Opinion

Sanggupkah Adenan sokong reformasi pilihan raya demi Sarawak

Tan Sri Adenan Satem cuba menunjukkan beliau seorang reformis, tetapi sanggupkah beliau menyokong reformasi pilihan raya?

Dua bulan yang lepas, sebuah klip video Adenan memarahi pegawai Jabatan Imigresen “stupid, bodoh” kerana gagal mengambil tindakan terhadap pendatang asing ke Sarawak menjadi viral di dunia maya.

Beliau secara tegasnya memberi amaran kepada pegawai persekutuan yang dimarahi: kalau anda tidak suka berkhidmat untuk Sarawak, maka minta untuk dipindah keluar dari Sarawak.

Klip ini sangat popular bukan saja di kalangan orang Sarawak, malah juga orang Sabah. Ia sekali gus menyentuh dua isu yang sememangnya menjadi kepedulian orang Borneo.

Pertama, pendatang asing tanpa izin yang merugikan rakyat negeri dari segi rezeki, undi dan keselamatan.

Kedua, kesukaan Kerajaan Persekutuan mengisi jawatan-jawatan kanan dalam perkhidmatan awam dengan orang Semenanjung yang sering dipersoalkan kesungguhan dan kesanggupan mereka menjaga kepentingan rakyat negeri.

Kedua-dua isu ini sebahagian ketidakpuasan orang Borneo yang menjadi persoalan sama ada pembentukan Malaysia pada tahun 1963 sebenarnya bermaksud penjajahan dari London digantikan dengan penjajahan dari Kuala Lumpur (kini Putrajaya).

Daripada pesanan rakan saya dari Sabah yang berkongsikan klip video itu, saya dapat membaca jangkaan mereka: alangkah baiknya kalau Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman juga berani mempertahankan kepentingan negerinya seperti Adenan!

Menarik sekali, tindak balas Adenan semasa lawatannya ke London apabila Lukas Straumann, pengarah eksekutif Yayasan Bruno Manser dan Doris Jones, pengasas Sabah dan Sarawak Keluar Malaysia (SSKM) muncul di jamuan penyambutan rombongan Adenan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke London.

Apabila pihak Pesuruhjaya Tinggi cuba menghalang mereka, Adenan secara budiman menjemput mereka masuk dan bertukar pendapat dengan mereka.

Yayasan Bruno Mansor, salah seorang pengkritik kerajaan negeri Sarawak yang paling lantang terhadap pembalakan, merakamkan penilaian positif dan juga kehairanan mereka terhadap komiten Adenan untuk menyekat pembalakan.

Sememangnya kekayaan mantan ketua menteri Tun Abdul Taib Mahmud serta kuncu-kuncunya banyak berkaitan dengan industri pembalakan.

Maka, bagi Adenan, risiko politiknya untuk mengawal pembalakan di Sarawak mungkin tidak kurang daripada penolakan jambatan bengkok kesukaan Tun Dr Mahathir Mohamad oleh mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Abdullah Badawi 'reformis' gagal

Pengkritik Adenan tertanya-tanya: sejauh mana Adenan berbeza dengan Abdullah?

Abdullah memulakan kepimpinannya sebagai seorang reformis. Dua tindakan paling awal Abdullah sebelum mandat baru dipohon daripada rakyat adalah membawa bos Perwaja Steel Eric Chia dan Bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam ke mahkamah.

Namun pada tahun 2007, Eric Chia bebas daripada dakwaan jenayah pecah amanah yang melibatkan dana sebanyak RM76.4 juta manakala pada tahun 2009, Kasitah Gaddam turut dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan penipuan. 

Abdullah mendapat mandat setinggi 64% – kedua tinggi dalam sejarah BN – dalam Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) dan menyapu sebanyak 91% kerusi di Dewan Rakyat.

Dengan sokongan kuat itu, Abdullah seharusnya menjadi perdana menteri yang paling berkuasa untuk membawa perubahan.

Namun Abdullah gagal sebagai seorang reformis kerana dia tidak dapat mengawal dan mengarahkan menteri dan jabatan kerajaan untuk mendukung perubahan. Malah, Eric Chia dan Kasitah Gaddam akhirnya dilepaskan mahkamah.

Kemyuskilan yang tertimbul atas Adenan: apakah agenda reformasinya akan terus diangkat selepas mendapat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11 Sarawak) yang selewat-lewatnya mesti diadakan pada 19 Ogos 2015?

Ujian 'bukan Abdullah'

Penyokong Adenan percaya beliau akan jujur dan berani memperjuangkan kepentingan negeri Sarawak. Adenan dikatakan amat memandang berat sumbangan dirinya dalam sejarah kerana usia dan kesihatannya mungkin tidak membenarkan beliau lama menerajui kerajaan.

Tetapi, tidakkah Abdullah juga inginkan legasi sejarah ketika beliau memenangi PRU11? Beliau malah mempunyai wawasan sendiri – Islam Hadhari – yang kini sudah pun dilupai kebanyakan orang.

Dipersetujui kedua-dua pihak penyokong dan pengkritik Abdullah yang rakyat Malaysia sememangnya mempunyai ruang demokratik yang lebih besar di bawah kerajaannya.

Apa yang kurang, malah boleh dikatakan tiada, di bawah Abdullah ialah reformasi institusi yang signifikan. Hanya dengan reformasi institusi, perubahan boleh menjadi kekal. Tanpa reformasi institusi, reformasi berakhir apabila kepimpinan berubah.

Sebagai contoh, Abdullah memupuk budaya cakap benar tetapi tidak berani menggubal Akta Kebebasan Maklumat.

Abdullah juga tidak berani menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Malah Abdullah tidak berani menguji popularitinya dengan pilihan raya yang bebas, adil dan bersih.

Pada hari pengundian PRU11, banyak pusat mengundi di sebanyak 17 kawasan pilihan raya di Selangor dan Kuala Lumpur berada dalam keadaan kelam kabut kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengubah senarai pengundi selepas hari penamaan, perbuatan yang melangar Peraturan 14 di bawah Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya).

Dengan populariti Pak Lah ketika itu, BN tidak perlukan penipuan pun boleh menang dengan cantik.

Sama ada sengaja atau tindak, salah laku SPR yang menyebabkan kelam kabut pada hari pengundian dan pemanjangan masa pengundi itu sebenarnya mencemari kemenangan 64% dan 91% Pak Lah.

Persoalan di depan Adenan sekarang ialah: yakinkah beliau dengan populariti beliau sampai beliau sanggup percaya kepada pilihan raya yang bebas, adil dan bersih?

Abdullah cukup yakin untuk tidak memainkan ketakutan Mei 13 dalam manifesto dan kempennya (kali pertama untuk BN sejak 1974) tetapi beliau tidak cukup yakin untuk menang dengan bersih.

Ini adalah “Ujian Bukan Abdullah” yang paling baik untuk Adenan: beranikah Adenan menang PRN11 Sarawak dengan popularitinya?

Sarawak sokong persempadanan semula langgar perlembagaan?

Persoalan sama ada Adenan berkeyakinan untuk menang secara bersih harus dipandang berat berikutan kenyataan penasihat undang-undang negeri Sarawak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi tentang proses persempadanan.

Pada 15 Mei, Hakim Yew Jen Kie di Mahkamah Tinggi Borneo di Kuching memutuskan dalam semakan kehakiman notis persempadanan semula oleh SPR pada 5 Januari tahun ini tidak sah kerana ia tidak mengikut kehendak Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan, yakni tidak menyatakan “kesan” cadangan persempadanan dan tidak terbitkan di akhbar tempatan. 

Pada 25 Mei, hakim yang sama mengarahkan SPR untuk menerbitkan semula notis persempadanan semula. 

Keputusan kedua ini secara nyata untuk mencegah kemungkinan SPR cuba meneruskan proses persempadanan semula itu sekali pun notis asalnya diputuskan sebagai tidak sah.

Sememangnya SPR tidak endahkan keputusan hakim lebih awal pada 22 Februari dalam membenarkan pemohonan untuk semakan kehakiman dalam kes ini. Dengan angkuhnya, SPR teruskan dengan proses siasatan tempatan (inquiry). 

Ulasan Penasihat Undang-undang Negeri Sarawak, J.C. Fong, terhadap keputusan Mahkamah pada 25 Mei sangat membimbangkan.

Beliau berdegil “sungguhpun notis itu defektif, ia tidak bermaksud siasatan tempatan (yang dijalankan itu) juga defektif” dan “ini suatu poin undang-undang yang perlu dibahaskan.”

Dalam kata lain, beliau percaya SPR berhak mengemukakan cadangan persempadanan di negeri Sarawak kepada perdana menteri untuk diluluskan di Parlimen sungguhpun proses itu dimulakan dengan cara yang salah dari sisi perlembagaan.

"Sungguhpun kebimbangan ini hilang kerana Jabatan Peguam Negara kemukakan rayuannya dua hari kemudiannya, kita masih perlu tanya: Apakah J.C. Fong seorang lagi pegawai persekutuan (di bawah Jabatan Peguam Negara) yang sanggup menggadaikan kepentingan rakyat Sarawak demi kepentingan Putrajaya?"

Ataupun, apakah ulasan beliau mewakili Adenan Satem?"

Dalam kata lain, apakah Adenan begitu kurang yakin dengan popularitinya sampailah beliau sanggup menyokong proses persempadanan semula yang melanggar Perlembagaan?

Kita memang harap jawapannya “tidak” tetapi jawapan ini hanya boleh dipercayai jika Adenan menunjukkan keiktizamannya untuk menang pilihan raya secara bebas, adil dan bersih. – 31 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments