Opinion

Tambah kerusi: Umpan beracun untuk PAS Terengganu?

Jika pertambahan kerusi di Parlimen boleh menguntungkan parti pembangkang, mengapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) begitu susah-payah lakukannya? Sejak bila SPR jadi sekutu pembangkang?

Sehingga beberapa tahun yang lepas, pertambahan kerusi di Parlimen atau DUN tidak pernah dipersoalkan oleh badan bukan pemerintah (NGO) atau parti pembangkang.

Kita dicuci otak oleh SPR dan Barisan Nasional (BN) sehingga percaya kerusi badan perundangan mesti ditambah apabila kawasan pilihan raya disempadankan semula.

Dan ini sememangnya berlaku sejak latihan persempadanan semula yang pertama pada tahun 1973.

Alasan pertama: Pertambahan penduduk

Alasan “piawaian” pertama untuk menjustifikasikan pertambahan kerusi ialah pertambahan penduduk dan pengundi. Jika tidak tambah, maka purata bilangan pengundi untuk setiap kawasan pilihan raya ini menjadi sangat besar dan mutu perkhidmatan dan perwakilan wakil rakyat akan terjejas.

Alasan ini nampaknya munasabah, sebenarnya tidak masuk akal kalau kita ingat fungsi pertama ahli parlimen ialah mendebat dan meluluskan rang undang-undang dan polisi pemerintah. Apabila populasi berganda, tidak bererti rang undang-undang dan polisi akan berganda.

Dan jika perkara yang didebatkan tidak berganda, tetapi bilangan wakil rakyat berganda, apakah masa bersidang harus berganda supaya hujah-hujah yang serupa boleh diulang atau dipanjangkan oleh wakil rakyat yang berlainan? Ataupun masa bersidang tetap sama, dan setiap wakil rakyat mempunyai masa yang kurang untuk berhujah? 

Alasan kedua: Ketidakseimbangan perwakilan antara negeri

Alasan “piawaian” kedua ialah pertambahan kerusi boleh mengurangkan ketidakseimbangan perwakilan antara negeri.

Sebagai contoh, purata bilangan pengundi sebuah kawasan Parlimen di Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ialah 93,129. Ini hampir dua kali ganda kepada bilangan pengundi purata kawasan Parlimen di Pahang, yang serendah 52,579.

Mengikut hujah ini, kalau tidak tambah kerusi Parlimen, Selangor akan rugi.

Apa yang disembunyikan penyokong-penyokong SPR ialah ketidakseimbangan ini adalah kerja SPR sendiri.

Semasa latihan persempadanan semula 2003, bilangan pengundi purata di Selangor sudahpun mencecah 80,511, hampir 40% lebih besar daripada purata kebangsaan, iaitu 50,459. Pada masa yang sama, purata di Pahang cumalah 50,393, sedikit lebih rendah daripada purata kebangsaan.

Kalau SPR bersikap adil, daripada 21 kerusi yang ditambah untuk negeri-negeri Semenanjung, Selangor harus mendapat 10 kerusi dan Pahang tidak mendapat pertambahan. Namun SPR berikan tiga kerusi tambahan kepada Pahang dan Selangor mendapat cuma tujuh.

Kesan serta-merta ialah jurang besar bilangan pengundi purata di Selangor dan Pahang dikekalkan. Kalau sebelum pertambahan, nisbahnya ialah 80, 511 kepada 50,459 atau lebih kurang 1.59: 1. Selepas pertambahan, nisbahnya ialah 62,213 kepada 39,594 ataupun 1.57:1.

Alasan ketiga: Parlimen dan DUN yang berat sebelah

Alasan yang ketiga untuk menyokong pertambahan kerusi – yang tidak disebut secara terus-terang ialah mewujudkan Parlimen dan DUN yang berat sebelah.

Mengikut Perkara 114(2) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli SPR dilantik Yang di Pertuan Agong untuk melaksanakan tugasnya dengan cara yang menerima keyakinan orang ramai.

Apabila SPR bertindak berat sebelah, itu sebenarnya penghinaan dan penderhakaan kepada Yang di Pertuan Agong yang melantik mereka.

Kalau dahulu, Parlimen dan DUN yang berat sebelah bermaksud wujudkan lebih kerusi yang boleh dimenangi oleh Umno dan parti-parti sekutunya.

Misalnya, selepas PRU pada 1999 yang melihat separuh daripada pengundi menolak BN, latihan persempadanan semula pada 2003 mewujudkan lebih banyak kawasan pilihan raya campuran dengan harapan parti pembangkang akan gagal mendapat sokongan daripada kedua-dua pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Selepas PRU 2008 dan 2013, saya dimaklumkan SPR sekarang secara senyap-senyap sedang memujuk sesetengah parti dan puak dalam Pakatan Rakyat menyokong agenda barunya, yakni mewujudkan Parlimen dan DUN yang didominasi kawasan pilihan raya yang majoritinya pengundi Melayu-Muslim.

Dalam kata lain, ini akan mewujudkan badan perundangan yang agendanya boleh ditetapkan dengan senangnya oleh Isma dan Perkasa, kononnya, untuk mempertahankan orang Melayu daripada cabaran orang bukan Melayu.

Dalam PRU13, Isma sudahpun menghantar calon untuk bertanding di banyak kawasan yang mempunyai ramai pengundi Melayu, tetapi kedua-dua belah BN dan Pakatan mencalonkan bukan Melayu.

Ini membuka jalan untuk kewujudannya Pemerintah Perpaduan (Unity Government) antara Umno dan puak konservatif PAS yang diidamkan oleh sesetengah pihak.

Persoalannya: mengapa ini tidak boleh diwujudkan dengan “persempadanan tidak adil” (gerrymandering) atau “persempadanan tidak sekata” (malapportionment)?

Tanpa pertambahan kerusi, pencairan kawasan pilihan raya majoriti Cina atau campuran akan ditentang oleh MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya dan juga akan mencemaskan pengundi-pengundi sederhana.

Terengganu: Tambah kerusi untuk PAS atau Umno?

Dalam konteks ini, Terengganu menjadi negeri yang amat menarik kerana ketiga-tiga hujah di atas boleh digunapakai SPR untuk memujuk parti pembangkang utama: PAS.

Pertama, pengundi Terengganu telahpun bertambah setinggi 54% daripada 411,453 ketika persempadanan semula pada 2003 kepada 634,944 pada 2013.

Kedua, bilangan pengundi purata untuk kawasan Parlimen di Terengganu melambung naik dari 51,432 semasa persempadanan 2003 ke 79,368 pada 2013, hampir 17% lebih tinggi daripada purata Semenanjung yakni, 67,744.

Ketiga, hampir 98% penduduk Terengganu adalah Melayu, kalau hendak tambahkan kerusi majoriti-Melayu, mana boleh tidak tambah dahulu di Terengganu?

Kalau saya seorang pemimpin PAS Terengganu, saya rasa kebarangkalian akan tertarik juga dengan hujah-hujah SPR ini. 

Ya, pertambahan kerusi mungkin tidak masuk akal, tidak demokratik dan berasaskan perhitungan jangka pendek, tetapi dalam politik assabiyah yang semakin melambung tinggi, bukankah agenda Melayu-Muslim dan kepentingan parti itu lebih penting daripada demokrasi, keadilan dan kesejahteraan jangka panjang?

Di mana tambahnya kerusi di Terengganu?

Sememangnya saya amat pesimistik tawaran BN untuk tambahkan kerusi ini (dan SPR sekadar utusannya) dapat ditolak.

Sebagai seorang ahli sains politik, saya rasa wajib untuk berkongsi unjuran saya di mana pertambahan kerusi di Terengganu dan implikasinya supaya semua pihak boleh membuat keputusan yang lebih “tersedar” (informed).

Seperti yang ditunjukkan dalam peta, kini Umno dan PAS masing-masing menguasai empat kawasan Parlimen. Dalam kata lain, dalam perlumbaan ke Putrajaya, kedua-dua parti dan gabungan mereka (BN dan Pakatan) mendapat mata seri, 4:4.

Kawasan-kawasan dimenangi Umno rata-rata adalah kubu kuat, dengan peratusan undi daripada Besut (56.71%) kepada Kemaman (57.81%).

Sebagai bandingan, antara empat kawasan dimenangi PAS, cuma Kuala Terengganu (56.77%) boleh dikira sebagai kubu kuat PAS sementara sokongan PAS di Marang (53.17%) dan Dungun (53.22%) adalah sederhana sahaja. Malahan, Kuala Nerus (50.45%) boleh jatuh dengan mudah.
Ketika ini, kecuali Setiu dan Hulu Terengganu, semua kawasan Parlimen mempunyai lebih pengundi daripada purata kebangsaan (PRU-13), yakni, 67,744. Antaranya, yang paling besar ialah Kuala Terengganu (94,406) dan Kemaman (91,442).

Maka, kalau saya SPR, dan saya ingin cadangkan tambahan 20-30 kerusi di Semenanjung, maka saya akan cadangkan dua kerusi di Terengganu dan saya akan mewujudkan kawasan baru di tepi Kuala Terengganu dan Kemaman. (Lingkungan merah dalam peta)

Kerana dalam PRU13, Umno memenangi Kemaman dengan majoriti yang cukup besar yakni 12,306 manakala PAS memenangi Dungun dengan majoriti yang kecil, yakni, 3,942.

Maka, tidak susah bagi SPR untuk wujudkan satu kawasan baru di antara Kemaman dan Dungun yang memasukkan ramai penyokong Umno dari kedua-dua kawasan ini. Maka, PAS akan menjadi lebih kuat di Dungun, Umno tetap kebal di Kemaman sungguhpun majoritinya akan turun dan turut memenangi kawasan baru itu.

Di Kuala Terengganu pula, SPR boleh keluarkan penyokong Umno di Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus untuk membentuk suatu kawasan Parlimen baru yang akan didominasi Umno.

Kuala Terengganu dan Marang akan menjadi kubu kuat PAS. (Kaedah “gerrymandering” ini dinamakan “packing” atau “penyumbatan” [penyokong parti lawan].

Tetapi Kuala Nerus mungkin akan jatuh ke tangan Umno kerana sebahagian pengundi Umno dari Setiu akan dimasukkan ke Kuala Nerus untuk mencairkan sokongan PAS.

Maka, dengan pertambahan dua kerusi, PAS akan mendapat tiga kerusi kubu, iaitu Kuala Terengganu, Marang dan Dungun, manakala Umno akan mengekalkan empat kerusi asal, merampas Kuala Nerus dari PAS dan memenangi dua kerusi baru yang diwujudkan.

Maka Umno/BN akan mendahului PAS/Pakatan dalam perlumbaan ke Putrajaya dengan 7:3, ataupun empat kerusi ke depan.

Nyata sekali, kalau kita kaji kerja-kerja SPR, pertambahan kerusi di Terengganu akan menjadi umpan beracun bagi PAS. Akan tetapi, kebarangkalian, umpan itu akan tetap dimakan. – 20 November, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments