Opinion

Bolehkah Islam jadi asas baru perpaduan negara? – Bahagian 1

Islam hanya berupaya menyatukan rakyat jika ia tidak memilih kasih antara orang Muslim dan orang bukan Muslim dalam dunia ini. Sebaliknya ia akan menjadi asas pemisahan.

Apabila Islam dan perpaduan dikaitkan bersama, dalam konteks Malaysia, biasanya ia membawa 2 jenis pengertian.

Perpaduan orang Muslim

Pengertian pertama ialah perpaduan orang Muslim.

Kalau ditanya mengapa orang Muslim perlu bersatu, sudah tentunya bukan untuk melawan wabak Zika, pemanasan global ataupun rasuah politik.

Jawapan yang tersirat ialah orang Muslim perlu melindungi diri mereka daripada ancaman orang bukan Muslim.

Ini berasaskan premis iaitu orang Muslim dan orang bukan Muslim sememangnya ada percanggahan kepentingan yang tidak mungkin diatasi.

Kerana akidah lain, maka mustahillah umat yang berlainan boleh hidup secara aman-damai untuk selama-lamanya.

Seterusnya, untuk orang Muslim bersatupadu, maka sudah tentu ada baiknya jika mereka memegang fikiran yang sama dan tidak “berpecah-belah” kerana pandangan dan fahaman.

Dalam kata lain, “kepelbagaian” sesama orang Muslim boleh menjadi ancaman kepada perpaduan dan kekuatan mereka.

Perpaduan berasaskan Islam

Pengertian ke-2 ialah perpaduan seluruh rakyat dengan berasaskan Islam.

Berlainan dengan model pertama, perpaduan ini tidak menolak komuniti bukan Muslim. Teladan yang paling baik sudah tentu ialah masyarakat Medinah yang dipimpin Nabi Muhamad.

Baginda diterima sebagai pemimpin kota Medinah yang pelbagai agama – Islam, Kristian dan Yahudi – kerana baginda bersifat adil kepada mereka.

Ramai orang Muslim percaya Malaysia harus mencontohi Medinah.

Mereka tidak faham mengapa orang bukan Muslim rata-rata menolak gagasan “negara Islam” (“dauliyah Islamiyah”, sebenarnya satu konsep moden yang muncul sebagai reaksi terhadap penjajahan Barat) sampai ada yang lihat penolakan itu sebagai penghinaan terhadap Islam.

Mereka lupa satu hakikat penting: Medinah tidak kekal lama sebagai masyarakat aneka agama selepas zaman Nabi Muhamad.

Apapun sebab orang bukan Muslim di Medinah memeluk Islam, ia menimbulkan persoalan: apakah perpaduan (politik) di bawah Islam akan akhirnya membawa kepada penyatuan (agama)?

Kalau perpaduan di bawah Islam itu bererti kebebasan agama cumalah fenomena sementara untuk memudahkan peralihan ke arah kelenyapan agama lain akhirnya, mengapa para penganut agama lain harus mendukungnya daripada alternatif lain?

Maka, apa yang saya maksudkan dengan Islam sebagai asas baru perpaduan ialah Islam menjadi penjamin kesamarataan rakyat, tak kira apa agama, etnis, jantina dan sebagainya.

Sememangnya soalan perpaduan negara berkaitrapat dengan dua perkara: kesamaan (homogeneity) dan kesamarataan (equality).

Perpaduan perlukan kesamaan?

Berasaskan paradigma nasionalisme ekabudaya, semakin kurang kemajmukan atau perbezaan, maka semakin bersatupadu sesebuah negara itu. Dalam kata lain, perpaduan perlukan kesamaan.

Sering kita dengar keluhan mengapa orang Cina di Malaysia mengekalkan bahasa dan sekolah sendiri, tidak seperti orang Cina di Thailand atau di Indonesia.

Kononnya, kalau orang Cina cuma biasa cakap bahasa Melayu dan bukan bahasa Cina, maka Malaysia akan menjadi lebih bersatupadu.

Pandangan ini langsung mengabaikan 2 hakikat yang penting.

Pertama, di Indonesia, sekalipun orang Cina diasimilasikan secara paksa semenjak permulaan Oder Baru Suharto pada 1965, mereka tetap menjadi sasaran rusuhan kaum – dibunuh, dirogol, dirompak -- pada 1998 di penghujung pemerintahan diktator itu.

Kedua, di Thailand, sememangnya orang Cina tidak menghadapi diskriminasi, kerana kesamaan atau keserasian mereka dengan kaum majoriti, etnis Thai, bukan saja dalam aspek bahasa tetapi juga dalam aspek agama.

Akan tetapi kesamarataan itu tidak dinikmati orang Melayu di selatan Thailand sungguhpun kebanyakan daripada mereka cuma boleh berbahasa Thai dengan lancar dan tidak dapat mengungkap satu ayat penuhpun dalam bahasa Melayu.

Mereka merasa dirinya dipinggirkan kerana perbezaan agama sampai kemunculan perjuangan untuk menuntut kemerdekaan di wilayah Patani.

Maka, apakah orang Melayu di Thailand harus memeluk agama Buddha supaya mereka boleh diasimilasi sepenuhnya ke dalam masyarakat aliran perdana Thai dan menikmati kesamarataan?

Perpaduan berdasarkan kesamarataan?

Pemasalahan dengan paradigma kesamaan ialah andaian tersiratnya iaitu negara bersifat berkecuali apabila ia cuma menghapuskan kepelbagaian/perbezaan antara rakyat untuk mencapai kesamaan.

Pada hakikatnya, dalam usaha menggantikan sesuatu bahasa/agama/budaya B (‘kebangsaan’) dengan bahasa/agama/budaya A (‘vernakular’’), negara (state) sebenarnya memihak kepada komuniti A dan menganaktirikan komuniti B.

Dalam kebanyakan keadaan, komuniti B akan melihat negara sebagai petindak yang memilih kasih (partial actor) yang menjaga kepentingan komuniti A dan melahirkan kebencian atau sentimen negatif terhadap negara.

Malah, dalam kes yang extrim, ini boleh melahirkan sentimen pemisahan untuk mencapai kemerdekaan daripada negara yang sedia ada seperti di Patani.

Maka keghairahan mengejar kesamaan mungkin mendatangkan kesan yang sebaliknya – daripada memupuk perpaduan, ia boleh memupuk perpecahan.

Satu contoh yang baik ialah Pakistan yang ditubuhkan atas kesamaan agama (Islam) akhirnya terbahagi kepada 2, kerana elit Pakistan Barat cuba memaksakan kesamaan bahasa (Urdu) terhadap Pakistan Timur (yang sekarang dikenali sebagai Bangladesh) yang berbahasakan Bengali.

Di pihak yang lain, terdapat juga negara yang membina perpaduan dengan mengiktiraf perbezaan dan menjamin lebih kesamarataan. 

Satu contoh yang klasik ialah Switzerland. Ia bukan saja dijirani 3 kuasa besar – negara Jerman, Perancis dan Itali – malah juga dianggotai 3 kumpulan utama: penutur bahasa Jerman, penutur bahasa Perancis dan penutur bahasa Itali.

Akan tetapi Switzerland juga tidak menghadapi gerakan pemisahan yang sama ada ingin membentuk negara baru atau menggabungkan sebahagian wilayahnya dengan salah satu jiran besarnya.

Kalau negara majmuk seperti India dulunya dilihat sebagai kes ganjil, kini semakin banyak negara termasuk banyak yang menghadapi gerakan pemisahan memilih dasar aneka budaya (multi-culturalism).

Untuk memenangi hati rakyat provinsi Quebec yang berbahasa Perancis supaya tidak menuntut kemerdekaan, Kanada yang majoriti rakyatnya berbahasa Inggeris mengamalkan dasar dwi-bahasa Inggeris-Perancis.

Belgium juga mengambil dasar kesamarataan bahasa untuk mengelakkan perpecahan di antara wilayah utara yang berbahasa Belanda dan wilayah selatan yang berbahasa Perancis daripada mendalam hingga berlaku penceraian utara-selatan.

Kejayaan negara-negara majmuk ini menangani perpecahan mencadangkan, asas kepada perpaduan negara bukan kesamaan, tetapi negara yang tidak memilih kasih yang membenarkan warganya hidup samarata sungguhpun berbeza.

Akan tetapi, kesamarataan dari segi budaya atau hak di sisi undang-undang tidak mencukupi.

Sebagai contohnya, sungguhpun kedua-dua komunti orang Putih dan orang Hitam di Amerika Syarikat menuturi bahasa Inggeris (sungguhpun terdapat perbedaan sub-budaya) dan mengamalkan Kristianiti, hubungan mereka tegang kerana orang Hitam secara puratanya lebih miskin dan dipinggirkan.

Kesamarataan yang bermakna seharusnya menjangkau kesamarataan dalam bahasa, agama dan hak warga dan merangkumi kedudukan sosio-ekonomi.

Kalau seseorang yang miskin berusaha bersungguh-sungguh, maka sekalipun jika beliau tidak dapat mengubah kedudukan sosio-ekonomi dalam hidupnya, peluang untuk menaiki tangga masyarakat (social upward mobility) seharusnya wujud untuk anak atau cucunya.

Kalau tidak, sudah tentu mereka yang dinafikan peluang menaiki tangga masyarakat akan merasa marah malah benci kepada anggota masyarakat yang lebih bertuah.

Maka, jika ingin dipupuk perpaduan melalui kesamarataan, maka negara mesti bersedia mengurangkan ketidaksamarataan sosio-ekonomi di samping menjamin kesamarataan dalam bahasa, agama dan hak warga, dan rakyat juga sanggup membantu sesama lain sebagai saudara sungguhpun wujud perbezaan agama, kaum, bahasa dan sebagainya.

Dan cabaran yang terbesar ialah bagaimana untuk membina “sikap negara yang tidak memilih kasih” (state impartiality) dan semangat kesetiakawanan merentas komuniti (inter-communal solidarity).

Di sinilah saya lihat Islam mungkin memainkan peranan yang penting. – 28 Februari, 2016.

Comments

Please refrain from nicknames or comments of a racist, sexist, personal, vulgar or derogatory nature, or you may risk being blocked from commenting in our website. We encourage commenters to use their real names as their username. As comments are moderated, they may not appear immediately or even on the same day you posted them. We also reserve the right to delete off-topic comments