebagai 'bangsa asing'. Saya amat bersetuju dengan pandangan spontan AJK Pas Pusat, Mujahid Yusof Rawa, yang merasakan dirinya berada dalam Mesyuarat Agung Pemuda Umno apabila mendengar pandangan sedemikian.

Yang lebih malang lagi, saya yang kebetulan berasal dari Terengganu, terasa bahawa perwakilan Pemuda dari Terengganu itu telah menarik Pas ke belakang. Ketika Pas sudah menerima kemajmukan rakyat Malaysia dan memahami real politik Malaysia, ada lagi perwakilan yang bercakap sedemikian.

Saya yakin, ramai kalangan pimpinan Pas sendiri akan menuntut agar sesuatu kenyataan dibuat untuk tidak menjadikan kenyataan perwakilan pemuda dari Terengganu ini seolah-olah pendirian Pemuda Pas atau Pemuda Pas Terengganu sendiri.

Terlalu banyak kesannya jika kenyataan sebegini menjadi sikap rasmi Pas. Bagi saya ia akan meletakkan Pas hanya layak berjuang di negeri-negeri Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sahaja dan tidak sesuai di negeri-negeri lain di negara ini kerana kemajmukan rakyatnya. Padahal, pilihan raya 8 Mac lalu telah membuktikan Pas sudah di terima oleh semua dan amat sesuai sekali slogan “Pas for all” itu.

Memang isu kouta pelajar bukan bumiputera yang disentuh Khalid itu sensitif kepada kepada orang Melayu tetapi meletakkan Cina dan India adalah bangsa asing satu yang  terlalu tidak sensitif dengan real politik dan kemajmukan rakyat negara ini.

Bagi saya, apa yang disebut oleh perwakilan dari Terengganu ini semacam satu usaha untuk menentusahkan sikap sesetengah pemimpin Pas yang agak tidak senang dengan Pakatan Rakyat. Dia cuba mencari justifikasi bahawa "satu jalan lain perlu dicari kerana sikap pemimpin Pakatan Rakyat ini sudah tidak selari dengan pandangan kita".

Maka, jalan keluarnya seolah-olah, muzakarah dengan Umno untuk kepentingan Melayu dan Islam.

Selain dari sikap di atas, satu lagi isu yang meletup-letup dalam media sehari dua ini dan juga di sekitar muktamar adalah “Presiden Pas paling layak menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat memerintah negara selepas 16 September nanti”. Ia bermula dengan kenyataan santai yang dikeluarkan oleh AJK Pas Pusat yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Nik Mohd Amar Nik Aabdullah.

Dalam kenyataan itu Nik Amar berkata, "sebagai ahli Pas, apabila ditanya kepada saya siapa paling layak jadi PM, saya akan kata presiden Pas lah".

Kenyataan ini kemudiannya dikongsi oleh para perwakilan muktamar Pemuda dan Ulamak Pas. Antara perwakilan yang mengungkitkan perkara ini adalah Wan Sukairi (Terengganu), Zulkifli Ahmad (Selangor) dan juga Ketua Dewan Ulamak sendiri, Datuk Muhamad Daud. Ketiga-tiga mereka semacam melepaskan perasaan geram dan tidak berpuashati serta kebimbangan meraka dengan Pakatan Rakyat. Hasilnya mereka berkata presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang paling layak jadi PM atau Timbalan PM jika Pakatan memerintah selepas 16 September nanti.

Kesemua ini bagi saya adalah tanda-tanda Pas akan menuju kepada perbezaan sikap dan fikrah yang ketara. Ia bakal mari embahagikan Pas kepada dua kumpulan.

Ada yang berkata, isu muzakarah ini telah membentuk satu lanskap politik baru dalam Pas. Saya amat bersetuju dengan pandangan ini. Kalau dahulu, media suka memperkenalkan para pemimpin Pas dengan latar belakang pengajian mereka, ulama dan profesional, tetapi kini tidak lagi. Ini kerana sikap para pemimpin tidak lagi boleh ditentukan oleh latar belakang itu tetapi oleh sikap mereka dalam isu muzakarah dengan Umno ini. Ia telah menjadi pro-muzakarah dan anti-muzakarah.

Mungkin ada yang berkata ini terlalu simplistik, tetapi bagi saya inilah realitinya. Mereka yang pro-muzakarah semacam bersetuju agar Pas mengkaji balik hubungan mereka dengan Pakatan Rakyat manakala mereka yang anti muzakarah mahu kekal dengan mandat dan amanah yang diberikan rakyat dalam pilihan raya ke 12 lalu.

Melihat kepada senario di atas, bagi saya muktamar Pas kali ini perlu menentukan sikap mereka terhadap perkara berikut:

1) Apakah mereka mahu kekal dalam Pakatan Rakyat atau tidak.

2) Jika menerima berada dalam Pakatan, apakah mereka sedia atau tidak menerima demokrasi iaitu parti yang paling banyak mempunyai undi layak melantik ketua kerajaan.

3) Apakah mereka mahu memperbaiki kelemahan yang ada dalam Pakatan atau mencari rakan baru untuk mentadbir negara atau mahu bersendirian.

Inilah tugas besar yang dipikul Muktamar Pas ke 54. Mulai hari ini hinggalah Ahad 17 Ogos ini.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments