Opinion

Bukankah Empayar Uthmaniyah juga kuasa penjajah?

Kalau kuasa penjajah Barat harus ditentang, mengapa pula penjajah Islam harus dibela?

Tiga minggu yang lalu, saya bertanya di kolum ini mungkinkah sokongan sebilangan orang Islam untuk kumpulan militant Negara Islam Iraq and Syria (Isis) itu rasional.

Maksud saya, sekalipun mereka mungkin menolak keganasan Isis sebagai kaedah (wasilah) nya, mereka terimanya dengan hati yang berat kerana terlalu setuju dengan tujuan (maksud) nya untuk mengembalikan kekhalifahan, dengan berdasarkan logik “fath al-zaraie” (pembukaan pintu).

Jika memang begini keadaannya, maka usaha untuk menyekat pengaruh Isis di kalangan orang Islam, tidak cukup dengan menolak keganasannya kerana ia bercanggah dengan ajaran Islam.

Sebaliknya, harus dikupas mengapa matlamat untuk mengembalikan kekhalifahan itu menarik sokongan ramai orang Islam.

Selain “perjuangan” Isis yang kejam dan zalim, terdapat juga versi tanpa-keganasan yang dipegang  Hizbut Tahrir (Parti Pembebasan) yang turut melihat dunia dengan kaca mata permusuhan antara orang Islam dan orang Kafir.

Bagi para pejuang pemulihan kekhalifahan, tanpa kira menggunakan kekerasan atau tidak, kejatuhan kekhalifahan yang terakhir, iaitu Kekhalifahan Uthmaniyah, selepas kekalahannya dalam Perang Dunia Pertama adalah sejarah penghinaan Islam yang mesti ditebusi.

Negara-bangsa yang wujud di atas bekas wilayah Empayar Uthmaniyah dilihat sebagai tidak absah dan buah catur kuasa Barat untuk mengawal orang Islam.

Bekas wilayah Uthmaniyah hari ini termasuklah Algeria, Tunisia, Libya, Mesir, Saudi Arabia, Kuwait, Iraq, Palestine, Israel, Lebanon, Jordan, Syria, Iraq, Turki, Azerbaijan, Bosnia-Herzegovina,  Kosovo, Albania, yang majoriti penduduknya beragama Islam dan juga Georgia, Armenia, Cyprus, Yunani, Bulgaria, Macedonia, Montenegro, Croatia, Serbia,  Slovenia, Romania dan Hungary yang majoriti penduduknya Kristian.

Penubuhan semula kekhalifahan bermaksud sempadan di antara negara kumpulan pertama dari Algeria ke Albania harus dipadam. Begitu juga sempadan di antara negara bermajoriti orang Islam yang lain seperti Malaysia dan Indonesia.

Sememangnya apa yang Isis lakukan sekarang ialah pemadaman sempadan di antara Syria dan Iraq.

Saya tidak menafikan  banyak sempadan negara pasca-penjajahan tidak munasabah malah tidak adil, sering memisahkan kelompok manusia yang seharusnya hidup bersama.

Itu sememangnya keburukan penjajahan – apabila pemerintahan orang asing dikenakan ke atas penduduk tempatan.

Akan tetapi, apakah sebuah empayar yang merentasi 3 benua lebih sempurna daripada negara-bangsa yang lebih kecil saiz dan lebih serasi rakyatnya?

Prinsip “penentuan nasib sendiri” (self-determination) – iaitu penduduk sesuatu wilayah berhak menentukan masa depan mereka sama ada wujud sebagai negara merdeka atau sebahagian daripada negara lain –  memecahkan banyak empayar di dunia.

Kebanyakan empayar yang dipecahkan ini tidak beragama Islam, tetapi beragama Kristian, sama ada yang Protestan, Katolik atau Ortodoks. Dalam kata lain, ini bukan konspirasi untuk melemahkan kuasa Islam seperti yang ingin disebarkan sesetengah pihak.

Prinsip ini yang dipopularkan  Presiden Amerika Syarikat Woodrow Wilson semenjak Perang Dunia Pertama memberikan justifikasi untuk bangsa kecil yang ingin menuntut kemerdekaan, dan adalah asas moral kepada pembebasan tanah jajahan di Dunia Ketiga.

Persoalannya, sebagai anak watan bekas tanah jajahan, bukankah kita harus meraikan prinsip “penentuan nasib sendiri” dan meraikan perpecahan semua empayar termasuklah empayar China yang dahulunya menguasai negara jirannya melalui sistem ufti?

Berdasarkan pemerhatian saya, ramai rakan beragama Islam merasa sedih mengenai kejatuhan Empayar Uthmaniyah dan pada masa yang sama meraikan kejatuhan Empayar British, Perancis, Belanda, Sepanyol dan sebagainya.

Mereka berasa sedih empayar agung Islam yang pernah mengepung Kota Vienna terpaksa melepaskan wilayah Kristian di Semenanjung Balkan dan selanjutnya.

Persoalannya, bukankah Uthmaniyah itu juga kuasa penjajah seperti British, Perancis, Belanda, Sepanyol, Portugal, Itali, Amerika, Jepun, China, Siam?

Wajibkah penderitaan rakyat Dunia Ke-3 di tangan kuasa Barat ditentang tetapi penderitaan rakyat Kristian Eropah di tangan kuasa Uthmaniyah dibela?

Apakah ini adalah kerana implikasi (ma-al) peluasan wilayah empayar Islam akan menjamin penyebaran Islam kerana dunia dulu memang kurang jaminan kebebasan agama?

Sememangnya, jika dunia ini dibahagi secara hitam-putih antara Darul Islam (Wilayah Islam) dan Darul Harb (Wilayah Musuh), dan orang Islam akan ditakluk orang kafir jika orang Islam tidak menakluk orang kafir terlebih dahulu, maka, munasabahlah untuk orang Islam memihak saudara seagama, dan mengambil sikap dwi-piawaian dan assabiyah dalam menilai sejarah.

Persoalannya, apakah paradigma “Darul Islam-Darul Harb” ini masih sesuai dengan dunia ini? Apakah seluruh dunia bukan Islam berpakat untuk jatuhkan dan lemahkan orang Islam?

Kalau benar, mengapa pelarian Syria pergi ke Eropah dan tidak ke negara Arab yang lain? Apakah Eropah itu Darul Islam atau Darul Harb?

Apakah si pelarian harus menguasai negara tuan rumah mereka dan mengubah Darul Harb itu kepada Darul Islam?

Kalau benar, apakah asas moral kita untuk mengecam Islamofobia di Eropah sekarang?

Bagi saya, faktor paling signifikan dalam penyebaran pengaruh Isis ialah mentaliti  seluruh dunia bukan Islam berpakat untuk menzalimi orang Islam dan  itu orang Islam harus menggabungkan semua wilayah mereka untuk menjadi sebuah empayar raksasa di bawah seorang Khalifah.

Ini adalah rasional yang bahaya sekali.

Kalau kita tidak menolak fahaman ini dan menegakkan keabsahan (legitimacy) negara-bangsa, prinsip penentuan nasib sendiri, demokrasi dan hak asasi manusia, maka kita tidak mungkin membendung pengaruh Isis.

Sememangnya, yang lebih bahaya daripada senapang dan bom Isis ialah fahamannya yang ingin memusuhkan umat Islam dengan umat bukan Islam, sedangkan kita dijadikan berbeza kerana kehendak Yang Maha Esa. – 24 Januari, 2016.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments