Opinion

Mengapa faham Islam kalau tak nak peluk Islam?

Apa niatnya kalau seorang bukan Islam ingin faham Islam kalau tak nak peluk Islam? Kalau tak peluk Islam, mungkinkah seseorang itu fahami Islam?

Ini 2 soalan yang selalu saya temui sama ada secara tersurat atau tersirat dalam penulisan kolum bahasa Melayu saya ini di The Malaysian Insider.

Tidak hairan kerana hampir sesuku daripada 80 lebih kolum saya sejak Ogos 2014 bersentuhan dengan Islam atau Islamisme politik.

Sememangnya saya adalah antara orang yang aneh dalam konteks masyarakat Malaysia – kebanyakan orang Malaysia tidak akan berminat untuk memahami sesuatu agama/budaya lain kalau tidak berniat untuk memeluk agama/budaya itu atau sebaliknya ingin mengaibkannya.

Ini sebab tanpa disedari kebanyakan kita dididik dalam keluarga, sekolah dan masyarakat dengan pegangan "pemahaman bererti persetujuan" dan lazim juga sebaliknya "persetujuan bererti pemahaman".

Tersirat dalam paradigma itu, kita sebenarnya melihat diri sebagai pusat dunia, maka, nilai, pengalaman dan kepentingan kita itu sesuai, betul dan baik untuk seluruh dunia.

Kita tidak dapat menghayati orang lain mungkin mempunyai nilai, pengalaman dan kepentingan mereka yang berlainan daripada kita dan itu tidak menjadikan mereka betul/baik dan kita salah/jahat, atau sebaliknya.

Dalam kata lain, kelainan orang lain tidak semestinya mengancam kewujudan dan kesejahteraan kita. Kita boleh wujud dengan cara yang beza sekali tetapi tetap boleh hidup bersama dengan aman dan bekerjasama.

Rakan-rakan beragama Islam sudah tentu arif dengan makna Surah al-Hujarat 13, "Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian daripada laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kalian adalah orang yang paling bertakwa di sisi Allah."

Sebelum saya didedahkan dengan pendirian dalam al-Quran yang kepelbagaian itu adalah takdir Tuhan dan bukan kerana penyimpangan manusia, saya semasa remaja pernah dimanfaati kebijaksanaan Dale Carnegie, seorang mahaguru dalam motivasi dan hubungan antara-peribadi.

Carnegie yang beragama Kristian bertanya dalam tulisannya, mengapa kita tidak melihat lembu sebagai haiwan suci, dan ingin menyucikan diri kita dengan bermandi dalam Sungai Ganges?

Jawapannya, kerana kita tidak dilahirkan sebagai seorang Hindu.

(Ini bukan ungkapan verbatim tetapi berdasarkan ingatan saya, maka meminta maaf jika berlaku kesilapan.)

Beliau tidak membuat penilaian atas orang lain berdasarkan norma sosialnya sendiri.

Bagi saya, memahami pihak lain adalah satu keupayaan intelek dan harus menjadi asas dalam pendidikan – seseorang yang boleh memahami pihak lain itu lebih bijak daripada seseorang yang cuma boleh memahami diri sendiri.

Malah, bukankah niat untuk memahami pihak lain dengan setepat-tepatnya dan sejujur-jujurnya itu asas pengetahuan kita tentang dunia?

Dengan "pihak lain", saya merujuk kepada bukan sahaja insan yang lain, tetapi segala yang bernyawa dan tidak bernyawa di alam.

Ambil nyamuk sebagai contoh. Mengapa makhluk ini bukan sahaja menghisap darah kita, malah membawa wabak – malaria, denggi dan sekarang, zika?

Kalau ikut emosi, kita mungkin menilai nyamuk sebagai berniat jahat atau memusuhi manusia.

Hakikatnya, nyamuk tidak memilih untuk menjadi tuan rumah mikrob dan virus yang membawa wabak. Dan motivasi mereka menghisap darah sebenarnya agak murni – naluri keibuan.

Nyamuk yang menghisap darah adalah nyamuk betina yang memerlukan darah untuk menghasilkan telurnya.

Kerana kesungguhan untuk melahirkan zuriat, bakal-bakal ibu nyamuk mengambil risiko dibunuh oleh tamparan manusia untuk menghisap darah kita.

Maka, apakah kita perlu bersetuju dengan nyamuk betina yang menghisap darah kita kerana kita sekarang sudah faham pengorbanan mereka yang begitu besar?

Sudah tentu tidak. Saya tetap menampar nyamuk yang menghisap darah saya sekalipun pada Hari Ibu.

Maksud saya, pemahaman tidak perlu membawa kepada persetujuan. Sebaliknya, tidak bersetuju dengan sesuatu tidak bermaksud kita harus jahil terhadapnya, malah bangga dengan kejahilan.

Tanpa penghayatan "pemahaman" boleh bebas daripada "persetujuan", umat manusia tidak mungkin mengembangkan sains kerana terlalu banyak "pihak lain" yang kita tidak akan bersetuju dengannya.

Dan kalau kita sanggup memahami haiwan, tumbuhan dan fenomena alam semula jadi tanpa dikongkong emosi atau nilai normatif kita, mengapa kita tidak boleh atau harus memahami insan yang lain?

Apakah kerana kita kurang yakin dengan pegangan kita sehingga kita takut nampak perbezaan – kerana dengan perbezaan kita syaki kita mungkin yang salah?

Di sini adalah penting untuk kita bezakan antara perihal kepercayaan dan perihal pengetahuan.

Secara konsepnya, kalau kita sudah mengetahui, kita tidak "perlu" percaya. Sebagai contoh, kita tidak perlu "percaya"  matahari akan terbit di timur pada hari esoknya kerana kita "tahu" itu akan berlaku.

Sebaliknya, kita percaya apabila kita tidak mengetahui dengan pasti. Sebagai contoh, kita "percaya" pada bank bila kita simpan wang dengannya kerana kita "tidak tahu dengan pasti"  sistem bank kukuh dan sihat.

Kembali kepada agama yang sering disamaertikan dengan kepercayaan. Yang paling penting dan asas dalam agama sudah tentu adalah aspek akidah (faith).

Akidah memang "perlukan" kepercayaan kerana ia tidak mungkin dibuktikan atau dinafikan secara empiriknya, kecualilah mungkin melalui keajaiban di mata penganutnya.

Setiap agama ada wacana dan logiknya tersendiri untuk menjelaskan isu-isu metafizikal seperti kewujudan dunia, kewujudan manusia, dunia selepas dunia ini dan dari situ, makna kehidupan manusia.

Selain aspek akidah, agama juga membawa norma sosial dan amalan yang mencorakkan hidup manusia malah mengubah sistem politik dan ekonomi.

Sungguhpun berakarkan akidah, norma sosial dan amalan yang dibawa agama juga banyak berubah untuk bersesuaian dengan bumi dan era.

Implikasi-implikasi norma sosial dan amalan ini bukan lagi perihal kepercayaan tetapi sebaliknya menjadi perihal pengetahuan yang boleh dibuktikan atau dinafikan.

Suatu contoh yang baik ialah "Etika Protestan dan Semangat Kapitalisme", karya agung Max Weber, seorang sarjana besar Jerman yang ditulis pada permulaan kurun ke-20.

Ini bukan kajian tentang teologi Protestanisme (secara khasnya Kalvinisme) dan perbezaannya daripada teologi Katolik, Islam atau Yahudi. Ini kajian implikasi teologi Protestanisme dalam konteks bumi dan era tertentu.

Ada rakan yang pernah mengundang saya membincangkan tentang sama ada Nabi Muhammad manusia biasa atau tidak sekiranya saya ingin memahami Islam.

Saya tolak sama sekali undangan itu, bukan sahaja kerana Malaysia tidak mempunyai kebebasan secukupnya untuk perbincangan dan pendebatan sebegini, malah juga kerana perbezaan muktamad teologi secara definisinya tidak mungkin diselesaikan dengan perbincangan dan pendebatan yang bermatlamat untuk mencapai persetujuan.

Bagi saya, memahami logik agama Islam sepertimana memahami logik agama lain adalah munasabah tanpa bersetuju dengannya. Penghayatan akidah lebih daripada pemahaman perlukan hidayah, atau dalam ungkapan bahasa Inggeris, "ditimpa kilat".

Saya ingin faham Islam kerana saya hormati dan ingin memahami saudara saya yang beragama Islam yang berkongsi tanah air di Malaysia dan juga berkongsi Bumi, sama ada mereka bersikap saling timbal (reciprocate).

Sememangnya, seperti Weber, apa yang menarik minat saya ialah bagaimana pengaruh agama mengubah nasib masyarakat dan umat manusia. Sememangnya agama boleh membawa kesejahteraan besar atau yang sebaliknya.

Saya tertarik sekali dengan janji Islam sebagai "rahmat kepada alam" (rahmatal lil alamin) dan tertanya-tanya apakah janjiNya ini dikotakan di Malaysia semasa membaca penderitaan S Deepa dipisahkan daripada anaknya semata-mata kerana bekas suaminya memeluk agama lain. – 14 Februari, 2016.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments