Opinion

Kesengsaraan Rohingya dan kezaliman Israel

Apakah ini pesanan kita kepada pelarian Rohingya? – “Matilah kalian di laut, sama ada kerana kelaparan, penyakit atau kelemasan, supaya saudara-mara dan rakan-rakan kalian tidak akan ikut jejak kalian”

Pada 14 Mei, dalam laporan akhbar Australia “The Age”, Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi berkata, “Mereka (orang Rohingya) sememangnya tidak boleh membanjiri pantai kita sedemekian. Kita hendak menghantar pesanan yang betul mereka tidak dialu-alukan di sini.”

Tiada sesiapa yang berfikiran waras akan mencadangkan Malaysia untuk membuka pintu untuk semua pelarian (seperti orang Rohingya) malah pendatang ekonomi (seperti warga Bangladesh yang didapati bersama orang Rohingya yang tergendala).

Bilangan Rohingya di Burma dijangka seramai 735,000-800,000 orang manakala penduduk Bangladesh adalah 157 juta. Rakyat Malaysia akan dilemaskan jika kita tidak menjaga sempadan kita. Rakyat Sabah sudah lama merasai kelemasan kerana jasa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berapa orang perlu mati untuk sampaikan pesanan?

Andaikan kita ikut kata Wan Junaidi, bagaimana kita boleh sampaikan pesanan kita yang Rohingya tidak dialu-alukan? Daripada laporan media, sudahpun puluhan daripada 6,000 pelarian yang tersangkut itu mati kerana penyakit dan faktor lain.

Apakah puluhan mati itu cukup untuk mencegah kedatangan orang Rohingya? Kalau tidak, berapa lagi di antara 6,000 itu perlu mati di Selat Melaka supaya pesanan kita “anda tidak dialu-alukan” boleh sampai ke hati mereka?

Kita harus melihat apa yang menanti mereka di negara asal mereka.

Akibat rusuhan antara orang Rakhine (Arakan) beragama Buddha dan Rohingya beragama Islam di Wilayah Rakhine (Arakan) pada tahun 2012, berlaku kejadian kampung-kampung dibinasakan keseluruhannya di kedua-dua pihak.

Sehingga 140,000 orang kehilangan rumah halaman dan terpaksa bertumpang di kem pelarian dalaman (Internally displaced persons).

Hakikatnya, sekali pun sampai mayat orang Rohingya dihanyut ombak ke pantai Malaysia, orang Rohingya tetap akan mencari peluang hidup di laut. 

Kewarganegaraan untuk Rohingya

Satu-satu caranya kita hentikan pelarian Rohingya ialah mencari penyelesaian politik untuk kesengsaraan mereka di wilayah Rakhine (Arakan).

Ini bukan perkara mudah. Orang Rohingya adalah keturunan orang Bengali yang berpindah dari Chitaggong (wilayah Bengal) ke Arakan (yang asalnya bukan wilayah Burma).

Masa mereka berhijrah, ada yang kata seawal kurun ke-15 semasa zaman kesultanan Bengali, ada yang kata selewat kurun ke-19 di bawah pemerintahan British.

Sejarah interaksi antara orang Rohingya dan orang Rakhine (Arakan) memang banyak bermusuhan dan berdarah sejak penjajahan Jepun. Dan penghijrahan keluar masuk antara wilayah Bengal dan wilayah Arakan ini terus berlaku apabila berlaku konflik di Burma atau Pakistan Timur (Bangladesh sebelum kemerdekaannya).

Pada 1982, kedua-dua Bangladesh dan Burma meminda perlembagaan mereka mengenai kerakyatan. Bangladesh menetapkan Rohingya “bukan warganegara” manakala Burma menetapkan orang Bengali adalah orang asing.

Di dunia moden, kewarganegaraan adalah keperluan asas, malah dilihat sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia. Namun 735,000-800,000 Rohingya dinafikan kewarganegaraan oleh kedua-dua Bangladesh dan Burma.

Suka atau tidak, orang Rohingya mesti diberikan kerakyatan sama ada oleh Burma atau Bangladesh dan dijamin keselamatan sebelum gelombang pelarian akan berhenti.

Saya terharu membaca semakin ramai rakyat Malaysia yang bukan saja prihatin dengan kesengsaraan orang Rohingya, malah mengaturkan bantuan dan bekalan untuk mereka yang tersangkut di laut.

Malangnya, ramai lagi yang melihat pelarian Rohingya yang sudah sengsara berbulan di laut sebagai ancaman politik, ekonomi, keselamatan atau kesihatan. Sungguhpun mereka suka berbicara tentang masyarakat penyayang di masa lain.

Saya amat bersetuju dengan peringatan Facebook seorang saudara yang bernama Huzir Sulaiman kepada semua antara kita yang bernenekmoyangkan Bugis, Minangkabau, Jawa, Hadrami, Mysore, Ceylon, Kerala, Punjab, Sindh, Kantonis, Hokkein, Teochew, Hakka, Foochow dan sebagainya:

“Nenek moyang kau juga datang ke Malaya dengan kapal. …Budak kecil yang senyap kerana kehausan dibakar di bawah langit laut itu, dialah moyang kau. Mereka bukan mereka. Mereka adalah kita.”

Kita mesti bangkit sebagai insan membantu insan yang lain. Tetapi tiada bantuan daripada rakyat boleh menamatkan kesengsaraan orang Rohingya. Penyelesaian akhirnya mesti datang daripada kerajaan dan pemimpin politik kita, bermula dengan membenarkan pelarian mendarat.

Sebagai pengerusi Asean, Malaysia mesti dengan beraninya memikul tanggungjawab moralnya untuk memanggil rundingan antarabangsa yang melibatkan Burma dan Bangladesh.

Kalau Malaysia ingin lari daripada tanggungjawab moral ini, maka letak jawatan sajalah sebagai pengerusi Asean. Jangan kita jadi pemimpin yang ponteng.

Sudah tiba masanya kita buangkan polisi “tidak campur tangan hal ehwal dalaman” sesama lain kononnya kerana menghormati kedaulatan.

Apakah maknanya kalau kedaulatan negara bukan untuk memajukan hak asasi kesejahteraan manusia? Apa baiknya kita melindungi kedaulatan kalau itu senjata yang digunakan untuk membinasakan kemanusian?

Apa kaitan dengan Israel?

Sudah pasti ada pembaca yang tertanya-tanya, apakah kaitan di antara kesengsaraan orang Rohingya dan kezaliman kerajaan Israel?

Kalau perkataan Israel yang menarik perhatian anda, maka jawapannya amat menghampakan: tiada kaitan. Itu sebabnya kerajaan Malaysia tidak kisah jika 6,000 pelarian Rohingya mati di Selat Melaka.

Alangkah baiknya kalau Israel adalah sekutu baik Burma ataupun terlibat dalam penganiayaan orang Rohingya.

Kalau Israel ataupun imperialis Amerika Syarikat terlibat, maka isu ini akan menjadi mudah sekali difahami oleh rakyat Malaysia yang sememangnya sangat cintakan keadilan dan kemanusiaan.

Kalau ini angkara zionis, maka dari warong ke Parlimen, dari pasar ke rumah ibadat, perkataan Rohingya akan muncul dalam setiap perbualan, dan sanubari rakyat Malaysia akan penuh dengan kemarahan dan keazaman untuk menamatkan kezaliman.

Ahli-ahli politik semua parti, daripada Khairy Jamaluddin ke Nasrudin Hassan Tantawi, sudah pun lama membantah di depan Kedutaan Burma. Dan 6,000 pelarian sudah lama dijemput ke pantai dan diberi makan.

Malah ada yang sudah mengambil pinjaman bank dan membeli tiket satu hala ke Burma untuk berjihad membela saudara Rohingya.

Demi Rohingya, apa jua akan kita korbankan!

Malangnya, kesemua ini tidak berlaku kerana Israel tidak memihak Burma atau tidak memusuhi orang Rohingya.

Maka, Selat Melaka menjadi terlalu luas untuk tangisan orang Rohingya didengar kebanyakan rakyat Malaysia.

Maka, kulit orang Rohingya yang tidak secerah kulit orang Yemen atau Bosnia menjadi terlalu malap untuk dilihat Kerajaan Malaysia.

Ini semua salah Israel! – 16 Mei, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments