Opinion

Harapan Baru, dari Nasionalisme Muslim ke Islamisme Inklusif? (I) Demokrasi aneka-parti

Parti baru Gerakan Harapan Baru (GHB) mesti bernamakan Islam demi memberikan pengundi Melayu alternatif kepada nasionalisme Melayu dan nasionalisme Muslim: Islamisme inklusif.

Pentingnya nama parti berperkataan Islam

Saya difahamkan ada ramai – di luar dan dalam GHB – yang mendesak parti baru yang akan dibentuk oleh kumpulan itu cuma mengangkat prinsip dan semangat Islam tetapi tidak bernamakan Islam dan membuka keahlian kepada orang bukan Islam.

Strategi ini bertujuan untuk menjadikan sebuah parti “wakil-semua” (catch-all) sepertimana yang dihasratkan oleh PKR dan sedang ditujui oleh DAP.

Akan tetapi, apakah Malaysia perlukan sebuah lagi parti “wakil-semua” kecuali ia bertujuan untuk gantikan PKR yang sekarang nampak sedikit lesu?

Pada pendapat saya, parti baru itu mesti mempunyai perkataan Islam – tetapi bukan Muslim, Mukmin atau Ummah – dalam namanya (sebagai contoh, Parti Demokrat Islamik atau Parti Progresif Islamik) kerana ia mesti bertanding dengan Umno dan PAS.

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, terdapat sebanyak 43 kawasan Parlimen dimenangi oleh Umno dan diikuti oleh PAS sebagai pesaing terdekat, dan 19 kawasan Parlimen dimenangi oleh PAS dan diikuti oleh Umno sebagai pesaing terdekat.

Dalam kata lain, terdapat 62 kawasan Parlimen (28%) yang direbuti Umno dan PAS.

Jika parti baru tidak dapat menandingi Umno atau PAS dalam 62 kawasan ini, sebuah kerajaan majoriti mudah gabungan Umno dan PAS boleh dibentuk jika kedua-dua parti ini dan sekutu mereka dapat memenangi paling kurang 50 lagi kerusi sahaja dalam PRU14.

Kerana Malaysia bukan Turki (sekurang-kurangnya 96% penduduknya Muslim) atau Indonesia (87% Muslim), nama seperti Parti Keadilan dan Pembangunan (AKPK) atau Parti Keadilan Sejahtera (PKS) tidak cukup “ummh” untuk penyokong asal Umno dan PAS!

Nasionalisme Melayu vs Nasionalisme Muslim vs Islamisme inklusif

Apa yang lebih penting daripada PRU14 ialah persaingan politik jangka panjang.

Umno pendukung nasionalisme Melayu dan PAS pendukung nasionalisme Muslim.

Bagi pengundi Melayu yang kurang selesa dengan parti lebih bersifat majmuk seperti PKR, DAP dan Parti Sosialis Malaysia, alternatif yang tidak lagi wujud dalam pasaran pilihan raya selepas Muktamar PAS 2015 ialah Islamisme Inklusif.

Tidak bermakna kalau wadah baru ini tidak berhijrah daripada nasionalisme Muslim PAS dan mencabar nasionalisme Melayu Umno dengan lebih berdaya dalam sekurang-kurangnya tiga aspek: pertama, persaingan demokratik aneka-parti; kedua, pembelaan orang Melayu; dan ketiga, negara madani.

Persaingan aneka-parti

Nasionalisme wujud kerana dirasakan kelompok yang ingin dibelanya itu sedang diancam atau dikepong oleh kumpulan “musuh”, sama ada yang benar atau dilahirkan daripada imaginasi. Sebenarnya, nasionalisme akan surut jika tiada “musuh” yang kuat.

Kerana bimbang “musuh” akan mengambil kesempatan, nasionalisme biasanya mengutamakan perpaduan dalaman dan menyekat kepelbagaian dan perbezaan pendapat.

Mentaliti ini sudah tentu tidak dapat mengangkat demokrasi. Kerana nasionalisme, banyak negara Asia dan Afrika membuang demokrasi dan mendirikan sistem eka-parti tak lama selepas mencapai kemerdekaan.

Di Malaysia, Umno (dalam bahasa Melayu, “Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu”) ditubuhkan pada 1946 sebagai wadah untuk “bangsa” Melayu “bersatu” dalam menentang penubuhan Malayan Union yang memberikan kerakyatan kepada orang Cina dan orang India dengan syarat yang longgar.

Kerana Umno melihat dirinya sebagai pembela orang Melayu daripada ancaman/persaingan orang bukan Melayu, maka parti-parti pembangkang tidak mempunyai keabsahan (legitimacy) untuk wujud.

Kalau didominasi oleh orang bukan Melayu/Islam, maka ia mungkin akan cabar kuasa Melayu yang diwakili oleh Umno. Sebaliknya, kalau didominasi oleh orang Melayu/Islam, maka ia sudahpun berdosa besar dengan memecahbelahkan orang Melayu!

Itu sebabnya pakatan antara Umno dan PAS di Kelantan (1972-1977) yang bermula atas nama perpaduan Melayu itu berakhir dengan PAS ditikam daripada belakang sehingga hilang negeri kubu kuatnya Kelantan.

Kalau ikut logik nasionalisme Melayu ini, pembelotan PAS oleh Umno itu sebenarnya sesuatu yang munasabah malah “perlu” sekali.

Hanya dengan menghapuskan pesaing, Umno dapat menyatupadukan sokongan orang Melayu untuk membela “agama, bangsa dan negara” daripada ancaman “orang asing”.

Sikap anti-persaingan

Sikap anti-persaingan ini menjelaskan mengapa parti serpihan PAS yang berpakat dengan Umno seperti Berjasa dan Hamim tidak dapat terus hidup, dan mengapa Umno tidak membenarkan parti Barisan Nasional (BN) lain untuk mewakili orang Melayu/Islam kecuali di negeri yang Umno belum bertapak, seperti Sabah sebelum 1993 dan sekarang Sarawak.

Nasionalisme Melayu Umno ini bukan saja melihat demokrasi sebagai ancaman kepada dirinya tetapi juga kepada orang Melayu.

Pendirian ini mengabsahkan serangan kepada demokrasi termasuk penyelewangan pilihan raya, ancaman keganasan politik, campurtangan dalam kehakiman dan kawalan media. Kalau boleh menangkan Umno, tak ada yang “haram”.

Sikap anti-demokrasi ini sudah tentu menyempitkan ruangan hidup parti-parti pembangkang berasaskan Melayu.

Untuk menyangkal tuduhan kewujudan sendiri memecahbelahkan orang Melayu, parti-parti pembangkang ini terpaksa menolak keabsahan kewujudan Umno sendiri tetapi cuma PAS yang berjaya.

Parti puak kiri seperti Parti Rakyat Malaysia gagal melemahkan sokongan Umno dengan tuduhan pro-Barat dan pro-imperialis sebaliknya mereka dilontar tohmahan komunis dan ateis.

Parti serpihan Umno seperti Parti Negara (pimpinan Datuk Onn Jaafar) dan Parti Semangat 46 (pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah) turut gagal menegakkan diri mereka sebagai pembela Melayu yang lebih kuat.

Parti “wakil-semua” berhalatujuan tengah seperti PKR juga gagal mendapat sokongan orang Melayu sehingga hampir lemas dalam PRU11 dengan memenangi cuma sebuah kerusi Parlimen – Permatang Pauh.

Kejayaannya dalam PRU12 dan PRU13 bergantung sebahagian kepada sokongan pengundi bukan Melayu di kawasan campuran.

PAS sendiri pernah menekankan perjuangan kiri dan anti-imperialis di bawah pimpinan Dr Burhanuddin al-Helmy (presiden ke-2) dan kemudiannya perjuangan nasionalisme Melayu di bawah Tan Sri Mohamad Asri Muda (presiden ke-3).

Dalam suasana pasca-1969, nasionalisme Melayu PAS sudah tentu tidak dapat bersaing dengan nasionalisme Melayu Umno.

Pembentukan kerajaan campuran PAS-Umno di Kelantan pada 1972 akhirnya menyebabkan PAS menang hanya dua daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1978.

Nasionalisme Muslim, jihad dan kafir-mengkafir

PAS naik semula dalam 1980an kerana ia berjaya membalas nasionalisme Melayu Umno dengan nasionalisme Muslim.

Kalau nasionalisme Melayu memerlukan semua orang Melayu bersatupadu di bawah Umno, maka nasionalisme Muslim memerlukan semua orang Islam bersatupadu di bawah PAS.

Jasa terbesar kenaikan semula PAS mungkin harus dikreditkan pada Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebelum ulama menerajui PAS pada tahun 1983, Hadi sudahpun menyemarakkan pada tahun 1981 dua hujah kuat yang mendalami kesetiaan ahli PAS dengan membezakan secara mutlaknya PAS daripada Umno.

Pertama, sokongan kepada PAS itu jihad kerana PAS memperjuangkan Islam. Kedua, sokongan kepada Umno mengkafirkan kerana Umno itu parti sekular.

Amanat Hadi menggunakan bahasa yang mudah sekali: “Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad.

“Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid.

“Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.”

Ini terbukti berguna untuk PAS untuk mengukuhkan sokongannya sementara menunggu perpecahan dalaman Umno yang berlaku pada tahun 1988 dan 1998 untuk meraih undi dan kerusi.

Apa yang lebih penting lagi, PAS berjaya “memimpin” Umno dalam arena ideologi.

Sama ada disedari atau tidak, sejak 1980an Umno bersaing dengan PAS dengan meniru PAS, secara perlahan-lahan menggantikan nasionalisme Melayunya dengan nasionalisme Muslim supaya menghijaukan dirinya.

Mengapa perlunya Islamisme Inklusif?

Apa kemudaratannya apabila undi Melayu dikejar oleh dua buah parti yang sama-sama nasionalis tetapi cuma berlainan jenamanya – satu Melayu dan satu lagi Muslim?

Pertama, persaingan sihat yang berdasarkan keupayaan dan idea menjadi mustahil dalam politik Melayu. Persaingan diseertikan dengan perpecahan umat manakala perpaduan hanya dapat dicapai dengan menghapuskan persaingan.

Ini berlainan sekali dengan persaingan di antara Parti Konservatif dan Parti Buruh di United Kingdom atau di antara Parti Demokratik dan Parti Republikan di Amerika Syarikat.

Betapa sengit pun persaingan di negara ini, kita tidak mungkin lihat Parti A menuduh Parti B sebagai musuh negara ataupun sebaliknya Parti B memaki dengan slogan seperti “Hancur Parti A”.

Kedua, perbezaan dan persaingan idea ditekan, di luar dan di dalam parti. Pemimpin (kadang-kala kaum kerabatnya juga) bersifat maksum. Bukan saja kritikan, malah pandangan alternatif dengan senangnya dilihat sebagai anti-Melayu atau anti-Islam.

Ketiga, persaingan dua parti nasionalisme ini sudah tentu menakutkan pengundi minoriti. Ini menghalang parti-parti pembangkang daripada bersatu dan memanjangkan nyawa BN sekalipun ia tenggelam dalam skandal.

Untuk mendemokrasikan Malaysia, pengundi Umno dan PAS mesti diberikan suatu wadah alternatif yang percaya dan dukung persaingan aneka-parti berasaskan prinsip Islam.

Sheikh Yusof Qaradawi dalam bukunya “Fiqah Daulah dari Perspekstif Islam” melihat parti politik itu bagaikan mazhab dalam zaman sekarang dan mazhab itu bagaikan parti politik dalam zaman kala.

Wadah ini bukan saja harus membela persaingan personaliti dan idea dalam dan luar parti serta menolak budaya wala dan maksum di peringkat parti, gabungan dan negara.

Ia haruskan lakukan kesemua ini dalam nama Islam dan tunjukkan Islam itu tidak anti-persaingan dan tidak anti-demokrasi.

Macam mana pesanan ini dapat disampaikan kalau nama parti itu pun tiada perkataan Islam? – 19 Julai, 2015.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments