Opinion

Mengapa Bumiputera akan mencuri jika tidak dibantu?

Usaha menyusun semula masyarakat seharusnya beranjak daripada perbandingan antara kaum ke peringkat keluarga untuk memperbaiki “peluang naik tangga masyarakat” (social upward mobility).

“Kalau anda tak bantu… gejala sosial akan berlaku. Kerana mereka bukan saja sangat ketinggalan di belakang, masalah sosial akan jadi. Itu keadaannya, jika mereka tidak mempunyai wang, apa yang akan mereka lakukan? Mereka akan mula mencuri.”

Ini kenyataan kontroversi oleh menteri undang-undang de facto Nancy Sukri, menjadi viral di media sosial awal minggu lepas.

Menurut says.com, kenyataan ini sebenarnya dibuat  Nancy dalam satu forum anjuran Majlis Peguam pada November 2013.

Beliau dilaporkan juga mengakui  Bumiputera tidak boleh bergantung kepada bantuan selama-lamanya daripada Putrajaya dan menegaskan New Economic Model (NEM) anjuran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bukan sekadar memberikan wang tunai kepada golongan Bumiputera.

Tak kira apa konteksnya, pandangan Nancy begitu menghina kaum Bumiputera kerana beliau melihat mereka sebagai golongan yang bukan sahaja tidak berupaya berdikari, malah juga cenderung melakukan jenayah kerana miskin.

Hakikatnya, yang paling kuat mencuri bukan orang miskin tetapi kerap menteri dan pegawai tinggi yang membelakangi amanah mereka.

Dua tahun selepas kenyataan Nancy itu, Menteri Pembangunan Desa and Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula merakamkan bantahan terhadap keputusan Kementerian Kesihatan untuk mengehadkan penjualan vapour kepada farmasi.

Kononnya, kebanyakan penjual vapour ialah orang Melayu.

Sekatan kepada penjualan vapour disebabkan – tidak lain dan tidak bukan – kerana vapour mempunyai risiko kesihatan.

Tanpa membuktikan vapour itu tidak merbahayakan kesihatan, maksud Ismail jelas sekali – demi kepentingan penjual vapour Melayu, maka kesihatan orang awam – termasuk orang Melayu yang menggunakan vapour – boleh diabaikan.

Kalau kita terima hujah Ismail, maka kita kena tanya, mengapa usahawan Melayu yang cuba dibela menteri ini tidak boleh berjaya dalam bidang lain sehinggakan kesihatan awam mesti digadaikan?

Apakah dasar Bumiputeraisme sudah gagal?

Kedua-dua kenyataan ibu/pak menteri ini mengungkit satu soalan besar: Apakah dasar mengutamakan Bumiputera/Melayu ini gagal?

Kalau tidak, mengapa selepas bantuan selama 42 tahun (1971-2013) di mata ibu menteri Nancy, kaum Bumiputera masih tidak dapat berdikari? Kalau tidak, mengapa pak menteri Ismail seolah-olah anggap penjual vapour Melayu cuma dapat berjaya dalam bidang ini? 

Bagi ramai orang – yang Bumiputera/Melayu dan juga yang bukan – kejayaan dasar Bumiputeraisme adalah isu Bumiputera/Melayu. 

Bagi saya, ini isu kebangsaan kerana kedudukan majoriti Bumiputera/Melayu.

Kalau kaum Bumiputera/Melayu tetap ketinggalan, bukan sahaja mereka tidak puas hati, malah kaum bukan Bumiputera/Melayu turut akan dijadikan sasaran dalam politik perkauman.

Ini seterusnya akan mendorong kaum bukan Bumiputera/Melayu yang sudahpun rasa diri dianaktirikan akan berasa lebih tawar hati. Akibatnya, lebih ramai akan meninggalkan Malaysia dengan bakat dan dana mereka.

Peluang naik tangga masyarakat

Penilaian dasar Bumiputeraisme atau paradigma Dasar Ekonomi Baru (DEB) biasanya membandingkan pendapatan purata, peratusan kemiskinan, peratusan pemilikan ekuiti, peratusan dalam bidang profesion antara kaum.

Penilaian sebegini membawa 2 masalah.

Pertama, perbandingan antara kaum biasanya mengambil ringan perbezaan dalam kategori kaum.

Ini menjadi masalah besar apabila sesuatu kategori merangkumi kumpulan yang agak berlainan kedudukan sosio-ekonomi mereka.

Sebagai contoh, kategori komposit “Bumiputera” gagalkan membezakan orang Melayu yang lebih maju dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak yang lebih ketinggalan. Akibatnya, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak yang paling perlukan tumpuan sering diabaikan.

Kedua, data agregat (penjumlahan) di peringkat kaum gagal menggambarkan perubahan di peringkat komuniti tempatan dan keluarga.

Sementara kemiskinan susah dibasmi secara serta-merta, tidak adil sekali kalau anak orang miskin harus kekal sebagai orang miskin sekalipun mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib sendiri. 

Kayu-kayu ukur paling penting untuk dasar “affirmative action” (bantuan kepada golongan lemah)  seharusnya termasuk “peluang naik tangga masyarakat” .

Pada tahun-tahun awalnya, DEB sememangnya banyak membantu anak-anak miskin Bumiputera/Melayu yang berbakat mengubah nasib mereka dengan memberikan peluang seperti pendidikan universiti dan biasiswa.

Apakah sekarang anak miskin Bumiputera/Melayu mempunyai peluang yang sama atau lebih baik seperti generasi dahulu?

Di kalangan siswa Bumiputera/Melayu yang mendapat biasiswa untuk belajar di luar negeri, apakah peratusan mereka yang datang daripada keluarga yang tidak pernah melahirkan graduan? Apakah pula peratusan anak-anak menteri, pegawai tinggi dan golongan atasan?

Konsep “pertama dalam keluarga”

Konsep “pertama dalam keluarga” atau First in Family (FiF) yang diguna pakai universiti di negara-negara Barat seperti UK, US dan Australia mungkin boleh diubahsuai untuk tujuan memupuk “peluang naik tangga masyarakat”. 

FiF merujuk kepada mahasiswa yang merupakan orang pertama dalam keluarganya mendapat pendidikan tinggi.

Berbanding dengan rakan sebaya yang ibu bapa atau abang kakak pernah menuntut di universiti, kumpulan mahasiswa ini tiada budaya pendidikan tinggi dalam keluarga dan kurang dapat sokongan.

Penyelidikan di beberapa buah negara menunjukkan kumpulan mahasiswa FiF ini mempunyai kadar kegagalan yang tinggi dan memerlukan usaha tambahan universiti untuk memberikan sokongan akademik.

Dalam konteks Malaysia, kita bukan sahaja harus mencontohi usaha universiti-universiti Barat dalam memberikan sokongan tambahan kepada siswa-siswi FiF.

Malah kita juga harus mengambilkira FiF sebagai satu kriteria dalam pengambilan mahasiswa, pemberian biasiswa dan sebagainya.

Dalam kata lain, tidak cukup orang Bumiputera/Melayu dibantu, mereka mesti dibantu sebegitu rupa supaya lebih ramai keluarga menikmati “peluang naik tangga masyarakat”.  – 15 November, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider. 

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments