Opinion

Mengapa umat Islam mahu lawan sesama sendiri?

Penganut Kristian Katolik dan Protestan asyik melawan sesama lain sampailah 8 juta nyawa terkorban dalam satu peperangan yang berlangsung selama 30 tahun, sehinggalah satu pengaturan institusi baharu dicapai pada 1648.

Dengan sedihnya, tahun baharu 2016 dimulakan dengan kerajaan Arab Saudi menghukum bunuh ulama Syiah Sheikh Nimr al-Nimr, 57.

Arab Saudi mendakwa Sheikh Nimr seorang pengganas tetapi ulama Syiah itu tidak ada rekod menggalakkan keganasan.

Beliau cuma pernah mengancam pemisahan wilayah timur Arab Saudi yang majoriti Syiah dan juga kaya minyak daripada negara itu jika diskriminasi terhadap masyarakat Syiah tidak diperbaiki. Dalam kata lain, beliau pejuang hak minoriti.

Tindakan Arab Saudi menghukum bunuh Sheikh Nimr bukan sahaja menaikkan kemarahan komuniti Syiah sedunia, malah mempertingkatkan permusuhan antara negara tersebut dan Iran, kuasa terbesar Syiah dan juga pesaing utamanya di Timur Tengah.

Arab Saudi kini memutuskan hubungan diplomatik dengan Iran. Apakah ini akan membawa kepada peperangan antara umat Islam Sunni dan umat Islam Syiah?

Peperangan terakhir antara negara Sunni dan negara Syiah ialah Perang Iran-Iraq yang berlangsung selama 8 tahun (1980-1988). Lebih 100,000 rakyat di kedua-dua pihak,200,000 hingga 800,000 askar Iran dan 100,000 hingga 500,000 askar Iraq terkorban.

Jika Arab Saudi dan Iran berperang, mereka mungkin berpakat dengan Israel, sama ada secara terus-terang atau tersembunyi.

Kedua-duanya – Arab Saudi dan Israel – memang marah dengan tamatnya sekatan Amerika Syarikat terhadap Iran dengan tercapainya perjanjian atas kawalan kemudahan nuklear Iran pada Jun 2015. Mereka bimbang Iran akan menjadi makmur dan kuat.

Pada Februari 2015, pernah dilaporkan Arab Saudi sudi membenarkan pesawat perang Israel melalui ruangan udaranya untuk menyerang Iran, dengan syarat Israel akan bertolak-ansur sedikit dalam isu Palestin.

Tak kira sama ada Israel terlibat, kebanyakan umat Islam di seluruh dunia akan merasa sakit hati jika Arab Saudi dan Iran bertempur.

Mengapa umat Islam melawan umat Islam di medan perang, malah kerana agama? Ramai yang mungkin tertanya-tanya.

“Teori” yang paling ringkas ialah ini semuanya konspirasi Barat dan Israel – malah mungkin seluruh kuasa kafir – untuk memecahkan dan melemahkan umat Islam dan merampas simpanan minyak dan gas di negara Islam.

Logiknya mudah saja: kalau bukan dilaga-lagakan musuh asing, mengapakah negara yang seagama melawan sesama sendiri?

Seterusnya, ada “teori” yang akan menuding jari ke dalam dan menyalahkan salah satu pihaknya – yang memihak Sunni itu menyalahkan Syiah, dan yang memihak Syiah itu menyalahkan Sunni.

Dalam kata lain, kerana ada pihak yang “tidak baik”, kalau pihak “tidak baik” ini hilang di dunia, maka perkara “tidak baik” juga akan hilang di dunia.

Saya terlalu jahil tentang sejarah Islam untuk membuat penilaian daripada segi itu.

Untuk saudara pembaca yang ingin mengetahui, mungkin saya boleh berkongsi analisa atas apa yang berlaku di dunia agama lain sebagai rujukan.

Peperangan antara negara yang seagama sebenarnya lazim sekali dalam sejarah manusia. Bukan agama mengajak manusia berperang, tetapi agama sering tidak dapat menyekat manusia daripada berperang.

Lihat jiran-jiran kita. Siam, Burma dan Khemer semuanya beragama Budha (aliran Hinayana) yang memang mengharamkan pembunuhan, tetapi peperangan yang meragut banyak nyawa sering berlaku di antara Siam dan Burma, dan antara Siam dan Khemer.

Di India pula dulunya wujudnya ratusan negara kecil yang beragama Hindu dan mereka juga sering memerangi sesama lain. Begitu juga di Nusantara, negara seagama berperang, sama ada dalam zaman Hindu/Budha atau zaman Islam.

Ini bukan kerana perlagaan kuasa asing, sama ada Inggeris, Perancis, Afghanistan, Moghul dan sebagainya, kerana peperangan sebegini sudah pun berlaku sebelum zaman penjajahan.

Hakikatnya, manusia berperang kerana tidak dapat menyelesaikan perebutan kuasa, harta, wilayah, rakyat, wanita dan sebagainya secara politik dan diplomatik.

Agama bukan sahaja tidak dapat mengelakkan negara seagama berperang, malah kadang-kala perbezaan mazhab boleh menjadi motivasi atau alasan berperang.

Satu contoh yang baik ialah agama Kristian yang berpecah kepada 3 aliran utama: Katolik, Ortodoks dan Protestan.

Katolik dan Ortodoks yang berasas di empayar Roman Barat dan empayar Roman Timur (Byzantine) berpecah pada 1054 kerana kedua-dua persengketaan politik dan perbezaan teologi.

Ini membawa kepada pembunuhan beramai-ramai penganut Katolik di Constantinople (Istanbul hari ini), ibu kota empayar Byzantine, penganut Ortodoks pada 1182, dibalas penganut Katolik dengan pembunuhan orang Ortodoks di Thessalonica pada 1185.

Malah, Perang Salib ke-4 penganut Katolik pada 1204 ditujukan bukan pada umat Islam tetapi pada orang Ortodoks.

Kejatuhan Constantinople di tangan orang Katolik berlangsung sehingga 1261 dan melemahkan empayar Byzantine dengan teruk sekali, sehingga akhirnya empayar uzur itu tewas di tangan Ottoman pada 1453.

Perpecahan antara Katolik dan Protestan berlaku pada kurun ke-16 apabila rasuah dan kerakusan dalam kepimpinan Gereja Katolik ditentang sebilangan paderi di Empayar Holy Roman (kebanyakan wilayahnya adalah dalam alam Jerman).

Martin Lurther menulis “95 tesis” yang mengkritik Gereja Katolik pada 1517 dan fahamannya disebar luas di Eropah utara.

Apabila Gereja Katolik mengecam Lurther sebagai “sesat” (heretical) pada 1529, bangsawan Jerman yang mengikut fahamannya membantah (asalnya nama “Protestan”) dan berpisah daripada kuasa Pope yang bertempat di Rome.

Pertarungan antara kuasa-kuasa Katolik dan kuasa Protestan dimotivasikan bukan sahaja perbezaan teologi, tetapi juga kepentingan politik, dan mencetuskan perang demi perang.

Pada 1555, Perjanjian Aman Augsburg yang ditandatangani Charles V, Maharaja Holy Roman membenarkan 224 pemerintah Jerman dalam Empayar itu memilih sama ada fahaman Katolik atau Lutheran dan memaksa rakyat mereka mengikut sama.

Paksaan agama menimbulkan konflik antara aliran Kristian yang berlainan – Katolik, Lutheran dan kemudian Kalvinis – sehingga tercetusnya Perang 30 Tahun pada 1618.

Ia melibatkan negara-negara Protestan yang turut disokong Perancis (Katolik), Rusia (Ortodoks) dan Ottoman (Islam) di satu pihak dan kuasa-kuasa Katolik yang menyokong Maharaja Holy Roman di pihak lain.

Perang 30 tahun ini meragut lapan juta nyawa termasuk askar dan rakyat jelata. Di sesetengah wilayah, populasi tinggal sepertiga sahaja.

Perjanjian Aman Westphalia 1648 yang menamatkan perang ini mengangkat kebebasan pemerintah untuk memilih agama untuk negaranya seperti Perjanjian Aman Augsburg satu kurun dahulu.

Akan tetapi, berbeza daripada Perjanjian Augsburg, Perjanjian Westphalia menekankan kebebasan agama – pemerintah tidak boleh memaksakan agama rasmi ke atas rakyatnya.

Yang paling penting, apabila berlaku pertelingkahan di antara dua pihak yang berlainan agama, maka keputusan mahkamah mestilah berasaskan prinsip yang tidak memihak kepada mana-mana pihak.

Ini menjadi asas kepada sekularisme.

Sekularisme tidak muncul di Eropah kerana orang Kristian ingin menjadi ateis atau kerana mereka ingin memberikan konsesi kepada “orang kafir” seperti umat Islam dan orang Yahudi.

Sekularisme muncul di Eropah kerana hanya dengan menjamin keberkecualian pemerintah (state impartiality) dalam perihal agama, orang Kristian boleh berhenti melawan orang Kristian.

Apakah pengalaman Eropah Kristian ini relevan untuk dunia Islam?

Jika negara didominasi Sunni seperti Arab Saudi dan Bahrain boleh menjamin hak sama rata untuk orang Syiah, dan negara didominasi Syiah/Alawite seperti Iraq dan Syria boleh menjamin hak sama rata untuk Sunni, mungkinkah umat Islam boleh menjadi lebih bersatu, rakyat Palestin boleh mendapat sokongan lebih padu daripada negara Islam lain dan Timur Tengah boleh menjadi lebih aman?

Mungkin saudara pembaca terutamanya mereka yang pernah melawat ke Timur Tengah lebih arif dengan jawapannya.

Saya diingatkan seorang rakan yang umat Islam sudah pun mencapai kebijaksanaan untuk menghormati perbezaan mazhab ala Westphalia tanpa melalui perang 30 tahun.

Dokumen itu adalah Pesanan Amman yang berasaskan buah fikiran 200 orang ulama daripada 50 buah negara di Jordan.

Ia kini disokong 552 orang tokoh dari seluruh dunia Islam termasuk Raja Abdullah Abdel Aziz Al Saud dari Arab Saudi, Ayatollah Agung Al-Sayyid Ali Khamenei dari Iran, dan dari Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – 10 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments