Opinion

Mengapa pematahan berdarah Bersih 4 rugikan Najib dan Umno

Saya jangka Bersih 4 akan aman kerana pematahan (crackdown) secara berdarah akan melenyapkan dengan serta-merta keabsahan (legitimacy) Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memerintah Malaysia.

Satu kebimbangan yang berada dalam hati ramai rakyat Malaysia tentang perhimpunan aman Bersih 4 minggu depan ialah kebarangkalian ia akan bertamat secara berdarah, bukan sekadar keganasan polis dalam perhimpunan Bersih 2 pada 2011 dan Bersih 3 pada 2012, tetapi rusuhan yang diikuti pemerintahan darurat ala 13 Mei.

Kegagalan "hantu 13 Mei" dalam Bersih 2

Ketakutan kepada "hantu 13 Mei" ini pernah dimainkan oleh Ibrahim Ali untuk menggagalkan perhimpunan Bersih 2. Beliau "menasihati" orang Cina supaya tinggal dalam rumah dan simpankan makanan kerana tiada siapa akan tahu apa yang berlaku.

Ugutan beliau membawa kesan yang bertentangan: beribu-ribu orang Cina turun menyertai Bersih 2 untuk menolak Ibrahim. Pada hari itu, Ibrahim sendiri pula tinggal di rumah kerana kononnya isterinya tidak benarkan dia turun ke jalan raya.

Daripada takutkan dan sangsikan sesama diri, anak-anak Malaysia bersama-sama menanggung meriam air, gas pemedih mata dan pukulan polis kerana tuntut pilihan raya bersih, lupakan mereka Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan Dusun dan sebagainya. Itu pengalaman yang cukup mengharukan daripada Bersih 2.

Apakah Bersih 4 akan sekali lagi menyemarakkan semangat patriotisme? Ataupun ia akan berakhir dengan kesudahan berdarah yang akan mengundurkan politik tanah air?

Mereka yang pesimis percaya Najib dan isteri akan menyelamatkan kuasa mereka dengan segala cara yang mungkin dan hati mereka cukup keras.

Analisa faedah kos untuk Najib

Analisa politik yang realis tidak boleh berasaskan saja pada bacaan subjektif terhadap keras atau lembutnya hati seseorang tokoh. Sebaliknya, kita harus buat andaian semua pemimpin politik ingin mengekalkan kuasa mereka dan tindakan mereka terpulang kepada analisa kos dan faedah (cost and benefit analysis) mereka.

Dalam kata lain, sama ada Najib akan memilih untuk mematahkan perhimpunan Bersih 4 itu secara berdarah tidak bergantung kepada sama ada beliau seorang yang berjiwa rakyat, sebaliknya bergantung kepada hasil (pay-off) yang akan dibawa pilihannya.

Bersih 4 bukan musim bunga Arab

Jika Bersih 4 sememangnya berhasrat ingin menggulingkan kerajaan dengan kekerasan, ataupun "pendudukan" yang berpanjangan ala musim bunga Arab, "Occupy Wall Street Movement" di Amerika Syarikat, "Occupy Central Movement" di Hong Kong, ataupun Pendudukan Parlimen (Legislative Yuan) di Taiwan, saya pasti Najib dan Zahid akan memilih untuk mematahkannya secara kekerasan dan tidak kisah sekalipun berlaku keguguran nyawa.

Ini kerana di bawah budaya politik Melayu, pemerintah yang bertoleransi dengan pembantah berterusan akan dilihat sebagai pemerintah lemah.

Akan tetapi, Bersih 2.0 telah menegaskan mereka tidak percaya cara musim bunga Arab. Sebaliknya, mereka ingin bertindak mengikut peraturan demokrasi berparlimen dan Bersih 4 cumalah satu tunjukan suara rakyat yang menyeru Najib undur atau Parlimen untuk memecat beliau dengan menarik balik kepercayaan padanya.

Dua cabaran Maria Chin Abdullah kepada Najib

Pada 19 Ogos, Maria, pengerusi Bersih 2.0, mengemukakan 2 cabaran kepada Najib. Cabaran pertama, Najib jamin keselamatan Bersih 4 dan kalau kehadiran Bersih 4 ini rendah, misalnya cuma kira-kira 26,000 orang, maka Najib boleh isytiharkan Bersih 4 itu gagal. Najib boleh terus berkuasa dengan megahnya.

Cabaran kedua, sekalipun kehadiran Bersih 4 itu raksasa, katakan mencecah 260,000 orang malah sekalipun sampailah 2.6 juta, Najib tetap boleh berkuasa kalau beliau berani mengemukakan "usul percaya" kepada dirinya di Parlimen dan berjaya angkat usul ini. Jika ini berlaku, rakyat yang tolak Najib harus hormati keputusan ini dan menangguhkan hukuman mereka ke Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kedua-dua cabaran Maria ini mendedahkan hakikat Bersih 2.0 sebagai penggerak penambahbaikan pilihan raya memang tidak melihat Bersih 4 sebagai medan perang terakhir (a do-or-die battle). Sebaliknya Bersih 4 akan disuraikan selepas 34 jam.

Sungguhpun Bersih 2.0 mewakili dan menyuarakan hasrat rakyat yang inginkan perubahan, tetapi ia juga sedia menerima hak Najib untuk berdegil  dan keputusan Parlimen untuk terus percayakan Najib.

Apakah faedah untuk pematahan berdarah?

Kerana Bersih 4 dianjurkan dengan cara yang mengukuhkan demokrasi berparlimen, dan langsung bukan kenderaan revolusi, maka apakah faedah untuk Najib mematahkannya secara berdarah?

Andaikanlah bilangan peserta yang hadir memanglah kecil, katakan 2,600 atau 26,000 saja, maka seperti yang dinyatakan dalam cabaran Maria, Bersih 4 akan gagal dan Najib boleh terus berkuasa dengan bangga dan megah.

Sebaliknya jika bilangan peserta terlalu besar, katakanlah 260,000 malah 2.6 juta, maka tiada pematahan berdarah yang dapat menyelamatkan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Sekalipun jika Bersih 4 berjaya dipatahkan secara berdarah, ini hanya akan menghantui Najib dan Rosmah sampai hingga riwayatnya.

Ada khabar angin yang tawarkan "teori" ini: Najib enggan membincangkan rancangannya untuk meletak jawatan atau bersara, kerana takutkan kehilangan perlindungan daripada dakwaan di dalam dan luar negara kerana "pencucian wang" (money laundering).

Kalau teori ini benar, pematahan berdarah Bersih 4 akan lebih merugikan Najib kerana beliau bukan saja dilihat sebagai rakus, tetapi juga zalim. Kalau dihadapi di mahkamah sehari nanti, hukuman akan lebih berat lagi.

Apakah ini akan menguntungkan pemimpin lain dalam Umno yang ingin menggantikan Najib sehingga mereka mungkin menangguk di air yang keruh? Jawapannya "Tidak."

Kalau berlaku pertumpahan darah, rakyat tidak akan maafkan Umno, bukan saja Najib.

Jika tangannya berdarah, Umno sudah pasti akan terkubur dalam PRU14 dan sesiapapun yang menggantikan Najib akan mendapati dirinya mewarisi sebuah kapal yang sudah pun tenggelam separuhnya.

Pilihan terbaik untuk Najib

Sememangnya pilihan terbaik untuk Najib ialah menghadapi pengkritiknya mengikut norma demokrasi berparlimen, yakni dengan menerima hak membantah.

Seperti yang dikatakan Maria sendiri, kalau Najib dapat memujuk orang ramai supaya tidak hadiri Bersih 4 sungguhpun ia selamat, maka Bersih 4 akan dikuburkan.

Tetapi beranikah Najib, kononnya seorang "wira Bugis"menerima kedua-dua cabaran yang dikemukakan Maria - menjamin keselamatan Bersih 4 dan mengemukakan usul percaya di Parlimen selepas Bersih 4? – 23 Ogos, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments