Opinion

Bolehkah Islam jadi asas baru perpaduan negara? – Bahagian 2

Nasionalisme Melayu gagal menyatupadukan rakyat. Nasionalisme Muslim menakutkan rakyat bukan Islam. Mungkinkah Islam menyatupadukan rakyat dengan janjinya “rahmatan lil alamin”?

Jika kita menerima bahawa perpaduan negara perlu berasaskan kesamarataan dan oleh itu memerlukan “sikap negara yang tidak memilih kasih” dan juga semangat kesetiakawanan yang merentasi komuniti, maka masalah di Malaysia ialah kedua-duanya tidak wujud sejak permulaan proses pembinaan bangsa.

Pembentukan masyarakat majmuk

Masyarakat majmuk dalam erti kata yang moden muncul pada zaman penjajahan, bukan semata-mata kerana dasar penjajah tetapi juga proses pemodenan dan globalisasi yang berlaku serentak.

Kemajmukan boleh dilihat dalam dua aspek.

Pertama, Kristian masuk menyertai agama Islam dan animisme di kalangan pribumi. Di Borneo, Kristian dengan cepat menggantikan animisme sebagai agama utama pribumi pedalaman.

Di Semenanjung Malaysia, Islam pula diperkukuhkan sebagai elemen utama dalam identiti Melayu-Nusantara.

Salah satu sebabnya ialah dasar British yang melarang pendakwahan Kristian di kalangan orang Muslim dan mengukuhkan kedudukan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama, demi memelihara kestabilan sosiopolitik.

Kedua, pembangunan ekonomi yang pesat menghasilkan permintaan yang tinggi untuk tenaga kerja dari China, India dan Jawa.

Kita biasa dididik dalam buku dan media bahawa kemasukan semua kaum “pendatang” adalah kerja orang British. Sebenarnya, kedatangan orang Cina di Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor mendahului penjajahan British.

Mereka dibawa masuk oleh raja dan pembesar Melayu, seperti bapa pemodenan Johor, Sultan Abu Bakar dan ayahandanya Temenggung Ibrahim yang mendirikan sistem “kangchu” untuk membawa masuk orang Cina untuk penanaman gambir dan lada.

Kerana dasar British yang ingin meminimumkan perubahan dalam masyarakat Melayu, kebanyakan orang Melayu digalakkan untuk kekal sebagai petani dan nelayan.

Sebaliknya, orang Cina dan orang India lebih terdedah kepada ekonomi moden seperti perlombongan dan pertanian komersial dan sebahagian daripada mereka menceburi sektor perdagangan dan profesional.

Maka, orang Melayu mendapati mereka lebih miskin dan terpinggir berbanding dengan orang Cina dan orang India.

Hubungan antara orang Melayu dan orang Cina menjadi lebih rumit dan pahit di bawah pemerintahan Jepun yang jelas berniat pecah dan perintah.

Kompromi merdeka

Maka, apabila kerajaan British mengemukakan gagasan Malayan Union, orang Melayu rata-rata membantahnya, bukan sahaja negeri-negeri Melayu diturun taraf dari negeri naungan kepada tanah jajahan, tetapi lebih-lebih lagi kerana dasar kewarganegaraan yang longgar.

Orang Melayu tidak dapat terima orang Cina dan orang India yang bukan saja lebih maju tetapi juga jelas berbeza sebagai saudara sewatan.

Ini melahirkan Umno yang berjaya memaksa British menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu yang dihasratkan sebagai sebuah “negara satu kaum”.

Akan tetapi, di bawah dorongan British, tercetusnya Darurat memujuk pucuk pimpinan Umno seperti Datuk Onn Jaafar untuk memupuk silaturahim antara kaum untuk menolak komunisme.

Ini akhirnya menyebabkan Datuk Onn meninggalkan Umno apabila parti yang ditubuhkannya menolak cadangannya untuk menerima ahli bukan Melayu.

Sejarah kemudian berbelok dengan anehnya apabila Umno sendiri bekerjasama dengan parti MCA untuk mengalahkan Independence of Malaya Party (IMP) yang berbilang kaum, pimpinan Onn.

Ini menghasilkan Kompromi Merdeka, yang dinamakan sebagai “kontrak sosial” dalam wacana pemerintah.

Elemen terpentingnya ialah orang bukan Melayu diterima sebagai warganegara tetapi orang Melayu diberikan “kedudukan istimewa” mengikut Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan dalam 3 bidang: pendidikan, peluang pekerjaan sektor awam dan pemberian permit dan lesen, serta “perwakilan berlebihan” dalam persempadanan kawasan pilihan raya.

Kompromi ini turut memberikan kebebasan bahasa dan agama kepada orang bukan Melayu tetapi kepelbagaian budaya ini sebenarnya diharapkan bersifat sementara.

Maka, sungguhpun kebebasan bahasa dijamin dalam perlembagaan, dasar pendidikan mempunyai “objektif muktamad” yang menghapuskan sekolah berbahasa Cina dan Tamil secara perlahan-lahan dengan pengabaian.

Pada masa yang sama, sungguhpun kebebasan agama juga dijamin dalam perlembagaan, sekatan sehala terhadap pendakwahan di kalangan orang bukan Islam bermaksud secara tersiratnya peratusan orang Muslim akan semakin meningkat.

Dalam kata lain, ekspektasi orang Melayu ke atas orang Cina dan India adalah mereka akan diasimilasikan seperti “orang bukan Melayu sebelumnya yang berasal dari Nusantara”, iaitu seperti orang Minangkabau, Mendaling, Aceh, Bugis dan Jawa.

Dalam mata nasionalis Melayu, ketekadan orang Cina dan orang India mengekalkan identiti mereka – terutamanya kecenderungan menggunakan bahasa ibunda daripada bahasa kebangsaan. Ini dikatakan menjadi “bukti” ketidaksetiaan mereka kepada tanah air ini.

Dengan terbentuknya Malaysia, Kompromi Merdeka ini diperluaskan untuk merangkumi bumi Borneo.

Pada teorinya, pribumi di Sabah dan Sarawak setaraf dengan orang Melayu dalam menikmati kedudukan istimewa Perkara 153. Dalam realiti, mereka turut menghadapi ekspektasi dan tekanan untuk diMelayukan.

Kerana bahasa Melayu adalah lingua franca, memeluk Islam menjadi langkah penting dalam proses asimilasi.

Sering kedengaran rungutan pribumi Sabah dan Sarawak dinafikan daripada menikmati kedudukan istimewa Perkara 153 atau kenaikan pangkat dalam sektor awam jika mereka tidak memeluk Islam.

DEB – lebihkan dosnya?

Di bawah semangat Kompromi Merdeka, negara Malaya/Malaysia mengamalkan sikap memilih kasih. Ini sebenarnya lumrah di kalangan negara yang berpegang kepada nasionalisme etnik atau nasionalisme ekabudaya.

Kerana Kedudukan Istimewa yang asal di bawah Perkara 153 gagal memenuhi aspirasi orang Melayu, secara bersihnya berbanding dengan pilihan raya 1964, 9% daripada undi Semenanjung meninggalkan Perikatan dan menyokong PAS pada 1969.

Maka, di bawah paradigma Dasar Ekonomi Baru (DEB) pasca-1969, Umno memperluaskan Kedudukan Istimewa untuk merangkumi pemilikan ekuiti, peluang pekerjaan di sektor swasta malah pembelian rumah, sungguhpun kesemua ini tidak wujud dalam Perkara 153.

DEB berjaya mengurangkan jurang antara kaum. Maka, masalah peninggalan zaman penjajahan kerana sikap lepas tangan negara kini sebahagiannya diatasi oleh “sikap negara memilih kasih”.

Akan tetapi, paradigma DEB membawa dua masalah.

Masalah pertama ialah rasa tidak puas hati orang bukan Bumiputera yang bukan sahaja menyebabkan aliran ke luar negeri bakat dan modal atau “brain drain”, tetapi juga memperkukuhkan kepelbagaian kaum.

Kalau pada zaman penjajahan dan tahun-tahun awal pasca-kemerdekaan, tinggalkan bahasa ibunda untuk bahasa Inggeris boleh memberi masa depan yang lebih cerah, ini tidak berlaku lagi di bawah DEB.

Anak bukan Melayu mungkin lebih fasih berbahasa Melayu daripada anak Melayu tetapi dalam kategori DEB, dia tetap seorang bukan Melayu, kecualilah dia masuk Islam untuk diMelayukan.

Maka, tidak hairanlah mengapa peratusan anak Cina yang masuk sekolah Cina meningkat daripada 70% pada permulaan tahun 70an kepada melebihi 90% pada tahun 90an, selari dengan perlaksanaan DEB.

Masalah DEB kedua dan yang lebih genting ialah ia gagal mempertingkatkan daya saing orang Melayu/Bumiputera menjangkau pencapaian sekarang dalam 2 aspek.

Kekurangan pertama ialah peluang naik tangga masyarakat tidak disebarkan secara adilnya kepada semua Bumiputera yang layak.

Kekurangan kedua ialah “budaya tongkat” yang turut dikecam oleh tokoh Melayu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana perlindungan dasar negara, ramai pemanfaat DEB gagal mempertingkatkan daya saingan mereka.

Maka, muncullah paradoks selepas empat dekad di bawah DEB, anak Melayu yang diutamakan oleh negara rata-rata kurang berdaya saing berbanding dengan anak Cina dan India yang diabaikan oleh negara?

Apakah cara penyelesaiannya? Melipatgandakan keutamaan untuk orang Melayu seolah-olah itu ubat yang betul cuma dosnya tak cukup?

Akan tetapi, tidakkah dos DEB yang lebih tinggi akan menyebabkan pengaliran keluar bakat dan modal yang lebih teruk? Apakah kelesuan ekonomi yang diakibatnya akan menguntungkan rakyat jelata Melayu/Bumiputera? Belum lagi dibincangkan tentang kesannya kepada perpaduan negara.

Kalau “sikap negara memilih kasih” merugikan kita di bawah Nasionalisme Melayu, mungkinkah nasionalisme Muslim yang menekankan perbezaan agama menguntungkan?

Islam sejagat jawapannya?

Untuk melepasi diri daripada dilema paradigma DEB, Malaysia perlu tegakkan kedua-dua “sikap negara tidak memilih kasih” dan “kesetiakawanan merentasi komuniti”.

Dalam kata lain, kita mesti harus membantu sesama lain seperti aur dengan tebing dan negara mestilah bersikap adil.

Daripada menekankan “keempunyaan” untuk kaum-kerabat sendiri, kita menjadikan “pemberdayaan” itu suatu hak untuk sesiapa saja yang perlu dan berusaha.

Selama ini, impian ini dikaitkan sebagai nilai-nilai sejagat yang disanjung oleh kaum minoriti tetapi malangnya tidak semenarik bagi kaum majoriti berbanding dengan Nasionalisme Melayu atau Nasionalisme Islam.

Mungkinkah Islam yang sejagat yang menjanjikan dirinya sebagai “rahmatan lil alamin” itu adalah jawapan yang ditunggu selama ini?

Mungkinkah Islam menjadi asas ideologi kepada sebuah negara yang tidak memilih kasih langsung sekalipun antara Muslim dan bukan Muslim – kerana hanya Allah yang berhak menentukan siapa yang lebih mulia di akhirat nanti?

Mungkinkah Islam menjadi tunjang persaudaraan kepada sebuah masyarakat yang bersemangat kesetiakawanan dan meraikan perbezaan – kerana perbezaan kita ditakdirkan Allah untuk kita saling mengenali?

Saya penanya yang dahagakan jawapan. – 3 Mac, 2016.

Bolehkah Islam jadi asas baru perpaduan negara? – Bahagian 1

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments